Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 30 November 2012

SIASATLAH DULU



Ketika zaman pemerintahan khalifah Sayidina Umar al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi Waqqas r.a seorang sahabat besar Nabi s.a.w sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafik yang terlalu benci kepada Sa'ad, lalu membuat pelbagai aduan palsu kononnya Sa'ad r.a tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan. Sedangkan di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand. Sememangnya diketahui dan difahami bahawa kumpulan ini ingin mengganggu dan menghancurkan segala kelancaran perancangan yang dilakukan oleh kerajaan Islam.

Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui ternyata palsu oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a tetapi beliau masih melayan juga segala aduan tersebut dengan segera dan serta-merta menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah.  Sayidina Umar r.a seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakadilan Sa'ad lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad ketika pemerintahan beliau.

Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad tidak  adil dan tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang menipu ini mati . Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.

Walaupun Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan dan menjaga status Sa'ad bin Abi Waqqas, Umar al-Khattab meminta Sa'ad untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. Manakala Sa'ad di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah.

Inilah juga yang patut kita lakukan apabila menerima sebarang aduan, ketidakpuasan hati orang atau sesuatu perkara yang negatif terhadap rakan sekerja atau tim jualan yang telah dikhabarkan atau disampaikan. Jangan mudah melenting atau menuding jari mengatakan orang itu salah orang ini tidak betul. Walaupun kita sendiri tahu akhlak, perangai dan sikap positifnya pada seseorang dalam tim jualan itu bagaimana sikapnya sekurang-kurangnya paling tidak siasatan yang rapi kena juga diadakan bagi mendapatkan pengesahan sama ada betul ataupun tidak ia berlaku dan terjadi.

Semoga kisah yang dikemukakan ini boleh dijadikan satu iktibar dan pengajaran kepada kita agar kita tidak mudah sama sekali melatah dan melepaskan geram tidak tentu hala pada ahli tim jualan kita. Dah menunjukkan ada kebenarannya apatah lagi aduan yang dikemukakan ada betulnya barulah sesuatu tindakan boleh diambil terhadap ahli tim jualan yang dimaksudkan. Apa yang penting jangan mudah cepat sangat percaya dengan segala aduan yang diterima oleh kita. Dikhuatiri nanti  ia nya satu fitnah pula dan jika ia nya tiada kebenaran atas fitnah tersebut akan mendatangkan pula satu dosa dan penganiayaan kepada orang tersebut. Lebih baik ambil sikap berhati-hati dalam semua hal yang berkaitan agar kita tidak mudah sama sekali tergolong turut sama dengan yang melakukan fitnah yang dilemparkan. Berfikir sebaik-baiknya sebelum melakukan sebarang tindakan.

Read more >>

Khamis, 29 November 2012

PERANGKAP MELAKUKAN JUALAN



Bukan semua yang kita lakukan dalam jualan cukup mudah untuk dilalui dan ditempuhi. Sudah pasti ada cabaran, halangan dan dugaan yang pasti secara tanpa kita sedari berlaku dan terjadi. Jangan kita terlalu ikutkan hati kita yang mahu mendapatkan penutupan jualan tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang pemarah dan pendendam pula. Semuanya hanya berlaku dan terjadi hasil dari perangkap jualan yang tidak disangka-sangka dan di luar pemikiran kita telah berlaku dan terjadi.

Bertenang dan bersabar. Jangan mengeluh ataupun merungut yang bukan-bukan. Anggaplah ia nya satu kejadian yang menguji kekuatan mental kita dalam melakukan jualan sebagai satu ujian dari Allah. Langit tidak selalunya cerah, mendung tidak selalunya hujan. Mahu tidak mahu terpaksa juga kita hadapi apa yang berlaku di hadapan mata kita. Inilah yang dinamakan perangkap dalam jualan. Mungkin perkara-perkara ini pernah kita lalui dan hadapi sebagai satu perangkap dalam kita melakukan jualan iaitu

i.                    Salah cakap
Beria-ia nak menjual tapi tanpa kita sedari apa yang kita sampaikan dan maklumkan kepada prospek/pelanggan adalah satu perkara yang salah dan tersilap faktanya. Berhati-hati agar prospek/pelanggan tidak memulangkan semula apa yang telah kita sampaikan kefahaman produk kepada mereka perkara yang salah dan tidak benar sama sekali. Elakkan ia nya berlaku kerana ini melibatkan integriti dan kredibiliti kita sebagai orang yang menjual. Sebaik-baiknya lakukan latihan demi latihan agar kesempurnaan dalam melakukan jualan dapat diterapkan ke dalam diri kita.

ii.                  Prospek/pelanggan berpura-pura berminat
Sememangnya kita amat yakin prospek/pelanggan yang ditemui telah menunjukkan minat untuk menerima tawaran yang ditawarkan. Tapi itu sebenarnya hanya mainan mulut manis sahaja kerana pada peringkat penutupan jualan tiba-tiba sahaja mereka enggan untuk menerimanya pula. Berapa banyak telah kita habiskan tenaga, masa dan wang kita demi mencari mereka tapi di akhir cerita langsung tiada apa yang boleh membantu kepada kita semula. Fikirkan jalan yang sebaik-baiknya kenapa perkara ini terjadi  semoga ia nya boleh dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran paling berguna buat diri kita. jangan terlalu yakin yang setiap prospek/pelanggan yang ditemui akan bersetuju untuk menerima tawaran yang dikemukakan.

iii.                Bagi betis nak paha
Prospek/pelanggan telah bersetuju dengan kita untuk menerima tawaran yang ditawarkan tetapi memberikan beberapa syarat lain pula sebelum dapat meneruskan apa yang prospek/pelanggan kehendaki. Pelbagai permintaan yang dimahukan dari kita sebagai tambahan apa yang kita tawarkan kepadanya sebelum menerima tawaran. Mungkin ada yang pelik-pelik di luar dari dugaan dan harapan kita. Semuanya kita kena hadapi dengan tenang dan sabar. Jangan sama sekali mudah melatah terus mengatakan itu tidak boleh ini tidak boleh tapi bersedialah berdiskusi dan berinteraksi secara berhemah dan bersopan di hadapan prospek/pelanggan yang ditemui.

iv.              Berjanji tapi tidak dikotakan
Dari temu janji kepada pertemuan dan seterusnya kepada proses perundingan. Berjanji untuk bertemu tetapi bila sampai pada waktunya pelbagai alasan pula yang diterima seolah-olah satu pertemuan yang diingini tidak dapat pula dilakukan. Ada sahaja alasan demi alasan yang diberikan. Begitu juga dah beri persetujuan untuk menerima tawaran yang dikemukakan tetapi malangnya masih tidak nampak jalan lagi ia nya menjadi satu transaksi yang realiti penerimaan tawaran berjaya didapati. Mungkin ada sebabnya kenapa berlaku dan terjadi sebegini yang memerlukan kita bermuhasabah semula mencari jalan penyelesaian dan tidak mudah berlaku lagi di masa hadapan.

v.                Pesaing memburuk-burukkan
Ada kalanya kita bertemu dengan pesaing yang melakukan jualan tiada mempunyai etikanya. Hanya kerana ingin melariskan produk jualannya terus membusuk-busukkan dan memburuk-burukkan produk kita di mata prospek/pelanggan yang mereka temui. Pelbagai tanggapan dan salah taksiran telah diberikan hanya untuk memuaskan hati mereka dan menarik perhatian prospek/pelanggan kepada mereka. Jika ini yang telah kita lalui, pastikan kita sama sekali jangan seperti mereka juga. Jangan sama sekali memburukkan pesaing terdekat kita dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata di luar jangkaan. Berhemah dan bersopan adalah lebih baik terutama apabila kita menawarkan produk kita di pasaran. Prospek/pelanggan kebiasaannya akan lebih percaya pada orang yang berhemah dan bersopan dalam melakukan jualan dari mengatakan perkara yang bukan-bukan kepada mereka.

vi.              Hebahan mulut yang negatif
Belum lagi membuka mulut, prospek/pelanggan tahu sahaja kita dari organisasi tempat kita bertugas terus sahaja mengherdik dan menghentam kita yang bukan-bukan hasil dari apa yang telah mereka  dengari hebahan mulut dari kawan-kawan dan sahabat-sahabat mereka. Pelbagai perkara yang negatif telah dilontar kepada kita seolah-olah produk yang kita tawarkan tiada kebenarannya sama sekali. Berikan ruang dan masa yang secukupnya kepada mereka luahkan apa yang telah mereka dengari selama ini. Apabila habis sahaja apa yang mereka perkatakan lakukan secara berhemah dan bersopan berikan penjelasan yang sewajarnya agar apa yang mereka dengari selama ini tidak benar sama sekali dan memerlukan penerangan yang betul dari penjual yang sah. Mungkin ada pengalaman buruk yang dialami oleh mereka dan atasinya perkara ini dengan sebaik yang mungkin agar apa yang telah mereka lalui selama ini tidak sama sekali ditempuh lagi di masa hadapan.

vii.            Berminat pada produk yang memberikan pulangan yang tinggi sahaja kepada kita
Apabila kita bermatlamat keuntungan dalam melakukan jualan, bermakna kita akan lebih fokus dan terarah kepada jualan produk yang mempunyai margin keuntungan dan perolehan yang tinggi sahaja yang boleh kita peroleh dengan cepat dan senang. Pada produk-produk yang tiada memberi pulangan yang besar dan tinggi kita abaikan dahulu melainkan prospek/pelanggan yang ditemui bertanyakan pada produk yang tidak seberapa pulangan nya kepada kita baru kita sampaikan kepada mereka. Kita memilih agar produk yang tinggi dan banyak sahaja pulangannya kepada kita tetapi kita langsung tidak memikirkan bahawa apa yang diperlukan adalah untuk membantu dan menolong mereka terlebih dahulu demi selesaikan apa masalah yang mereka tanggung selama ini. Jangan fikirkan keuntungan dahulu kerana keuntungan tersebut akan datang dengan sendirinya kemudian hari nanti selari dengan apa yang telah kita bantu dan tolong kepada mereka.

Ini yang harus dijaga dan disemai. Jangan mudah terpedaya. Hadapi dengan sebaik yang mungkin dengan kesabaran dan ketenangan. Tiada jalan mudah dalam melakukan jualan. Setiap yang dihadapi mesti ada jalan penyelesaiannya. Sentiasa ada kreativiti dalam melakukan jualan agar ia nya sama sekali tidak mudah terbantut dan tergendala begitu sahaja. Lakukan dengan sebaik mungkin agar apa juga yang kita mahukan boleh diperoleh dengan sebaik yang mungkin selari dengan matlamat


Read more >>

Rabu, 28 November 2012

Trauma



Sesuatu yang berlaku di luar dugaan yang mengakibatkan ketakutan, kekecewaan yang mendalam atau pengalaman yang cukup sukar bagi kita melupakannya, inilah yang dinamakan trauma. Trauma yang berlaku di luar dari kawalan dan kesedaran kita. Andai kata adanya peristiwa ini berulang berlaku lagi dan ditakdirkan terjadi eloklah dijauhkan sama sekali.

Sememangnya dalam melakukan jualan, ada ketikanya kita akan cukup trauma apabila melakukannya. Trauma hanya disebabkan gagal mendapatkan penutupan jualan. Trauma dek disebabkan kena maki hamun prospek/pelanggan. Trauma disebabkan kita panik tiba-tiba sahaja ketika melakukan presentasi kepada prospek/pelanggan. Trauma dalam perjalanan menemui prospek/pelanggan tiba-tiba sahaja kereta meragam atau tayar pancit. Sememangnya agak mengecewakan kalau perkara yang sebegini berlaku dan terjadi kepada kita. Tiada siapa mahu menempuhnya sekali lagi melainkan kita ada ketabahan dan ketenangan untuk melakukannya sekali lagi.

Sememangnya apabila berlaku trauma bukannya satu perkara yang mudah untuk diatasi. Terlalu banyak rasanya akan menyebabkan tekanan, depresi, rasa takut berlaku sekali lagi, menyendiri dan sebagainya pada sesuatu perkara. Lebih baik untuk membantu menghadapi trauma ini memerlukan bantuan dari orang lain yang kita amat percayakan seperti kedua ibu bapa, pasangan hidup, ahli keluarga, rakan sekerja atau sahabat yang cukup rapat hubungannya. Lingkungan antara mereka inilah akan membolehkan untuk membantu memulihkan sebaik yang mungkin bagi memastikan trauma yang dihadapi boleh dikurangkan dan seterusnya di atasi dengan baik sama sekali. 

Mungkin perkara-perkara begini perlu diambil kira iaitu

i.                    Kena tahu dan fahami setiap orang yang mengalami trauma ini tidak sama keadaan dan situasi yang dialami mengikut daya tahan seseorang

ii.                  Kena terima dan akui perasaan yang sedang kita alami. 

iii.                Berazam dengan bersungguh untuk memulihkan semula perasaan kita daripada melayan trauma yang ditanggung dan dideritai

iv.              Hati kena terbuka dalam menerima setiap nasihat yang baik dari orang-orang yang kita percayai dan hormati

v.                Lakukan pekerjaan dan kegiatan yang positif agar dapat melekakan kita dengan tugasan dan kegiatan yang disertai

vi.              Akui setiap trauma bukan mudah untuk disembuhkan dan mengambil masa yang tidak tahu bila boleh dihilangkan. Bersabar dan bertenang sentiasa walau apa pun yang terjadi.

vii.            Jangan putus harapan mohon pertolongan dan bantuan dari Allah SWT tanpa henti dengan cara menjaga solat sehari semalam sambil melakukan solat-solat sunat seperti solat hajat, dhuha, tahajud, taubat dan sebagainya serta membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sehari semuka. Berdoalah dengan merendah diri mohon ke hadrat Allah agar sentiasa membantu kita dalam apa juga hal yang kita tanggung dan lalui selama ini.

viii.          Berprasangka baik dan jangan merasakan betapa malangnya kita hidup di dunia ini. Fikirkan yang positif merasakan apa juga perkara dilalui dan mendatang adalah satu bentuk ujian dari Allah dan ingin menguji pada diri kita sama ada kita mampu atau tidak untuk menghadapinya

Sebaik-baik amalan adalah dengan memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah SWT tanpa perlu rasa ragu dan waswas sama sekali. Ini ada di nyatakan oleh Dr Fadzilah Kamsah dalam rancangan temu bualnya di Astro Oasis dalam rancangan ‘Selami Jiwa’ di mana beliau mencadangkan agar apabila seseorang yang mengalami trauma ini sebaik-baiknya melakukan tiga perkara ini iaitu

Pertama – membaca ‘innalillahi wa inna ilahi rojiun’. Bukan untuk kematian sahaja kita baca ungkapan ini tetapi juga apabila kita ada mengalami hilang barang, berita yang mengejutkan dan sebagainya.

Kedua – Berdoa minta pada Allah ‘Ya Allah aku reda dengan apa yang telah berlaku’. Hati terbuka dan menerima apa juga dugaan yang diberikan dengan redha apa yang terjadi dan berlaku sebagai satu ketentuan Ilahi sebagai Qada dan Qadar. 

Ketiga – Berdoa dan minta pada Allah ‘ Ya Allah kau gantikan dengan apa yang lebih elok dari apa yang telah aku tanggung selama ini’. Anggap apa yang telah kita tanggung selama ini adalah ujian Allah mungkin akan ada Allah berikan apa yang lebih baik dari apa yang kita tanggung selama ini yang sama sekali kita tidak ketahui dan jangkakan sama sekali. Setiap kejadian itu sudah pasti ada hikmah nya.

Hadapilah sebaik mungkin supaya tidak sama sekali kita terbawa-bawa ketika melakukan jualan. Kalau kita masih terbawa-bawa dengan trauma ini bermakna sampai bila-bila kita akan gagal untuk melakukan jualan. Atasi segera apa yang telah kita alami supaya kita segera kembali ke landasan yang betul dan seperti sedia kala melakukan tugasan sebenarnya. 

Anggaplah apa yang berlaku dan terjadi semuanya  itu adalah ujian dari Allah SWT menguji kita sama ada kita sanggup atau boleh untuk melaluinya ataupun tidak. Kita hamba Allah, setiap ujian yang ditempuh sudah pasti ada hikmatnya yang tersendiri kenapa Allah menguji kita sebegitu rupa. Setiap apa yang berlaku dan masalah yang ditanggung sudah pasti ada jalan penyelesaiannya.


Read more >>

Selasa, 27 November 2012

BERHATI-HATI KEMUKAKAN SOALAN



Apabila bertemu dengan prospek/pelanggan apa yang perlu dilakukan adalah kena berhati-hati dengan apa yang ingin kita persoalkan kepada mereka. Nak menjual kena tahu apa yang mereka mahukan atau perlukan dengan cara kena tanya sampai kita tahu dan faham apa kehendak dan kemahuan mereka. Tiada istilah jalan mudah apabila kita lakukan jualan. Bertanya dan bertanya sampai kita fahami keadaan sebenarnya dan sahkan semula apa yang kita fahami benar-benar apa yang mereka mahukan. Sememangnya dalam melakukan jualan bertanya adalah lebih baik banyaknya dari melakukan presentasi. Tanpa ada pertanyaan dikemukakan kepada mereka sudah tentu komunikasi dua hala akan gagal begitu sahaja tidak dapat diwujudkan.

Kerana itu pastikan apabila melakukan jualan, soalan-soalan yang ingin diutarakan dan majukan kepada prospek/pelanggan perlu berhati-hati dilakukan agar tiada perkara yang pelik-pelik atau memberikan kesan yang negatif pula kepada kita. Jangan main sesedap mulut apabila bertanya ikut suka hati kita sahaja. Kena berwaspada sentiasa agar perkara-perkara begini tidak berlaku

i.                    Menyentuh perasaan
Elakkan mereka mudah merasa marah, naik angin dan bosan. Jangan kemukakan soalan yang pelik-pelik sehingga mereka nak menjawab pun rasa susah dan sukar sama sekali. Carilah soalan-soalan yang mudah-mudah untuk dijawab. Petuanya untuk dapatkan kepastian, lagi pendek soalan yang dikemukakan lagi panjang jawapan dan maklum balas dari mereka akan berikan. Cuma berjaga-jaga dengan soalan-soalan yang dikemukakan agar jangan diberi ruang dan peluang pula kepada mereka dengan soalan-soalan yang mudah menaikkan kemarahan dan sensitiviti kepada mereka.

ii.                  Tiada kena mengena
Biarlah ada relevan dan hubung kaitnya dengan soalan yang dikemukakan dengan produk yang ditawarkan. Tidak lebih dari itu. Soalan-soalan yang pelik dan agak membingungkan mereka pasti pada akhirnya kita akan dianggap gila dan tidak betul pula. Sebaik-baiknya sediakan soalan-soalan yang munasabah untuk ditanyakan seperti satu ‘CHECKLIST’ yang disediakan untuk ditanya dan dikemukakan. Bila dah ada cukup senang tapi jangan pula macam skrip untuk lakonan filem pula. Jenuh berjela-jela lah pula untuk bertanya sementara hendak mendapatkan maklum balas dan jawapan dari mereka.

iii.                Pertanyaan yang berulang kali
Dah tahu pasti jangan ditanya banyak kali. Nanti bila prospek/pelanggan merasa bosan terus memberikan maklum balas yang bukan-bukan dan mengarut pula kepada kita. Nak tanyakan juga bermakna dalam keadaan dapatkan pengesahan sahaja. Petuanya dengan buat ayat dari kita sendiri apa yang kita faham kemukakan semula apa yang kita perkatakan ini adakah betul ataupun tidak. Jangan lebih dari itu kerana dikhuatiri nanti prospek/pelanggan akan merasa bosan dan terkedu pula apa yang telah kita lakukan kepada mereka.

iv.              Terlalu menanyakan soalan yang begitu personel
Tolong jangan terlalu tanyakan soalan yang agak personel terhadap prospek/pelanggan yang ditemui. Pastikan kita tanya kepada mereka dengan soalan-soalan yang cukup relevan dengan produk yang ditawarkan. Jangan lebih dari itu. Nanti lain pula jadinya. Lebih menjerumuskan kepada yang personel bermakna lebih menyentuh hati dan perasaan mereka. Carilah soalan-soalan yang memberikan keyakinan kepada mereka untuk memberikan jawapan yang sepatutnya dari memberikan jawapan-jawapan yang mungkin akan memberikan dan menyakitkan hati dan perasaan mereka.

Semoga dengan apa yang diperkatakan tindakan kita dalam melakukan jualan akan lebih diberi perhatian utama agar lebih berhati-hati dan berwaspada sentiasa. Berfikir dahulu sebelum mengeluarkan pertanyaan kepada prospek/pelanggan agar mereka tidak mudah terasa dan menganggap yang bukan-bukan kepada kita. Bersabar dan bertenang sentiasa agar apa yang kita lakukan diterima baik oleh mereka. Wujudkan kepercayaan kepada mereka agar mereka dengan mudah berinteraksi dengan kita. Bila dah mula berinteraksi dengan baik barulah senang nak kemukakan apa soalan jua yang kita kehendaki kepada mereka.


Read more >>