Tiada
siapa yang suka ditegur apatah lagi ketika sedang melakukan tugasan menjual.
Boleh hilang mode dibuatnya. Tengah asyik melakukan jualan tiba-tiba sahaja ada
orang yang menegur itu tak kena, ini buat tak betul dan pelbagai kesilapan lagi
di mata prospek/pelanggan yang ditemui. Rasanya inilah yang cukup melecehkan
dan membosankan ketika kita melakukan jualan.
Apa
yang dimaksudkan dengan teguran adalah satu tindakan di mana satu-satu perkara
yang tidak di inginkan oleh seseorang baik dari segi perbuatan, percakapan
ataupun tingkah laku yang akan mengakibatkan kesan negatif kepada orang yang
ditegur. Kesan negatif yang dimaksudkan ini adalah mungkin akan mengakibatkan
sakit hati, ketidakpuasan hati, berdendam, sakit kepala dan bermacam-macam lagi
musibah yang akan hadir. Inilah resam manusia yang kadang-kala suka menegur
orang tapi diri sendiri tidak suka ditegur baik secara berhemah dan berlembut
mahupun secara kasar memalukan di hadapan orang. Semuanya kena hadapi.
Alangkah
baiknya jika ketika kita ditegur oleh sesiapapun terutamanya oleh
prospek/pelanggan yang ditemui langkah-langkah berikut perlu diambil perhatian
iaitu
i.
Satu kesan yang positif
Ambillah ia sebagai
sesuatu yang positif tidak kira baik atau buruknya. Fikir dahulu dan bukan
pening dan berdukacita dahulu itu perkara yang sewajarnya kita lakukan. Apabila
ada orang yang menegurnya bermakna orang tersebut amat prihatin dan mengambil
berat tentang kita. Kita fikirkan yang positif bermakna perkara yang positif
juga yang akan hadir kepada kita.
ii.
Menuju kesempurnaan
Andai kata kita dah tahu
perbuatan kita adalah salah dan silap, perbetulkan segera dan akui kesilapan
kita agar tidak berpanjangan jadinya. Buanglah segala ego dan lagak diri yang
ada pada kita agar orang akan lebih menghormati diri kita dan tidak mudah
membenci pula pada kita. Merendah diri adalah lebih baik dan dihormati sentiasa
baik pihak kawan mahupun lawan apatah lagi prospek/pelanggan yang ditemui.
iii.
Masih ada orang yang prihatin
Hidup di dunia hidup
bermasyarakat dan bukan kita seseorang sahaja hidup di dunia. Ada terima
teguran bermakna ada orang ambil berat terhadap diri kita tentang tugasan atau
kerja yang kita lakukan. Terima dengan hati yang terbuka agar segala teguran
yang diterima akan membuatkan diri kita lebih sempurna dalam kita melakukan
jualan terhadap siapa pun yang kita temui.
iv.
Tahu tindakan selanjutnya
Bila dah kena tegur
sekurang-kurangnya kita tahu apa yang betul dan apa yang tidak kena pada kita.
Perbetulkan segera dan jangan sama sekali main cincai sahaja hentam begitu
sesuka hati. Jadikan apa yang telah berlaku sebagai pengajaran dan iktibar yang
perlu kita pelajari perbetulkan semula apa yang telah kita lakukan selama ini.
Selagi tiada orang yang menegurnya ditakuti nanti kita hanya syok sendiri
sahaja merasakan kita asyik betul sahaja.
v.
Antara kawan atau lawan
Sekurang-kurangnya kita
secara sendiri telah ketahui yang mana satu boleh dijadikan kawan dan yang mana
satu boleh dijadikan lawan. Hanya kawan sahaja yang suka memberikan teguran
yang baik untuk karier kita perbetulkan mana silap dan salahnya yang tidak kita
ketahui dan sedari. Sekurang-kurangnya segala tindakan yang kelakuan yang kita
lakukan semasa menjual tidak berseorangan dan dibiarkan begitu sahaja.
vi.
Kekuatan semangat dan pendirian
Membina asas jati diri yang
sebenarnya memberikan kekuatan pada diri kita sendiri betapa teguran yang
diterima kalau diperbetulkan dan tidak diulangi semula akan memberi satu kesan
positif kepada diri kita juga. Kesan ini akan menaikkan lagi reputasi dan
kredibiliti kita di pasaran. Kesungguhan kita akan terbayar apabila kesungguhan
tersebut kita tunjukkan ketika melakukan jualan. Yang untungnya adalah diri
kita sendiri dan bukannya orang lain.
Sentiasa
berfikiran positif. Tenang, sabar dan tabah dalam menghadapi segala ujian
melakukan jualan. Kita bukanlah seorang manusia sesempurna Rasulullah dan
sentiasalah bersedia menerima teguran dari siapapun juga. Jangan mudah
melenting dan kecewa tapi kajilah semula ambil yang mana baiknya untuk kita
perbetulkan dan jangan sama sekali diulangi lagi. Belajar dari kesilapan dari
langsung tiada apa yang kita pelajari. Sesungguhnya pengalaman akan mematangkan
lagi kita untuk menjadikan diri kita sebagai seorang yang melakukan jualan
sehebat mereka-mereka yang ada di luar sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan