Setiap tindakan yang kita lakukan mestilah berdasarkan dengan apa yang kita
tahu. Tahu tentang sasaran prospek yang perlu dicari dahulu. Tahu bagaimana menghubungi
mereka untuk dapatkan temu janji. Tahu untuk memberikan penjelasan dan
presentasi yang terbaik kepada mereka. Tahu tentang produk yang hendak dijual
dan ditawarkan. Tahu bagaimana untuk menepis dan memberikan maklum balas yang
terbaik apabila terdapatnya bangkangan dan bantahan jualan berlaku dan tahu
juga bagaimana untuk mendapatkan penutupan jualan seperti mana yang
dikehendaki. Semuanya bergantung dengan apa yang kita tahu untuk melakukannya.
Tapi sedar kah kita akan apa yang kita tahu? Betul kah tindakan yang kita
lakukan selama ini? Jangan biar ia nya menjadi buta mata dan buta hati. Kena
tengok balik apa yang telah kita ketahui selama ini. Cukup kah segala ilmu di
dada dalam melakukan jualan, betul kah skil-skil kemahiran yang telah pun kita
pelajari telah dipergunakan habis-habisan dan telus kah niat kita untuk
membantu seramai yang boleh dari memikirkan keuntungan terlebih dahulu?
Semuanya kena peka dan menjadikan tugasan jualan yang kita lakukan ini
mempunyai kesempurnaan yang sepatutnya.
Seorang penjual kayu telah mengambil seorang penebang pokok untuk bekerja
dengannya. Memandangkan gaji yang lumayan telah ditawarkan lalu penebang pokok
tersebut telah bersetuju untuk menerima tawaran yang ditawarkan dan berjanji
kepada majikannya untuk melakukan sebaik yang mungkin. Ketika mula bekerja,
majikannya telah memberikan kepada beliau sebilah kapak dan menunjukkan
kepadanya di kawasan mana harus ditebangnya. Majikannya telah menetapkan tempoh
masa yang ditetapkan untuk beliau menghabiskan tugasannya.
Di hari pertama pekerjaannya penebang tersebut berjaya menebang sebanyak 8
batang pokok dan akhir tugasannya di waktu petang si majikannya memberikan
pujian kepadanya “Syukur alhamdulillah, apa yang telah kamu lakukan amat hebat.
Saya amat kagum dengan apa yang telah kamu lakukan. Teruskan usaha ini seperti
biasa pada ke esok kan harinya”.
Merasakan pujian telah diberikan oleh majikannya itu, penebang pokok
tersebut pada esok harinya terus bersemangat melakukan sekali lagi menebang
pokok-pokok yang ada. Tapi malangnya tidak sebanyak semalam kerana beliau hanya
dapat melakukan sebanyak 7 batang pokok sahaja yang berjaya ditebangnya. Pada
hari ketiga perkara yang sama dilakukan tetapi hanya 6 batang pokok sahaja. Dan
begitulah seterusnya setiap hari semakin merosot hasil tidak seperti mana pada
hari pertama beliau bekerja. Terdetik hati si penebang pokok “kenapa dengan
kemampuan aku ini? Apa salah dan silapnya? Mana kekuatan aku selama ini? Kenapa
masih tidak dapat lagi aku hasilkan tebangan pokok seperti di hari pertama?”
soalan demi soalan di ajukan pada dirinya sendiri mencari jawapan kenapa
produktivitinya tiba-tiba jatuh merudum. Kekesalan hatinya telah memberi satu
kekecewaan dan putus asa yang amat sangat pada dirinya. “tentu aku akan dibuang
kerja satu hari nanti jika hasilnya semakin hari semakin teruk jadinya”
merintih kebuntuan si penebang pokok tersebut.
Lalu, si penebang kayu tersebut akhirnya pergilah beliau bertemu dengan
majikannya untuk memohon maaf di atas apa yang telah berlaku.
Penebang : “Maafkan saya Encik, semakin hari semakin berkurangan pokok kayu
yang boleh saya tebang”
Majikan : “bila kali terakhir kamu mengasah kapak
itu?”
Penebang : “Mengasah kapak?” kehairanan. “maafkan saya encik, saya terlalu
sibuk dengan menebang pokok sehingga petang tiada kesempatan untuk saya
mengasah kapak tersebut” ujarnya
Majikan : “inilah masalahnya, ingat tak pada hari pertama kamu bekerja?
Dengan kapak yang baru dan telah diasah tajam, kamu telah berjaya menebang 8
batang pokok dengan hasil yang begitu luar biasa sekali. Alangkah sedihnya,
dengan kudrat dan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang juga sama tetapi
malangnya semakin hari semakin menurun hasilnya” dengan nada yang sinis.
“
Sepatutnya kamu telah bersedia untuk meluangkan masa kamu walau sesibuk mana
masa kamu untuk mengasah kapak yang telah saya berikan kepada kamu agar pada
esok harinya hasil masih boleh sama dihasilkan dengan kemampuan tenaga yang
sama”ujarnya. “jangan nak rasa menyesal dan putus asa dahulu, pergilah asah
semula kapak tersebut” perintah majikannya.
Penebang : “baik encik, akan saya lakukan segera untuk mengasah kapak ini
agar hasilnya kembali seperti sedia kala” janji si penebang tersebut.
Kerana itu ungkapan kalau kita ‘tahu
tak semestinya sedar tapi kalau sedar mesti kita tahu’. Kena sedar segera
dan tidak cukup dengan tahu sahaja. Sedar akan tanggungjawab dan amanah yang
telah ditetapkan. Berusaha dengan bersungguh dan konsisten agar apa yang kita
lakukan sentiasa sedar akan kepentingannya demi membantu dan menghulurkan
bantuan kepada prospek/pelanggan dan menjaga periuk nasi kita sebagai orang
yang melakukan jualan. Jadi jangan hanya ambil tahu sahaja tapi kena sedar apa
yang kita tahu supaya boleh membantu dan menolong prospek/pelanggan yang kita
temui dengan lebih ramai lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan