Satu sikap yang
negatif yang perlu dielakkan oleh orang-orang yang melakukan jualan adalah
mengeluh. Mengeluh disebabkan kegagalan mendapatkan penutupan jualan, melayan
kerenah prospek/pelanggan, beban tugasan jualan yang terlalu banyak dan
sebagainya lagi. Semuanya akan mengakibatkan keluhan dan luahan hati yang
terlalu gusar dan sengsara rasanya di hati ini. Semuanya walaupun mengeluh
sekuat mana sekalipun terpaksa juga ditempuh juga. Cuma yang membezakannya
adakah cara kita mengeluh selama ini betul atau tidak kita lakukannya.
Firman Allah
bermaksud “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat
menentukan jumlahnya” (Surah An-Nahl Ayat 18). Inilah yang ditakuti tatkala
ketika kita sedang hanyut dan terlalu sugul dalam keluhan, segala pancaindera
yang berada pada kita sudah pasti tidak mampu memainkan peranannya bagi merasai
nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kepada kita tanpa henti-henti. Inilah
satu bukti sifat dan sikap manusia yang selalu mempunyai keinginan yang tinggi
dan tidak pernah terbatas terbukti tidak pernah puas dan cukup atas segala
nikmat Allah kecuali mereka-mereka yang bersyukur. Adakah kita di kalangan mereka yang bersyukur tersebut?
Terdapat satu
kisah di zaman Sayidina Umar Al-Khatthab, ada seorang pemuda yang sering berdoa
di sisi Baitullah yang bermaksud: “Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan
yang sedikit”. Doa beliau didengar oleh Sayidina Umar ketika beliau sedang
melakukan tawaf di Kaabah. Umar merasa hairan dengan permintaan pemuda
tersebut. Selepas melakukan tawaf, Sayidina Umar lantas terus memanggil pemuda
tersebut dan bertanya kepada pemuda tersebut “Mengapa engkau berdoa sedemikian
rupa (ayat tentang Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah
tidak ada permohonan lain yang engkau harapkan untuk memohonkan kepada
Allah?” Lantas pemuda itu menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa itu
karena aku takut dengan penjelasan Allah dalam Surah al-A’raf ayat 10
yang bermaksud “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di
muka bumi dan Kami adakan bagi mu di muka bumi penghidupan. (Tetapi) amat
sedikitlah kamu bersyukur” Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam
golongan yang sedikit, hanya disebabkan terlalu sedikit orang yang tahu
bersyukur kepada Allah” jelas pemuda tersebut.
Begitulah kuatnya
pemuda tersebut betapa risau dan takutnya kepada Allah jika dalam kehidupannya
sehari-hari langsung tiada rasa syukur kepada Allah. Semoga kita menjadi
hamba-hamba yang dikategorikan sedikit oleh Allah dalam ayat tersebut.
Sentiasa ikhlas
dan sabar terhadap apa yang berlaku di atas segala kejadian atau ketentuan yang
diberikan oleh Allah. Berfikir positif bahawa apa yang telah terjadi
adalah yang terbaik menurut Allah, sehingga hanya rasa syukur saja yang
terlintas di benak, terucap di bibir dan terlihat dari tindakan kerana
sesungguhnya jika kita bersyukur maka Allah akan menambah nikmat Allah dan jika
kita ingkar, sesungguhnya azab Allah sangat pedih dan (ingatlah) Firman Allah
bermaksud "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan
tambahkan lagi nikmat Ku kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur
ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras"(Surah Ibrahim Ayat 7).
Hanya kerana kita
tidak mahukan dan inginkan kejadian yang kita tidak sukai dan gemari dengan
pelbagai masalah,dugaan dan rintangan yang datang timbul pula kesan-kesan yang
negatif seperti menangis, tension tidak menentu, kepala berdenyut-denyut dan
terasa seperti diri ini tidak berguna langsung tidak dapat menghadapi situasi
sebegini untuk kita atasinya dengan baik sama sekali. Lantas dengan segera
habis kita mudah mengeluh kesah dengan kepiluan yang amat sangat menceritakan
dan war-war kan kepada semua orang yang kita temui betapa susahnya diri kita di
masa ini. Persoalannya adakah tindakan yang sebegini dibenarkan dalam Islam?
Cuba kita ingat
kembali bagaimana Nabi kita Rasulullah menghadapi keadaannya yang jauh lebih
hebat dari apa yang kita tempuhi di masa kini. Bayangkanlah bagaimana ketika
Rasulullah SAW berdakwah menyeru kepada Agama Islam, kaum Jahiliah dengan mudah
mengabaikan segala seruan Rasulullah dengan mengancam untuk membunuhnya,
menyeksa kaum Muslimin dan menafikan kewujudan Al-Quran dengan mengatakan
Rasulullah sebagai seorang tukang syair dan sihir, gila dan mementingkan diri
sendiri sahaja. Bukan setakat itu sahaja mereka juga mengugut pada kaum mereka
sendiri supaya jangan sama sekali terpengaruh dengan dakwah yang Rasulullah
telah sampaikan. Walaupun menerima tohmahan dan cercaan yang begitu kuat
Rasulullah terima, tekanan yang kuat Rasulullah terima namun apa yang
Rasulullah lakukan hanyalah mengeluh dan mengadu domba hanya kepada Allah
seperti mana Firman Allah yang bermaksud dalam surah Al-Furqan bermaksud “Dan
berkatalah Rasul: Ya Tuhan ku! Kaum ku ini sesungguhnya telah meninggalkan jauh
Al-Quran”.
Begitu juga yang
terjadi kepada Nabi Yaakub apabila Nabi Yusuf yang pada mulanya dijanjikan oleh
abang-abangnya untuk menjaga beliau tetapi sebenarnya menjadi mangsa untuk
dicampakkan ke dalam perigi batu hanya kerana hasad dengki yang keterlaluan
terhadap Nabi Yusuf. Nabi Yaakub terlalu sedih mengenangkan kejadian tersebut
walaupun diberitahu oleh anak-anaknya yang Nabi Yusuf telah mati disebabkan di
baham oleh serigala. Lalu Nabi Yaakub berdoa kepada Allah. Firman Allah
bermaksud “Sesungguhnya aku mengeluhkan keadaan ku dan kesedihan ku hanya
kepada Allah“ (Surah Yusuf Ayat 86).
Begitu juga pada
Nabi Ayub yang telah diuji dengan pelbagai musibah bermula dengan kekayaan yang
di miskinkan, kematian anak-anak beliau, binatang-binatang ternakan yang mati
bergelimpangan begitu sahaja tanpa sebab, ditimpa penyakit misteri sehingga
bertahun-tahun lamanya dan ditinggalkan oleh isteri yang beliau amat cintai.
Semuanya ditanggung dengan penuh reda oleh Nabi Ayub tanpa berbelah bagi
menahan kesengsaraan yang amat pedih lagi dahsyat. Hanya Allah tempat Nabi Ayub
bersyukur bukan mengadu kerana terlalu yakin dengan Allah sebagai satu tanda
sayang Allah kepada beliau. Firman Allah bermaksud “Sesungguhnya aku telah
ditimpa penyakit dan Engkau (Allah) adalah Yang Maha Penyayang di antara semua
penyayang” (Surah Al-Anbiya Ayat 83).
Itulah tiga contoh
Nabi-nabi yang ditimpa dengan pelbagai musibah dan dugaan namun hanya pada
Allah sahaja tempat beliau mengadu domba akan apa yang berlaku dan terjadi.
Inilah yang sepatutnya kita lakukan kerana setiap kejadian dan situasi yang
berlaku sudah tentu menjadi satu ketentuan dari Allah dan dari Allah juga
memberi jalan penyelesaian yang terbaik kepada kita. Walaupun begitu, terdapat
di dalam beberapa hal yang tidak dapat dielakkan kita terlalu banyak
memaklumkan segala rintihan, keluhan dan mengadu domba hanya kepada orang. Itu pun
jika kita amat meyakini kepada orang tersebut di mana orang tersebut adalah
seorang yang cukup boleh dipercayai, amanah dan bertanggung jawab dengan apa
yang dirasakan kita amat memerlukan bantuan dan pertolongan idea daripadanya.
Dalam hal ini sebahagian ulama membenarkan.
Mengikut Ibnu
Qayyim dalam Kitab Uddatu Ash Shabirin menyatakan bahawa menceritakan
kepada orang lain tentang perihal keadaan yang ditanggung dan dilalui, dengan
maksud meminta bantuan petunjuknya atau pertolongan agar kesulitannya
hilang, maka itu tidak merosak sikap sabar; seperti orang sakit yang
memberitahukannya kepada doktor tentang kesakitannya, orang teraniaya yang
bercerita kepada orang yang diharapkannya dapat membantunya, atau seperti orang
yang ditimpa musibah lalu menyampaikan musibahnya kepada orang yang
diharapkannya dapat membantunya.
Kesimpulannya, apa
juga ujian yang kita tanggung perlulah dilalui dengan hati yang terbuka dan
tenang. Jangan pula mudah berasa hati dan kecewa dengan apa juga musibah yang
menimpa kita. Hadapi dengan tenang, sabar dan tabah. Setiap apa yang berlaku
sudah pasti ada jalan penyelesaiannya yang terbaik untuk kita lakukannya. Minta
pandangan dan bantuan kepada orang yang benar-benar kita kenali untuk membantu
di samping jangan sama sekali kita lupakan berdoa sentiasa memohon ke hadrat
Allah meminta bantuan dan pertolongan dari Nya. Sabda Rasulullah SAW “Sungguh mengagumkan
urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu
tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan
kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan
apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan
kebaikan baginya. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Firman Allah bermaksud
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah
Ayat 6).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan