Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 25 Januari 2013

Bila dah Takdir



Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah dibandingkan mukmin yang lemah, dan masing-masing mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk hal yang bermanfaat untuk mu. Mohonlah pertolongan dari Allah dan jangan merasa lemah. Jika ada sesuatu menimpa diri mu, jangan ucapkan, ‘Andai saja saya melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu’ Namun ucapkanlah, ‘Telah ditakdirkan Allah, apa yang Allah kehendaki, Dia pasti melakukan nya’ Sesungguhnya ucapan ‘andai saja’, akan membuka amalan syaitan.”(Hadis Riwayat Muslim)

Apabila berlakunya kegagalan mulalah kita memberikan alasan sudah takdir Allah yang memberikan keadaan sebegini berlaku dan terjadi. Dah cuba dah, dah melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk melakukannya tapi apakan daya masih tidak mampu lagi untuk melakukan jualan, mungkin Allah tidak mengizinkan lagi. Amat menyedihkan kalau kita menyalahkan takdir. Disebabkan kegagalan atas usaha kita sendiri tidak berjaya melakukan jualan, kita menyalahkan takdir Allah pula kenapa ia nya berlaku dan terjadi. Adakah ini satu tindakan yang betul dan sewajarnya?

Di masa dahulu, sahabat Rasulullah iaitu Sayidina Umar sering berceramah dan berkhutbah di beberapa kota di Jazirah Arab. Pada suatu ketika, Beliau akan berkhutbah menyebarkan agama Allah di sebuah kota yang tiba-tiba dikhabarkan dan dimaklumkan oleh salah seorang murid Sayidina Umar, bahawa di kota tersebut sedang terjadi wabak penyakit yang sedang menular dan berjangkit kepada semua penduduknya. Mendengar berita yang sebegini lalu Sayidina Umar terus membatalkan hasratnya untuk memberi khutbah di kota tersebut dan mengubahkannya pula ke tempat lain.

Sayidina Umar yang membatalkan hasrat tersebut lalu salah seorang sahabatnya bertanya, “Mengapa engkau tidak mahu ke kota tersebut? Apakah kerana kau takut jika ditakdirkan Allah SWT nantinya di jangkiti oleh wabak tersebut ke atas mu?”, tanya sahabatnya. Sayidina Umar pun lalu tersenyum, kemudian beliau menjawab “Saya tidak pernah takut dengan takdir Allah SWT yang akan diberikan kepada ku” balas Sayidina Umar. “Tetapi, tindakan aku hanya untuk menghindari takdir Allah SWT untuk menular wabak penyakit tersebut kepada ku dan elok bagi ku untuk mengambil takdir Allah SWT yang lain….”, jelasnya.

Ini bermakna, walaupun kita tidak tau perjalanan hidup kita ke masa hadapan nanti, namun paling tidak kita harus dapat mengambil keputusan mana yang lebih baik bagi diri kita sendiri dan harus menerima risikonya atas apa yang akan terjadi di kemudian hari dengan keputusan kita itu. Kerana kita telah mengetahuinya kenapa kita harus kelam kabut menanggung risiko yang tidak sepatutnya kita menerimanya. Begitulah Sayidina Umar lakukannya. Selagi boleh diubah takdir selagi itu kita di per bolehkan sama sekali.

Allah yang menetapkan takdir kita, maka Allah memiliki kuasa untuk mengubahnya, ertinya takdir baru bagi kita. Mengubah takdir ertinya Allah menggantinya dengan takdir baru. Tetap, Allah yang menetapkan takdir. Tidak boleh dinafikan sama sekali. Walau bagaimana sekalipun setiap takdir itu dibolehkan untuk kita mengubahkannya mengikut apa yang kita mahukan atau kehendaki. Caranya adalah dengan

i.             Berdoa ke hadrat Allah
Cara pertama ialah dengan berdoa seperti yang dijelaskan pada hadis di atas. Dari Abdullah bin Umar, bahawa Nabi Muhammad bersabda Barang siapa hatinya terbuka untuk berdoa, maka pintu-pintu rahmat akan dibukakan untuknya. Tidak ada permohonan yang lebih disenangi oleh Allah daripada permohonan orang yang meminta keselamatan. Sesungguhnya doa bermanfaat bagi sesuatu yang sedang terjadi dan yang belum terjadi. Dan tidak ada yang boleh menolak taqdir kecuali doa, maka berpeganglah wahai hamba Allah pada doa(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Hakim).

ii.           Bersungguh melakukan tugasan
Dah dinamakan tugasan untuk melakukan tugasan kena lakukan secara bersungguh-sungguh dengan rela hati tidak mahu membiarkan kegagalan mengatasi kejayaan. Contohnya jika seseorang mahu bekerja keras, maka ia dapat merubah keadaan hidupnya menjadi lebih layak sepatutnya, atau jika terdapat seorang yang sakit, kemudian berusaha untuk menyembuhkannya dengan berubat ke doktor dan akhirnya ia sembuh, maka yang hal demikian  dapat dikategorikan sebagai bagian dari takdir yang pastinya boleh diubah. Yang penting kena berusaha dan bertawakal kepada Allah. Firman Allah bermaksud ‘kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)’ (Surah Al- Jumu’ah Ayat 10).

iii.          Banyakkan bersedekah
Rasulullah SAW pernah bersabda : “Silaturahim dapat memperpanjang umur dan sedekah dapat merubah takdir yang pasti berlaku” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Imam Ahmad). Jangan terlalu lokek untuk belanja apa yang telah kita peroleh ke jalan Allah. Kena pulangkan walaupun sedikit ke jalan Allah seperti memberi sedekah, hadiah atau sumbangan kepada sesiapapun yang memerlukannya terutama anak-anak yatim, orang susah, masjid dan sebagainya.

Jadi, jangan berhenti berdoa dan berusaha. Seburuk mana pun kedudukan masa ini, semuanya masih boleh berubah. Bagaimana pun pahitnya pengalaman kita di masa lalu, masih boleh berubah. Optimis selalu yang kita boleh mengubah takdir kita menjadi lebih baik dan bukannya menjadikan takdir sebagai satu alasan kita langsung tidak boleh melakukan apa juga perkara yang sepatutnya. Firman Allah bermaksud ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan Nya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya’ (Surah Ar-Rad Ayat 11)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan