Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 15 Januari 2013

MENGHADAPI BANGKANGAN JUALAN



Antara yang memeningkan kepala adalah apabila saat dan ketikanya kita menghadapi bangkangan jualan. Ramai pakar-pakar jualan pasti mengatakan apabila terdapatnya bangkangan jualan ini bermakna proses untuk mendapatkan penutupan jualan pasti berakhir dengan persetujuan prospek/pelanggan yang ditemui. Tapi berapa lama perlu kita tempuhi dan hadapi? Berapa banyak kesabaran yang perlu kita bina dalam menghadapi situasi seperti begini? Semuanya perlu dilakukan dengan sebaik yang mungkin dengan ketenangan dan ketabahan yang ada pada diri kita.


Jangan mudah melatah apa tah lagi cepat naik angin. Hadapi lah dengan sebaik yang mungkin agar apa yang kita lalui Allah akan turut sama membantu kita. Asalkan niat di hati adalah betul itu lebih dari memadai. Bantu orang, tolong orang dan selesaikan masalah mereka menerusi produk yang ditawarkan. Firman Allah bermaksud ‘Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut oleh mu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dahsyat” (Surah Al-Maidah: 2). Jangan mudah merasa gusar dan gundah gulana kerana jika ada juga bangkangan jualan ini terjadi sudah pasti ada jalan keluarnya juga untuk diatasi iaitu

i.              Testimonial
Kadang-kadang pengalaman dari orang yang orang yang telah pergunakan produk yang telah kita tawarkan mungkin menjadi azimat terbaik kepada kita semula membuktikan kepada mereka yang melakukan bangkangan betapa produk kita bukanlah satu produk yang tidak mendapat sambutan atau kepercayaan dari orang lain. Segala bukti-bukti yang ada walaupun penghargaan dari pelanggan yang sedia ada perlu kita simpan sebagai satu bukti kukuh untuk kita tunjukkan dan perjelaskan kepada mereka. Kerana itu kalau kita lihat MLM atau pengeluar produk sudah pasti testimonial-testimonial pelanggan-pelanggan mereka amat mereka titik beratkan sama sekali sampai boleh dibukukan pengalaman pelanggan-pelanggan mereka.

ii.            Dari pengalaman
Pengalaman akan mengajar segala-galanya. Perkara yang pernah kita hadapi mungkin boleh kita pergunakan semula sebaik yang mungkin sekali lagi. Jangan sama sekali kita anggap yang apa yang telah kita hadapi sesuatu yang melecehkan dan tidak sepatutnya ada dalam diari kehidupan kita. Pelajari dari apa yang telah kita tempuhi agar ia nya menjadi guru terbaik kita di masa hadapan pula untuk sentiasa kita pergunakan balik bila keadaan memerlukannya.

iii.           Catatan
Lakukan catatan apabila bangkangan jualan terjadi. Jangan putus harap dahulu. Catatkan walaupun banyak apa yang dia perkatakan agar mudah bagi kita semula mencari isi-isi penting menangkis semula apa yang di bangkang kan kepada kita sambil mencari idea mengumpul semula apa yang perlu. Yang penting prospek/pelanggan menyaksikan kesungguhan kita mendengar apa yang mereka perkatakan.

iv.           Pengetahuan Produk
Jangan menjual kalau pengetahuan produk setakat suam-suam kuku sahaja. Kena menelaah dan pelajari sedalam-dalamnya sebelum kita memberi penerangan dan presentasi kepada prospek/pelanggan. Sebaik-baik pengetahuan bukan setakat produk kita sahaja tetapi juga produk pesaing perlu diketahui sama akan segala manfaat dan kelebihan yang ada. Semakin banyak kita ketahui semakin mudah untuk kita pertahankan kenapa produk yang kita tawarkan amat diperlukan oleh mereka.

v.             Ingat Allah banyak-banyak
Bertawakal kepada Allah. Jangan menyerah diri kepada manusia tetapi tugas utama kita adalah menyerah diri kepada Allah. Berdoa di dalam hati mohon dipermudahkan dan jangan disukarkan sama sekali. Bantuan dan pertolongan Allah pasti akan menjelma asalkan diri kita sentiasa ingat dan bertakwa kepada Allah.

Imam Malik ada mengatakan ‘Apabila seseorang insan itu tidak memperlihatkan kebaikan pada dirinya maka orang ramai tidak mengakui kebaikan padanya’. Benar akan apa yang Imam Malik perkatakan kerana kalau kebaikan tidak ditonjolkan dahulu dari kita bagaimana kita hendak mendapat kebaikan dari orang lain. Kerana itu kita amat diperlukan untuk membantu dan menolong prospek/pelanggan yang kita sasarkan terlebih dahulu kerana untuk menyelesaikan permasalahan mereka bukannya satu tugasan yang mudah dan senang. Kerana itu perbanyakan sabar, tenang dan tabah apabila kita melakukannya jualan kerana apabila berjaya sudah tentu hasilnya lumayan pula kepada kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan