Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 18 November 2012

Durian Tiba Lagi




Musim yang ditunggu oleh penggemar-penggemar durian. Tidak kira apa agamanya, bangsa atau keturunan sanggup mencarinya sehingga ke dusun-dusun atau kampung-kampung semata-mata mencari buah yang digemari ini. Bukan nak berkempen makan durian tapi melihat perkembangan terkini bagaimana jualan buah durian ini dilakukan. Cukup menarik dan banyak yang boleh dipelajari bagi kita yang dahagakan ilmu jualan. Sekurang-kurang boleh juga kita ketahui bagaimana cara mereka menarik minat pembeli untuk membeli durian melaluinya.

Kebanyakan pembeli lebih gemar membeli durian dengan cara memakan sahaja buah tersebut di tempat jualan diadakan. Mungkin kerana bau atau saiznya yang akan menyukarkan si pembeli membelinya untuk dibawa balik bagi mengelakkan bau durian terlekat dalam kenderaannya, sukar untuk mengopek buah tersebut, dikhuatiri buah yang dibeli bawa balik ke rumah mungkin didapati tidak elok dari segi rupanya, baunya ataupun isinya. Dari menanggung kerugian baik menjamah di tempat orang menjualnya lagi senang dan mudah tak perlu nak pening kepala lagi.



Antara yang penjual durian terkini lakukan untuk menarik bakal-bakal pembelinya adalah

i.                     Di samping mempamerkan buah-buah yang segar perletakkan kain rentang dan banting pasti di letakkan dengan tumpuan utama kepada jenis-jenisnya seperti D24, Musang King, Durian Balik Pulau dan sebagainya mengikut selera dan sambutan penduduk di tempat tersebut

ii.                   Menyediakan tempat duduk bagi memudahkan pengunjung dan pembeli menjamu selera dengan senang dan mudahnya

iii.                  Khidmat membuka terus atau mengopek buah disediakan sambil memberi jaminan isi yang tidak elok akan diganti dengan serta-merta tanpa banyak soal

iv.                Di tepi-tepi jalan utama bagi memudahkan orang ramai senang melihat dan menyedari kehadiran mereka melakukan jualan

v.                  Menyediakan jualan air mineral, tempoyak dan sebagainya yang berkaitan dengan durian sebagai satu bahan ‘Cross Sale’

vi.                Kemesraan yang ditunjukkan dan kepakaran memberi pendapat serta pandangan buah durian yang mana satu patut diambil oleh pembeli.

vii.              Biasanya di pasar-pasar malam terdapat pengelasan gred baik kepada yang kurang baik bagi memudahkan orang ramai membeli mengikut kemampuan dan apa yang mereka inginkan  

Nampak ‘simple’ tapi memberikan kesan yang baik untuk melariskan bahan jualan mereka. Di samping memastikan buah-buah durian yang ditawarkan mempunyai kualiti yang tinggi dan baik, harga yang berpatutan mengikut jenis yang dijual dan khidmat nasihat yang profesional walaupun tiada siapa pun yang mengiktiraf keprofesionalan mereka tentang buah durian namun tetap berjaya juga dilakukan. Kena ada yakin diri di samping pemilihan lokasi dan tempat jualan yang strategik dilakukan walaupun di tepi jalan sahaja.

Dalam memastikan jualan berjaya dilakukan dengan lebih berjaya lagi oleh penjual-penjual durian ini adalah dengan

i.                     Menjual dengan lebih banyak lagi
Kuantiti yang baik akan memastikan kualiti yang banyak boleh dijual. Selagi kualiti dikekalkan, kuantiti yang diharapkan banyak dapat dijual sememangnya diambil kira sekiranya harga yang ditawarkan memuaskan hati kedua-dua belah pihak yang menawar dan persetujuan untuk menerimanya. Kebiasaannya harga tawaran memainkan faktor terpenting untuk menarik perhatian pembeli menerima tawaran.

ii.                   Memudahkan jangan disukarkan
Tiada seorang pembeli mahukan ia nya disukarkan ketika proses belian dilakukan. Apa juga yang dilakukan oleh penjual pasti akan menunjukkan betapa mudahnya dan mengikut apa yang pembeli mahukan dan inginkan. Sama sekali tidak menunjukkan kesukaran kepada pembeli dengan memberikan layanan yang cukup berhemah dan bersopan diberikan walaupun tawar-menawar harga dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

iii.                  Tampilkan kelainannya
Dah tahu tengah musim buah tengah banyak, orang yang menjualnya pun ramai, si penjual sedaya upaya cuba menampilkan kelainannya baik dari segi susunan buahnya, strategi tempat menjualnya, harganya dan perkhidmatan yang diberikan. Sedikit sebanyak mahu tidak mahu setiap orang pasti akan menampilkan kelainannya.

iv.                Pelaburan dalam pendekatan
Demi melariskan barangan yang dijualnya, pendekatan dalam jualan perlu dilakukan agar pembeli tahu ada kelainan apa yang dijualnya jika dibandingkan dengan penjual lain. Nilai tambah perlu ada bagi pembeli merasakan ada satu pendekatan yang berbeza jika dibandingkan dengan penjual yang lain. Sebagai contoh mungkin memberi tambahan beberapa biji buah durian secara percuma yang mungkin pelanggannya telah membeli beberapa biji buah sebagai tanda penghargaan, menyediakan air minuman mineral secara percuma ataupun khidmat pemberian bekas mengisikan ulas-ulas durian yang mungkin tidak habis dimakan dan sebagainya.

Asalkan si pembeli berpuas hati dengan harga yang ditawarkan itu yang perlu dijaga terlebih dahulu mengikut kualiti dan gred yang ditunjukkan. Layanan yang baik cuma sokongan dalam menjual di samping berkebolehan memberikan pendapat dan pandangan yang profesional tentang keadaan buah yang ditawarkan. Yang penting bersabar melayan kerenah kerana tidak tentu lagi pelanggan yang sedia ada setiap hari akan datang menjamah durian yang tersedia. Sesiapa juga yang datang elakkan dari berlalu begitu sahaja tanpa membeli. Satu peluru satu pelanggan mesti diamalkan. Baru berniaga boleh untung besar.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan