Dari Abu Hurairah Rasulullah SAW bersabda “Sumpah
yang diucapkan untuk melariskan perniagaan dapat merosakkan keuntungan”
(Hadis Riwayat Muslim)
Perlu kah sampai bersumpah dalam melakukan jualan? Hanya kerana kita mahu
menunjukkan kebenaran apa yang kita tawarkan dan mengesahkan apa yang telah
kita terangkan adalah benar semata-mata kita sanggup bersumpah asalkan
prospek/pelanggan yang kita temui akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran
kita. Sanggup kah kita lakukan sedemikian rupa? Adakah ini yang dikatakan etika
ketika menjual? Tepuk dada tanyalah selera adakah memadai dengan apa yang telah
kita lakukan.
Erti Sumpah. Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman
yang merupakan jamak dari perkataan al-Yamin. Pada dasarnya ia bererti
tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab pada lazimnya mengangkat tangan
kanan mereka. Juga, apabila mereka saling bersumpah, masing-masing memukul
tangan kanannya dengan tangan kanan orang yang bersumpah. Adapun dari sudut
istilah, ia bererti menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan
sesuatu yang agung secara khusus. Seolah-olah memberikan satu tanda mengesahkan
bahawa dengan bersumpah sahaja apa yang diperkatakan dan diperjelaskan adalah
betul sebetul-betulnya.
Sesuatu yang perlu kita fikirkan semula jika kita sering
bersumpah dalam melakukan jualan. Kalau ia nya benar-benar betul dan jelas apa
yang telah kita perkatakan tidak mengapa tetapi bagaimana kalau kita bersumpah
tapi malangnya 100% tidak betul sama sekali? Periksa semula agar ia nya tidak
sewenang-wenangnya dipertuturkan begitu sahaja.
Firman Allah bermaksud “Kamu
tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak
disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh Nya dengan
sebab sumpah yang sengaja kamu buat dalam keadaan bersungguh-sungguh. Maka kafarahnya
ialah:
1. Memberi makan
sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa)
berikan kepada keluarga kamu,
2. Atau memberi
pakaian untuk mereka,
3. Atau
memerdekakan seorang hamba.
4. Kemudian
sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarah di atas), maka
hendaklah dia berpuasa tiga hari.
Yang demikian itu ialah kafarah penebus
sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu.
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat Nya (hukum-hukum agama Nya)
supaya kamu bersyukur (Surah Al-Maidah
Ayat 89).
Kerana mengejar keuntungan kita berhabis-habisan
mengucapkan sumpah untuk menarik minat prospek/pelanggan memberikan keyakinan
kepada mereka bahawa produk yang ditawarkan dapat menyelesaikan masalah mereka
dan membantu apa yang diperlukan oleh mereka. Adakah kita seorang yang tamak pada
wang ringgit asalkan boleh memberikan untung yang besar dan banyak kepada kita?
Adakah keuntungan merupakan matlamat utama sampai kita sanggup bersumpah? Fikirkan
semula agar tindakan kita tidak sama sekali dipandang serong oleh
prospek/pelanggan.
Oleh itu berhati-hatilah
dalam menjual sama ada perlu atau tidak untuk kita memberikan sumpah kepada
prospek/pelanggan yang ditemui. Jangan kerana hendak dapatkan kepercayaan
mereka kepada kita sanggup bersumpah tidak kira dalam apa pun keadaan
sekalipun. Banyak cara lain lagi untuk mendapatkan keyakinan prospek/pelanggan
dalam mempengaruhi mereka menerima produk yang ditawarkan. Tak perlu bersumpah-sumpah
cukup sekadar berikan penerangan dan presentasi yang terbaik yang jelas, mudah difahami dan
senang diterima oleh prospek/pelanggan yang ditemui. Tunjukkan apa yang mereka
mahu untuk kita beri bantuan dan pertolongan sewajarnya yang kita benar-benar
mahu menolong mereka. Itu sudah memadai untuk berikan keyakinan kepada mereka
dan memberi sumpah.
Lakukanlah seperti biasa elakkan dari bersumpah agar satu
hari nanti Allah tidak melaknat kita pula. Elakkanlah ia sama sekali kerana
Firman Allah bermaksud “Dan janganlah kamu
menurut orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina” (Surah al-Qalam
Ayat 10) kerana dikhuatiri nanti prospek/pelanggan suatu hari nanti akan hilang
kepercayaannya kepada kita yang suka sangat memberikan sumpah atas
produk-produk yang ditawarkan kepada mereka dan menjadi satu penghinaan pula
kepada kita seumur hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan