Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 24 Januari 2013

KISAH ABRAHAH DAN PASUKAN GAJAHNYA



Sejarah Islam sebelum kelahiran Rasulullah yang dikenali sebagai tahun Gajah hanya disebabkan mengenangkan bagaimana tentera bergajah pimpinan Abrahah menyerang Kota Mekah. Selepas terjadinya peristiwa tersebut, junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah.
Tentera bergajah diketuai oleh Abrahah yang berasal dari Habasyah (Ethiopia). Abrahah sangat ditakuti oleh orang-orang Arab disebabkan kebengisan beliau. Beliau mempunyai sifat yang sungguh angkuh dan tinggi diri. Disebabkan dengkinya dengan Kaabah, beliau telah membina satu tempat ibadah yang begitu tinggi di Yaman yang dinamakan Qullais. Keinginan beliau tidak lain hanya ingin menarik perhatian manusia supaya beralih tumpuan pergi ke Yaman dan jangan pergi ke Kota Mekah lagi.
Abrahah berhajat dan berharap pembinaan tempat ibadah Qullais dapat mengalahkan pengaruh Kaabah yang menjadi tumpuan orang ramai di waktu itu. Seorang di antara kabilah Bani Fuqaim tidak dapat menahan amarahnya terhadap apa yang telah dibina oleh Abrahah kerana kesetiaannya pada Kaabah. Dia telah mengambil langkah memakan julap lalu secara senyap dia kemudiannya masuk ke dalam Qullais lalu membuang air besar di dalamnya dan mengotori bahagian penting bangunan itu dengan najis. Ketika Abrahah mendengar peristiwa itu dia menjadi amat marah di mana perasaan dendamnya terhadap Kaabah semakin menebal. Abrahah lalu bersumpah akan menghancurkan Kaabah.
Beliau terus menyiapkan sebuah angkatan tentera yang cukup lengkap dan besar dengan membawa ratusan ekor gajah lalu berangkat sendiri memimpin pasukannya menuju ke Mekah. Sepanjang laluan ke Mekah, Abrahah telah bertindak memusnahkan setiap perkampungan yang ditempuhi. Seluruh masyarakat Arab jadi takut dan cuba melarikan diri dari terserempak dengan laluan Abrahah yang sedang mara ke Kota Mekah. Jelas betapa jahatnya Abrahah ketika itu.
Apabila sampai di satu tempat luar Kota Mekah, ketika beliau sedang berehat disuruhnya beberapa orang tenteranya pergi ke Kota Mekah untuk memberitahu penduduk Mekah akan kedatangan mereka. Tetapi malangnya sebahagian dari wakil-wakil tentera Abrahah tersebut tidak melakukan apa yang di arahkan oleh Abrahah. Sebaliknya bila sampai di Mekah mereka telah mencuri dan merompak harta orang-orang Mekah termasuklah kambing kepunyaan Abdul Mutalib. Disebabkan keganasan yang telah ditunjukkan oleh wakil tentera Abrahah yang telah melakukan rompakan dan rampasan harta mereka lalu Abdul Mutalib lalu pergi berjumpa Abrahah untuk meminta dipulangkan kembali kambingnya yang dicuri. Sebaliknya Abrahah dengan bongkaknya telah bertanya balik kepada Abdul Mutalib apakah Abdul Mutalib langsung tidak merasa gerun dan takut terhadap keinginannya yang akan cuba membinasakan Kota Kaabah. Lalu Abdul Mutalib menjawab dengan tenangnya bahawa kambing itu memang kepunyaan dirinya tetapi Kaabah itu ada tuannya di mana pemiliknya ialah Allah.  Jelas menunjukkan betapa kuatnya pegangan Abdul Mutalib yang berani mengatakan perkara sebegini kepada Abrahah yang terkenal dengan kebengisannya.
Abrahah dengan angkuhnya lalu meneruskan misi menyerang Kota Mekah dengan tentera bergajahnya. Dia merasakan dia lah yang paling kuat tetapi dia lupa bahawa Allah lebih hebat dari segala-galanya seperti mana yang telah dimaklumkan dalam surah Al-Fill. Firman Allah bermaksud “[1] Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhan mu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? [2] Bukankah Tuhan mu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? [3] Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong, [4] Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, [5] Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Tiba-tiba sahaja Allah telah datangkan kepada mereka burung-burung yang berpuak-puak yang tidak diketahui dari mana datangnya bagi menewaskan tentera bergajah tersebut. Setiap burung itu membawa tiga biji batu di mulutnya. Dibalingnya ke atas mereka batu-batu tersebut yang berasal dari neraka. Burung itu pun semestinya bukan sebarang jenis burung. Tidak ada seorang pun yang tersisa terlepas dari buruan burung-burung tersebut. Apabila dilontar batu pada tentera bergajah tersebut maka menjadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat. Begitulah hebatnya kuasa Allah demi melindungi Kaabah. Sekuat mana sekalipun angkatan tentera yang ingin melawan Allah tidak akan tertanggung untuk melawannya.

Inilah kisah untuk kita jadikan pengajaran dan iktibar untuk kita fikirkan bersama. Bukan sahaja dalam pemikiran agama tetapi juga boleh di adaptasi sama sekali dalam bidang jualan. Apa yang dimaksudkan adalah

i.             Kita merancang tapi dengan kuasa Allah yang menentukannya sama ada jadi ataupun tidak. Kerana itu kita kena berserah diri kepada Allah dengan segala usaha yang telah kita lakukan. Percaya dan yakin atas segala bantuan dan pertolongan yang Allah akan berikan kepada kita asalkan kita bertawakal kepada Nya.

ii.           Jangan mudah tinggi diri dan mudah merasa bongkak lupa diri dengan apa yang telah ada pada kita. Kalau Allah hendak tarik, sekelip mata sahaja hukuman Nya Allah boleh berikan. Sentiasa bersyukur dengan apa yang telah Allah anugerahkan kepada kita.

iii.          Nak pergi berperang kena ada perancangan dan strateginya. Kena betulkan niatnya dahulu dan bukan untuk bermegah-megah. Jangan main hentam kromo sahaja sehingga ada serangan yang tidak disangka-sangka boleh berlaku tidak tahu nak buat bagaimana. Kerana itu bukan manusia yang perlu kita pohon pertolongan tapi kepada Allah juga tempat sebenarnya.

iv.          Gunalah secanggih mana pun peralatan yang ada tapi kalau Allah tidak mengizinkan pasti tidak menjadi juga. Kena redha dengan apa yang ada dan tidak sama sekali merungut-rungut.

v.            Berani kerana benar seperti mana yang telah Abdul Mutalib tunjukkan. Jangan mudah merasa gerun dan takut. Jalan terbaik adalah secara bersemuka dan berdiplomasi secara berhemah. Tiada perasaan malu tapi mahu perkatakan apa yang betul. Jangan sama sekali mudah mengalah dan lari dari kenyataan.

vi.          Jangan dilupakan takdir Allah kerana Allah penentu segala-galanya. Yang penting teruskan berusaha melakukan tindakan seperti mana yang dirancang. Dah berusaha berdoa dan tawakal kepada Allah.

vii.        Sentiasa bertawaduk terhadap Allah di atas muka bumi ini. Kemenangan pasti berada kepada kita bukannya kekalahan. Yakin dengan janji Allah, itulah yang sepatutnya kita pegang dan percaya sungguh-sungguh.

Banyak yang boleh kita pelajari. Jangan mudah mengalah. Yakin akan bantuan dan pertolongan Allah. Menjuallah dengan sebaik yang mungkin dan termampu tanpa mengabaikan sama sekali apa yang Allah perintahkan kepada kita untuk melakukannya dan taat kepada semua yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Selagi niat kita betul selagi itulah jangan perlu dirisaukan apa yang kita akan lakukan. Yakin Allah bersama kita dan tidak sama sekali membiarkan kita berseorangan. Usaha dahulu baru tawakal dan bukannya tawakal tanpa usaha. Barulah kejayaan boleh dinikmati tanpa perlu adanya rasa ragu dan kecewa sama sekali. Selamat menyambut Maulidur Rasul.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan