Syukur sekali lagi sambutan Maal Hijrah berlaku lagi. Allah beri kepada
kita satu kesempatan semula untuk kita fikirkan dan bermuhasabah diri sempena
kehadiran Maal Hijrah adakah kita secara total telah sempurna kah hijrah kita
selama ini. Tidak siapa pun yang boleh menjawabnya melainkan diri kita sendiri
sama ada telah berjaya ataupun tidak kita lakukan selama ini.
Kita imbas semula bagaimana peristiwa hijrah Rasulullah SAW menjadi satu
titik mula dalam perkembangan agama menjadikan salah satu peristiwa yang perlu
diberi perhatian sewajarnya sebagai seorang Muslim yang sejati. Menurut
pengertian Hijrah yang berasal dari perkataan HAJARA yang secara generik bermaksud pindah, keluar,
migrasi atau meninggalkan satu daerah ke satu daerah yang lain atau
berubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Jelas di sini hijrah bukan
setakat berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain sahaja tetapi juga boleh
membawa maksud berubah dan merubah dari satu sikap atau perbuatan yang tidak
baik kepada satu sikap atau tingkah laku yang lebih terpuji dan dikehendaki.
Rasulullah
SAW yang sedang menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail menemui
baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan
Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya
Sayidina Abu Bakar dan memintanya supaya menemani baginda melakukan hijrah
bersama. Di waktu yang sama Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda
kepada Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda memberitahunya: "Saya akan
berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah". Sayidina Ali
tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah SAW walaupun menyedari bahaya
bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah
SAW. Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di
atas katil Rasulullah SAW.
Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat
melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda bila-bila masa sahaja.
Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Sayidina Ali yang berada di
situ dan bukannya Rasulullah SAW. Mereka
terpinga-pinga memikirkan bila masanya Rasulullah SAW keluar dari rumah itu.
Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar keluar dari Mekah pada malam itu juga.
Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat
persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Sayidina Abu Bakar, Aishah
dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah
SAW dan Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga
hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraisy menghampiri gua itu
untuk mencari Rasulullah SAW tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin
Rasulullah SAW dan Abu Bakar tidak berada di dalam kerana mulut gua itu
dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah SWT
membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraisy
kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Mekah. Yakin musuh
sudah beredar, Rasulullah SAW dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan
menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.
Ketiga-tiga
mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi
mengelakkan kumpulan pemburu Quraisy. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di
bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka
meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraisy di Mekah
semakin marah dengan kehilangan Rasulullah SAW. Mereka menawarkan hadiah kepada
sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah SAW. Ramai yang mencuba nasib tetapi
semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah SAW dan
sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan
gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah SAW dan sahabatnya akhir merasakan
kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah SAW dan sahabatnya dalam
perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini
mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.
Malah
penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah SAW.
Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat
baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Mekah. Maka pada hari
Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah SAW akhirnya tiba di
Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12
Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung
Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak
dari itu, Rasulullah SAW mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupuk
persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang
hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.
Begitulah
kesukaran yang ditanggung oleh Rasulullah dan Abu Bakar sama-sama menanggung
penderitaan bagi mencapai impian mendapatkan kejayaan di kemudian hari. Mungkin
perubahan sikap yang ditunjukkan oleh mereka dapat kita gambarkan seperti
berikut
Sebelum Hijrah Semasa
Hijrah Selepas hijrah
Tenang Gementar Kegembiraan
Sabar Risau Ketenangan
Tabah Redha Perkembangan
dakwah
Mengharap bantuan Allah Ditindas Menguntungkan
Bersusah payah Berhati-hati Keyakinan diri
Rintangan Diancam Kebebasan
Bagaimana dengan sikap kita pula dalam melakukan
jualan? Sudah kah kita melakukan hijrah yang sepatutnya kepada satu perubahan
yang lebih positif dan yang lebih baik? Tidak dinafikan dalam melakukan jualan
ini pelbagai dugaan, cabaran dan dugaan yang bakal kita tempuhi dan dapati
namun sebagai seorang Muslim yang melakukan jualan tiada yang mustahil untuk
kita lakukan. Mohon bantuan Allah dengan penuh keyakinan yang Allah sentiasa
membantu kita asalkan jualan yang kita lakukan ini sama sekali tidak
bertentangan dengan apa yang telah syariat tetapkan. Inilah kehebatan kita
sebagai seorang mukmin, selagi kita yakin pada Allah sudah tentu dan semestinya
Allah akan hulurkan bantuan Nya kepada kita setiap masa dan ketika.
Lihatlah bagaimana perubahan sikap Rasulullah SAW
ketika melakukan hijrah pada sebelum dan semasa hijrahnya. Dari rasa gementar,
risau dan susah hati kepada cekal,tabah dan bersusah payah menghadapi nya seterusnya
selepas hijrah memperoleh satu kemenangan, kesyukuran yang amat sangat dan, kejayaan.
Sedangkan Rasulullah SAW sanggup menghadapinya hanya kerana berhijrah, di mana
kesanggupan kita pula melakukan hijrah sikap dari yang negatif kepada yang
positif? Kena lakukan yang terbaik demi menjaga karier kita dalam bidang jualan
dan bukannya mengharapkan takdir dan tuah sahaja. Hijrah adalah satu
pengorbanan diri yang perlu kita lakukan. Berganjak dari yang tidak elok kepada
yang elok, dari baik kepada yang terbaik, dari terbaik kepada yang cemerlang.
Kena ada peningkatan secara konsisten dilakukan. Bukan sekejap elok dan naik
secara mendadak prestasi tapi selepas itu menjunam turun pula prestasi yang
diberikan. Sudah elok kelakuan dan perangai yang ditunjukkan terus bertukar
kepada orang lain menjadi benci dan meluat pula. Dari seorang yang berhemah
terus menjadi penyombong dan lupa diri, takbur sepanjang masa lupa diri, lupa
tanggungjawab dan lupa segala-galanya.
Adakah ini yang kita cari selama ini dalam melakukan
jualan? Tepuk dada tanyalah iman sama ada apa yang kita lakukan ini mengikut
syariat yang telah ditetapkan oleh Agama ataupun tidak. Kalau kita telah berada
di landasan yang sebenarnya syukur alhamdulillah, tapi bagaimana kalau belum
lagi kita berhijrah walaupun telah beberapa kali Maal Hijrah ini datang dan
pergi dalam kehidupan kita setiap tahun. Kena ada kesedaran dan keazaman untuk
terus melakukan perubahan diri. Jangan ambil mudah tapi ambillah sedikit
kesungguhan perbetulkan semula iktikad kita dalam melakukan jualan agar apa
yang kita lakukan sentiasa di redhai dan diberkati oleh Allah SWT. Sebaik-baik
tindakan ambil iktibar dan pengajaran yang Rasulullah SAW telah ditunjukkan
kepada kita bagaimana Hijrah ini perlu juga dilakukan ke atas diri kita dan
tidak semestinya menunggu ketibaan Maal Hijrah sahaja baru nak berubah ke arah
yang lebih cemerlang dan menemui kejayaan yang lebih hakiki dan kekal.
Kecapi yang sangat mantap sobat
BalasPadamterima kasih sudah berbagi