Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 6 Januari 2013

Tidak Perlu Merasa Gentar



Ketika Said Bin Zaid, umurnya ketika itu belum pun lagi mencecah 20 tahun. Selain Perang Badar, Said Bin Zaid turut sama berperang bersama-sama Rasulullah dalam setiap peperangan. Dia turut mengambil bagian bersama-sama kaum Muslimin mengalahkan kehebatan maharaja Parsi dan menggulingkan kerajaan yang memerintah Rom. Dalam setiap peperangan yang dihadapi kaum Muslimin, dia selalu memperlihatkan penampilan dengan reputasi dan keberanian yang terpuji. Said Bin Zaid adalah salah seorang dari 10 orang yang di janjikan syurga kepadanya oleh Rasulullah SAW.

Dalam banyak peperangan yang disertai oleh Said Bin Zaid salah satu pengalaman yang beliau pernah hadapi adalah di dalam peperangan Yarmouk di mana ketika itu tentera orang-orang Islam hanyalah seramai 24,000 orang manakala orang-orang Rom ketika itu adalah seramai 120,000 tentera. Ketika itu pihak musuh bergerak ke arah tentera Muslim dengan langkah-langkah yang mantap bagaikan sebuah bukit yang digerakkan tangan-tangan tersembunyi. Betapa gentar dirasainya oleh tentera-tentera Muslim ketika itu. Bukan setakat itu sahaja, di barisan hadapannya pula terdiri daripada pahlawan-pahlawan utama mereka, panglima-panglima  dan pendeta-pendeta yang membawa kayu salib sambil mengeraskan suara membaca doa. Doa itu diulang-ulang oleh tentera yang berbaris di belakang mereka dengan suara yang begitu menggentar hati dan sanubari tentera-tentera Muslim dibuatnya. 

Tatkala tentera kaum Muslimin melihat musuh mereka seperti itu, kebanyakan mereka terkejut, lalu timbul takut di hati mereka. Abu Ubaidah bin Jarrah menyedari keadaan tersebut lalu bangkit mengobarkan semangat jihad kepada mereka. “Wahai hamba-hamba Allah, Menangkan agama Allah! Pasti Allah akan menolong kamu, dan memberikan kekuatan kepada kamu!" "Wahai hamba-hamba Allah, tabahkan hati kamu semua! Kerana ketabahan adalah jalan keluar dari kekafiran, jalan mencapai keredaan Allah, dan menolak kehinaan. Siapkan lembing dan perisai! Tetapkanlah tenang dan diam! Kecuali zikrullah (mengingat Allah) dalam hati kalian masing-masing. Tunggu perintah saya selanjutnya, InsyaAllah!” teriak Abu Ubaidah lagi.

Tiba-tiba seorang tentera Muslim keluar dari barisan dan berkata kepada Abu Ubaidah, “Saya ingin syahid sekarang. Adakah ada apa-apa pesan kamu kepada Rasulullah?” Lantas Abu Ubaidah menjawab dengan segera, “Ya, ada! Sampaikan salam dari diri ku dan salam kaum Muslimin kepada baginda. Katakan kepada baginda, sesungguhnya kami telah mendapatkan apa yang dijanjikan Tuhan kami telah benar-benar terbukti!”. Sesudah tentera tersebut mengucapkan kata-katanya itu, Said jelas melihat tentera Muslim tersebut lalu menghunus pedang dan terus maju menyerang musuh-musuh Allah. Said tanpa berlengah lagi pun bertindak sedemikian, ia membanting diri ke tanah, dan berdiri di atas lututnya. Lalu membidikkan lembingnya dan berjaya menikam seorang musuh. Tanpa menyedari apa-apa, di atas semangat perjuangan di jalan Allah perasaan takut lenyap dengan sendirinya di hati diri Zaid. Melihatkan tentera Muslim itu dan tindakan Zaid lalu telah menyemarakkan semula semangat tentera-tentera Muslim yang lain untuk bangkit menyerbu melakukan serangan terhadap tentera Rom yang berada di hadapan mereka. Perang pun berkecamuk dan berlaku dengan hebat. Akhirnya, Allah memenangkan kaum Muslimin walaupun kekuatan tentera Muslim hanyalah seramai 24,000 orang.

Inilah keberanian yang telah ditunjukkan oleh Said bin Zaid salah seorang yang telah dijanjikan oleh Rasulullah antara 10 orang sahabat Nabi yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Keberanian mengatasi segala-galanya. Tidak kira berapa ramai musuh tapi disebabkan semangat tidak takut dan gentar tapi berjaya mengatasi kekuatan musuh yang dihadapi. 

Begitulah kita dalam melakukan jualan, walau sehebat mana pesaing menunjukkan kekuatan mereka dengan strategi, skil, produk dan kaedah yang mereka gunakan namun kita jangan sama sekali mudah mengalah dengan apa yang ada pada kita. Bangun segera katakan pada diri kita sendiri yang kita juga boleh melakukan jualan seperti mana mereka melakukannya. Jangan mudah merasa gentar, takut, risau dan panik. Hadapi dengan tenang, sabar dan tabah supaya apa yang kita lakukan dapat dilakukan dengan sebaik yang mungkin baik apabila berhadapan dengan prospek/pelanggan dan menghadapi persaingan yang ada di pasaran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan