Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 23 November 2012

10 MUHARAM : FIKIRKAN SEJENAK



Sewaktu Rasulullah SAW menetap di Madinah, baginda melihat bahawa orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda lantas bertanya kepada mereka tentang hal tersebut. Maka orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Hari ini adalah hari di mana Allah telah menyelamatkan Musa dan kaumnya, serta betapa celakanya Firaun serta pengikutnya. Maka dari itu kami berpuasa sebagai rasa syukur kami kepada Tuhan”. Rasulullah SAW berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kalian”.


Kenapa Rasulullah mengucapkan perkara yang berkenaan? Ini adalah kerana Rasulullah SAW  dan orang–orang yang bersama baginda adalah orang-orang yang lebih berhak terhadap para nabi yang terdahulu. Allah berfirman,




إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ
“Sesungguhnya orang yang paling berhak dengan Ibrahim adalah orang-orang yang mengikutinya dan nabi ini (Muhammad), serta orang-orang yang beriman, dan Allah-lah pelindung semua orang-orang yang beriman”. (Surah Ali Imran Ayat 68)


Maka Rasulullah SAW adalah orang yang paling berhak terhadap Nabi Musa jika dibandingkan dengan orang-orang Yahudi tersebut, di atas sebab mereka kafir dan ingkar terhadap Nabi Musa, Nabi Isa dan Muhammad. Maka baginda menyeru agar berpuasa Asyura buat semua umat Islam pula pada hari tersebut. Beliau juga memerintahkan untuk menyelisihkan Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura, dengan berpuasa pada hari kesembilan atau hari kesebelas beriringan dengan puasa pada hari kesepuluh (Asyura) atau sebaik-baiknya ketiga-tiganya. (Sumber: Syarh Riyadhis Shalihin karya Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin terbitan Darus Salam – Mesir, diterjemahkan Abu Umar Urwah Al-Bankawy).


Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW bersabda “Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadhan ialah puasa di bulan Muharam” (Hadis Riwayat Muslim).

Besarnya ganjaran pada hari 10 Muharam ini. Sebagai permulaan dalam kalendar Hijrah dan memperingati kejayaan pada Nabi Musa yang berjaya menewaskan Firaun dan tenteranya ketika melintasi Laut Merah yang telah melemaskan Firaun dan tenteranya di tengah-tengah lautan semasa Firaun dan tentera-tenteranya mengejar Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya berketurunan Bani Israel. Begitulah salah satu kejayaan yang dikenang sehingga pada hari ini.


Inilah juga masanya untuk kita sebagai orang Muslim yang terlalu sibuk melakukan jualan agar sama-sama mengambil kesempatan di atas kehadiran 10 Muharam ini pada 24hb November 2012 hari Sabtu mengenangkan betapa sukar dan susahnya bagaimana Nabi Musa menghadapi segala dugaan dan cabaran yang kadang-kadang melampaui batas kemanusiaan yang telah dilakukan oleh Firaun untuk kita jadikan ia sebagai satu iktibar dan pengajaran berguna buat kita. Walaupun ia nya bukanlah satu cuti umum tapi manfaatkan hari berkenaan mencari idea dan buah fikiran yang baru serta bermuhasabah semula sempena tahun baru Hijrah yang baru ini.


Perbaiki diri dan bentuklah kesempurnaan dalam melakukan jualan agar segala cabaran, dugaan dan rintangan boleh kita hadapi dengan sebaik yang mungkin. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar kita juga tidak mudah menjadi seorang yang senang dan mudah berputus asa, kecewa, patah hati, hilang semangat dan segala macam yang negatif yang pasti boleh menggugat perjalanan karier kita dalam melakukan jualan. Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh kita jadikan pedoman untuk kita semasa melakukan jualan yang telah ditunjukkan oleh para-para Nabi. Lihatlah dan pandulah segala cerita-cerita dan kisah-kisah yang dipaparkan melalui mata hati dan bukannya setakat mata kasar sahaja. Berfikir ke arah kebaikan itu lebih baik dari kita memikirkan perkara yang bukan-bukan yang langsung tidak relevan dengan tugasan kita. Semoga dengan kehadiran di bulan Muharam ini prestasi tugasan jualan kita semakin hebat dari masa-masa yang lepas.


Dari tafsir At-Thabari, Abdullah Ibnu Abbas ra mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram (Muharam) adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. Berazamlah sebaik mungkin agar kita yang melakukan jualan lebih banyak melakukan amal baik yang disarankan terutamanya di bulan Muharam ini dengan membantu dan menolong seramai yang mungkin membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi bersesuaian dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan agar ganjaran yang banyak mampu diperoleh bukan setakat di dunia tetapi juga di akhirat kelak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan