Berkesempatan
saya menghadiri satu majlis ilmu yang diadakan di Alor Setar pada 29hb Disember
2012 dengan penceramah utamanya adalah Dato Dr Harun Din. Agak lama juga saya
tidak mendengar syarahannya dan syukur Alhamdulillah saya telah diberi
kesempatan dan peluang untuk menghadiri majlis ilmu ini. Tambah menarik lagi
dengan tajuk Dunia Perniagaan bersama Allah. Satu tajuk yang dikemukakan amat
menarik minat saya untuk mendengarnya.
Menurut
Dato Dr Harun Din, hanya melalui perniagaan keuntungan dan perolehan boleh
didapati. Mengikut senarai 40 orang terkaya di dunia, 39 orang adalah terdiri
dari kalangan usahawan atau ahli perniagaan. Begitulah hebatnya orang-orang
yang menjerumuskan diri mereka ke alam perniagaan. Kekayaan dengan mudah boleh
diperoleh dengan melimpah luas mengikut apa yang kita jalankan dan usahakan.
Ini bermakna mereka yang berniaga kalau betul perjalanannya baik Islam atau
kafir sudah pasti boleh menuju kepada
kesenangan seperti mana yang kita mahukan.
Rasulullah
pernah bersabda yang bermaksud: “Sembilan per sepuluh rezeki itu adalah datang
daripada perniagaan” (Hadis Riwayat Tirmizi). Rasulullah SAW bukanlah seorang
ahli perniagaan semasa datangnya Islam cuma pernah menjadi pedagang kepada
pakcik dan isterinya sehingga melebarkan perniagaannya hingga ke Syam. Tidak
dinafikan Rasulullah adalah antara pedagang yang hebat dan cukup disegani oleh
pedagang-pedagang kabilah Arab yang lain sama ada kawan ataupun lawan. Sebab
utamanya adalah kerana Nabi Muhammad yang dikenali sebagai Al-Amin cukup
dipercayai di atas amanah yang dipikulnya sama sekali tidak beliau mungkiri
sama sekali.
Firman
Allah bermaksud “Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul Nya, serta kamu
berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya) (Surah As-Soff 61:11)
Satu
lagi bentuk perniagaan yang perlu orang Muslim kena ambil tahu dan kena ambil
berat adalah menjalankan perniagaan bersama dengan Allah. Apabila disebutkan
perniagaan, kita juga perlu mengeluarkan modal, tenaga dan masa dalam
menjalankan perniagaan. Inilah satu-satunya perniagaan yang dijamin oleh Allah
SWT yang pasti tidak akan rugi selama-lama tapi sebaliknya juga dengan janji Allah
sudah pasti memperoleh dan mendapat keuntungan yang bukan sedikit tapi berlipat
ganda banyaknya bukan setakat di dunia tapi yang lebih penting lagi adalah di
akhirat.
Antara
tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi memastikan perniagaan bersama dengan
Allah ini berjaya dilakukan dan di implementasi dengan baik semaksimum yang
termampu adalah dengan
i.
Beriman
bersungguh-sungguh untuk berniaga dengan Allah. Firman Allah SWT bermaksud “Katakanlah oleh mu
(Wahai Muhammad) Allah itu Maha Esa. Dialah tempat bergantung segala makhluk
dan tempat memohon segala hajat. Dialah Allah, yang tiada beranak dan tidak
diperanakkan dan tidak seorang pun atau sesuatu yang sebanding dengan Dia.” (Surah
Al Ikhlash 112: 1-4). Firman Allah bermaksud “Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak
ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk
mengingat Aku.” (Surah Thaha 20: 14)
ii.
Berjihad di jalan Allah dan tidak sama sekali berpeluk
tubuh membantu Allah dengan sepenuh hati tanpa berbelah bagi. Sabda Rasulullah
SAW “Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan kepada seorang hamba yang lebih
luas baginya daripada sabar.” ( Hadis Riwayat
Imam Al Hakim)
iii.
Infaqkan harta dengan berjihad dengan harta yang telah
diperoleh kerana pasti akan membayar semula dengan berganda-ganda banyaknya
tanpa disangka-sangka. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah itu
tidak pernah mengurangi harta” (Hadis Riwayat
Bukhari Muslim)
iv.
Sentiasa berdamping dan membaca Kitab Allah walaupun
sedikit. Bacalah Al-Quran dengan menjadikan satu amalan bacaan wajib ke atas
diri kita sebagai mana kita rajin membaca akhbar harian atau menonton
televisyen. Firman Allah bermaksud “Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang
menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu
tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian” (Surah Al Isra
17: 82)
v.
Sembahyang kerana Allah dan bukannya hanya menumpukan
sahaja setakat solat wajib 5 kali sehari. Solat-solat sunat yang lain juga
perlu dilakukan seperti solat hajat, solat taubat, solat witir dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda "...... Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku
solat.... " (Hadis Riwayat Bukhari).
vi.
Ingatlah Allah setiap masa melalui zikrullah. Perbanyakan
menyebut nama Allah. Berzikir setiap masa sebagaimana Firman Allah bermaksud “Kerana
itu, ingatlah kamu kepada Ku nescaya Aku ingat (pula) kepada mu (dengan
memberikan rahmat dan pengampunan). Dan bersyukurlah kepada Ku, serta jangan
ingkar (pada nikmat Ku)” (Surah Al Baqarah 2:152)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan