Sesuatu berita atau cerita yang disampaikan baik berkenaan dengan keadaan
sekeliling kita, pesaing-pesaing, produk-produk yang dikeluarkan, hal-hal
berkaitan dengan prospek/pelanggan ataupun mungkin yang berkenaan dengan kita
sebaik-baiknya selidikilah dahulu. Jangan main terima sahaja bulat-bulat terus
percayai apa yang didengari. Macam mana nak menjual, baru dengar berita yang
bukan-bukan atau yang mengejutkan terus sahaja kita mudah melatah percaya dan
menerimanya bulat-bulat tanpa ada sebarang usaha selidik dan mengesahkan pula
dari orang lain.
Firman Allah bermaksud “Wahai orang-orang Yang
beriman! jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan”(Surah
al-Hujurat Ayat 6).
Jangan mudah terpengaruh atau dipengaruhi, siasat dahulu selidik mana yang
perlu agar segala berita atau informasi yang diterima dan akan disampaikan pula
kepada prospek/pelanggan adalah cerita-cerita yang benar kenyataannya dan tepat
kesahihannya. Dalam menentukan ia benar dan betul berita yang kita terima
berikut adalah langkah-langkah yang perlu kita lakukan agar di kemudian hari
nanti apabila kita sampaikan satu-satu cerita atau berita kepada
prospek/pelanggan mahupun orang lain tidak sama sekali menyalahkan semula
kepada kita. Antara tindakan tersebut adalah
i.
Selidiki
Apa yang
diterima siasat dulu betul atau tidak
jangan main terjah kira betul sahaja maklumat atau informasi yang diterima.
Malu kat kita balik andai kata berita yang kita sampaikan tiada kebenarannya.
Periksa semula lakukan siasatan dan selidiki sewajarnya tanpa perlu tergopoh
gapah. Bertenang dalam menerima berita, semasa menyelidiki setiap berita
mahupun menyampaikan kepada orang lain. Bila dah selidik ternyata kebenarannya
barulah boleh dengan keyakinan yang tinggi untuk kita sampaikan pula.
ii.
Bersabar
Bertenang
sentiasa jangan kelam kabut atau terlalu ghairah dengan berita yang diterima
seperti satu sensasi pula untuk disampaikan kepada orang lain. Bersabar
maknanya bertenang dengan apa juga berita atau cerita yang diterima. Jangan
kelam kabut tapi berfikir semula sama ada orang yang menyampaikan berita
tersebut benar-benar menyampaikan berita tersebut dengan kebenarannya.
Bertenang itu merupakan satu tindakan yang lebih baik dari terlalu ghairah dan
seronok mendapat berita terutamanya tentang satu-satu berita yang difikirkan
terlalu sensasi.
iii.
Keputusan
Buat
keputusan jika sudah terdapat kebenarannya. Kalau seorang dua yang menyampaikan
mungkin ada yang tidak kenanya tapi kalau dah sepuluh orang menceritakan dan
menyampaikan berita yang sama rasanya mahu tak mahu kena percaya juga. Berilah
ruang waktu yang terbaik fikirkan sesuatu sebelum memberikan kata putus sama
ada benar ataupun tidak.
iv.
Tindakan
Biarlah selari
dengan berita yang diterima. Sebaik tindakan jangan ditokok tambah pula cerita
yang didengari untuk menyedapkan halwa telinga si penerimanya nanti. Lakukan
kalau ada kebenarannya. Kalau tahu katakan tahu kalau tak tahu terus terang
nyatakan memang tidak tahu. Jangan nak memandai mengatakan kita ini serba tahu
terutamanya kepada maklumat atau informasi yang sememangnya kita tidak ketahui.
Berfikir dahulu adalah lebih baik dari kita mengatakan sesuatu yang kita
sendiri tidak tahu sumbernya betul ataupun tidak. Jangan mudah terima begitu
sahaja. Sebagai seorang konsultan dalam melakukan jualan sering kali kita akan
diminta memberikan pendapat dan pandangan yang mungkin mereka di luar sana
pergunakan apa yang telah kita sampaikan. Nak dapat ganjaran dari Allah sebagai
saham kita di akhirat nanti sampaikanlah perkara-perkara yang betul dan benar
kesahihannya agar yang pasti di kemudian hari nanti kita sama sekali tidak akan
dipersoalkan semula atau dipersalahkan.
Berita tentang kewafatan Rasulullah SAW yang
didengar dengan kedua telinga Sayidina Umar ra telah mendatangkan kemarahannya.
Beliau berdiri lantas bersuara dengan lantang, “Orang lelaki dari kaum munafik
membuat isu bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Rasulullah SAW sesungguhnya
masih hidup. Ia hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran pergi
meninggalkan kaumnya selama empat puluh hari, kemudian kembali kepada mereka,
dan itu setelah dikatakan bahawa baginda telah mati. Demi Allah, Rasulullah SAW
akan kembali dan akan memotong tangan dan kaki lelaki yang menyebarkan isu bahawa
baginda telah wafat”.
Sayidina Abu Bakar tiba dari kediamannya di Sunh,
dengan menunggang seekor kuda. Sampai sahaja, Sayidina Abu Bakar terus menuju
ke masjid. Tanpa mengatakan apa-apa pun kepada orang sekeliling, ia memasuki
rumah Rasulullah dan terus menuju ke tempat baginda disemadikan yang berbaring
ditutup dengan sehelai kain yang dihiasi aneka warna.
Sementara Umar tengah berbicara di depan orang ramai,
Sayidina Abu Bakar keluar dan menyuruhnya untuk duduk. “Wahai Umar, duduklah!”
ujar Sayidina Abu Bakar.
Sayidina Umar berdegil masih enggan menurut
suruhan tersebut, akan tetapi orang di sekeliling mula segera meninggalkan
Sayidina Umar dan memalingkan wajah mereka ke arah Sayidina Abu Bakar. Sayidina
Abu Bakar kemudian berkata, “Amma Ba’du, barang siapa di antara kalian yang
menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa di
antara kalian yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup dan takkan
pernah mati.
Allah berfirman, `Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul,
sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah Jika dia wafat
atau dibunuh kamu berbalik ke belakang ? Barang siapa yang berbalik ke
belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun,
dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur’ (Surah Al
Imran Ayat 144)
Ibnu Abbas menyebut, “Demi Allah, pada waktu itu,
kelihatan seolah-olah semua orang belum pernah tahu bahawa Allah telah
menurunkan ayat tersebut kecuali setelah Sayidina Abu Bakar membacakannya.
Mereka semua kemudian menyambut ayat itu sehingga aku mendengar ayat itu
dibacakan oleh semua orang tanpa kecuali.”
Ibnu Musayyab meriwayatkan bahawa Umar
mengatakan, “Demi Allah, aku tidak ingat ayat itu kecuali setelah Sayidina Abu
Bakar membacanya. Saat itu aku tercengang sampai aku merasakan kedua kaki ku
tidak dapat bergerak. Ketika itu aku rebah ke lantai setelah mendengar Abu
Bakar membacakan ayat itu, aku baru yakin bahawa Nabi Muhammad SAW benar-benar
telah wafat”.
Sebaik-baiknya jangan melenting cepat, siasat
terlebih dahulu itu lebih baik untuk mendapatkan kepastian dan kebenarannya.
Iktibar dari apa yang berlaku sewaktu kewafatan Rasulullah SAW untuk sama-sama
kita renungi. Bersabar lebih baik dari melenting. Berkata yang benar sentiasa
orang akan hormati diri kita. Berwaspada dengan apa yang orang lain perkatakan.
Inilah tindakan sewajarnya. Orang yang menjual kena sampaikan perkara-perkara
yang benar-benar sahaja dan tidak sama sekali mengambil kesempatan atas
kelemahan prospek/pelanggan yang ditemui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan