Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 1 November 2012

5 Persoalan


Melakukan jualan sememangnya memerlukan kreativiti dan kesungguhan dalam melakukannya. Kena tanam minat di dalam hati agar apa yang kita lakukan kerana minat kita sendiri dan bukannya dipaksa-paksa ataupun terpaksa. Bila kita dah berminat apa juga masalah, cabaran dan dugaannya sudah pasti akan kita tempuhi dengan sebaik yang mungkin. Mungkin tidak kedengaran tentang lemah semangat, putus asa dan kecewa boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya. Lakukan dengan sebaik yang mungkin mengatasi sasaran matlamat kita sendiri.
 
Menceburi bidang jualan ini sememangnya menyeronokkan. Selain daripada berinteraksi dengan orang ramai, mengetahui ragam dan kelakuan orang, waktu tugasan jualan yang tidak menentu dan membantu seramai yang termampu dalam menawarkan produk yang bersesuaian menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita juga mampu untuk menjana pendapatan dan perolehan untuk diri kita sendiri mengikut berapa banyak yang kita mahukan. Selagi kita rajin berusaha dengan bersungguh-sungguh dan konsisten selagi itulah pendapatan kita juga akan bertambah seperti mana yang kita mahukan.

Menceburi bidang jualan ini kena fikirkan lima persoalan yang perlu dikemukakan kepada diri kita terlebih dahulu sebelum setiap kali kita ingin melakukan jualan. Bukan hendak menyusahkan tapi sebagai persiapan kita sendiri mencari kesempurnaan dalam melakukan jualan. Persoalan tersebut adalah

i.                    Apakah penyelesaian kepada masalah mereka untuk kita selesaikan menerusi produk kita?
Jangan kata kita nak membantu orang tapi sebenarnya masalah mereka pun tidak kita ketahui. Berfikir cara yang baik dan rasional agar segala tindakan menjual kita lebih menjerumuskan kepada bagaimana nak selesaikan masalah mereka untuk kita bantu sebaik yang mungkin. Kenal pasti segera melalui pemerhatian dan mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan kepada mereka agar kita tahu apa masalah sebenar mereka. Bila kita sudah fahami masalah mereka cuba sebaik yang mungkin disesuaikan produk yang kita ingin tawarkan atasi masalah mereka. Berusaha mencari satu solusi dari mencari keuntungan peribadi terlebih dahulu.

ii.                  Adakah sasaran pelanggan yang betul kita sasarkan?
Pemilihan prospek/pelanggan kena betul sesuai dengan produk yang ingin kita tawarkan. Jangan main terjah sahaja tapi lakukan saringan yang sewajarnya. Semakin kita lakukan saringan ketepatan mencari prospek/pelanggan semakin hampir dengan apa yang kita mahukan. Jangan berputus asa belajar dari kesilapan dan kegagalan yang telah kita hadapi. Pengalaman akan mengajar kita mendapatkan prospek/pelanggan yang terbaik.

iii.                Di manakah keunikan produk kita pada mata pelanggan?
Pengetahuan dalam produk amat diperlukan sama sekali. Di samping memudahkan tugasan untuk menjual dan menerangkan kepada prospek/pelanggan supaya mereka mudah tertarik dengan apa yang kita tawarkan, segala bangkangan dan bantahan jualan jika ia nya berlaku akan lebih memudahkan kita memberikan penjelasan semula kepada mereka. Segala kelebihan dan manfaat yang ada perlu diketahui dengan lebih mendalam. Kekuatan produk jika dibandingkan dengan pesaing yang menawarkan produk yang sama dengan kita di pasaran perlu diketahui secara mendalam agar ia nya boleh dijadikan satu mengatasi pesaing di pasaran dan sebagai satu tiket untuk mempengaruhi prospek/pelanggan.

iv.                 Memadai kah ilmu yang kita ada?
Bukan setakat produk yang ingin ditawarkan secara mendalam perlu di ketahui tapi skil jualan, keadaan pasaran, kekuatan pesaing dan kehendak pelanggan perlu juga untuk diambil berat. Kerana itu kita dituntut mendalami ilmu sebayak yang boleh. Jangan bagi alasan sibuk atau tiada masa tapi kena beri ruang dan ketika pada diri kita sendiri mendalami ilmu. Ilmu perlu dicari dan bukan datang bergolek-golek dengan sendirinya menjelma di depan mata. Tanpa ilmu bagaimana hendak bertindak kerana setiap tindakan yang hendak dilakukan perlu adanya ilmu. Berusahalah mencari ilmu walaupun sesibuk mana kita melakukan jualan.

v.                   Bagaimana dengan penyerahan diri kita terhadap Allah SWT?
Jangan terlalu mengharapkan logik dalam melakukan jualan. Bantuan Allah amat diperlukan setiap masa. Jangan diketepikan sama sekali. Solat jangan tinggal puasa jangan di abai. Ada wang lebihan rajin-rajinlah melakukan sedekah, cukup haulnya keluarkan zakat. Jangan tamak merasakan setiap sen yang kita peroleh itu adalah hak mutlak kita. Mungkin tanpa kita sedari sebahagian daripada pendapatan yang kita peroleh tersebut sebenarnya hak mekanik kereta kita, TNB, ASTRO, saman PDRM dan sebagainya yang mungkin juga di luar dari kemampuan kita berfikir. Muhasabah sentiasa fikirkan kesannya ambil yang baik dan tinggalkan segala kesilapan dan kesalahan kita agar tidak diulangi lagi. Mintalah pada Allah bukan sahaja dimurahkan rezeki, tapi diberikan keberkatan dalam kehidupan kita, dipermudahkan dan jangan sama sekali disukarkan perjalanan tugasan kita di dunia ini.

Kalau kita berjaya menyediakan setiap jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini, sudah pasti kita akan boleh melakukan jualan dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu kita merasa takut dan gentar. Tiada apa yang perlu kita risaukan andai kata setiap yang kita lakukan telah dirancang terlebih dahulu dengan baik sama sekali. Anggaplah apa juga rintangan dan dugaan yang kita tempuhi adalah satu ujian dari Allah SWT menguji hambanya mengikut kesesuaian diri kita. Belajar menjadi seorang yang tabah dan sabar sentiasa. Allah sentiasa di sisi kita memberikan pertolongan sewajarnya asalkan yang pentingnya kita sentiasa ingat kepada Nya. Teruskan usaha dan jangan mudah merasa putus asa dan kecewa. Kejayaan adalah milik semua orang yang rajin berusaha ke arah yang dimahukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan