Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 31 Disember 2012

Yang Cerewet Pula Di Temui




Amat melecehkan apabila kita bertemu dan berhadapan dengan prospek/pelanggan yang amat cerewet. Dah lah cerewet, itu nak tahu ini nak tahu segala apa yang disampaikan kena beritahu secara mendalam, jelas dan berfakta. Tanpa memberi sebarang ruang dan peluang tidak kira sibuk ataupun tidak prospek/pelanggan tersebut pasti akan mengira menjurus hanya kepada kepentingan diri beliau sahaja. Bukan setakat melecehkan tapi juga memenatkan bagi kita yang melakukan jualan jika terserempak bertemu dengan prospek/pelanggan yang sebegini.

Inilah ujian Allah SWT terhadap kita. Bukan setiap hari langit sentiasa cerah sekali sekala keadaan mendung pasti ada. Oleh itu hadapi prospek/pelanggan yang sebegini dengan sebaik yang mungkin kerana peluang yang datang tidak mengira siapa, bagaimana perangainya, di mana dan bagaimana. Semuanya kena hadapi dengan sebaik yang mungkin. Layanan kena sama diberikan. Sentiasa beringat agar apabila bertemu dengan prospek/pelanggan sebegini beberapa tindakan perlu kita lakukan semasa menjual iaitu

i.              Tenang, sabar dan tabah (TST)
Dah tempuhi maknanya kena lalui suka ataupun tidak. Tiada kompromi lagi dah. Kena teruskan juga usaha yang telah dimulakan. Banyakkan  guna konsep TST iaitu ketenangan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi prospek/pelanggan yang sebegini. Jangan jadikan diri kita terlalu cerewet pula seperti mana prospek/pelanggan tunjukkan. Banyakkan beralah, per mudahkan dan tidak sama sekali disukarkan. Tindakan kita akan menggambarkan kesungguhan kita untuk memberikan penerangan yang terbaik kepada prospek/pelanggan yang kita temui. Tunjukkan keyakinan agar mereka juga akan yakin dengan apa yang kita berikan kepada mereka.

ii.            Berikan penerangan yang sewajarnya
Lagi cerewet lagi bagus, lagi banyak input yang diberikan lagi banyak kita ketahui apa yang dinginkan. Berikan secara penerangan yang berfakta dan jangan sama sekali kelentong yang bukan-bukan. Jika ada testimonial berikan sebagai satu bukti nyata agar prospek/pelanggan tersebut lebih memahami. Kadang-kadang dari pengalaman yang telah dilalui dengan produk yang telah kita digunakan pada orang lain juga dapat membantu jualan yang kita lakukan dengan mudah dan diyakini dengan cepat.

iii.           Jangan mengeluh
Tolong jangan mengeluh atau mengadu kesah akan perangai dan kelibat prospek/pelanggan yang di hadapan kita. Baik dari segi perkataan mahupun dari bahasa badan ataupun riak muka semuanya kena dijaga dengan rapi. Firman Allah bermaksud ‘……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir’(Surah Yusuf ayat 12). Hadapilah dengan sebaik mungkin sesungguhnya rahmat Allah itu lebih hebat dari segala-galanya.

iv.           Jangan tergesa-gesa
Buat relak sahaja. Jangan kelam kabut nak bagi cepat habis sahaja disebabkan rasa meluat dan bencinya kita terhadap prospek/pelanggan yang berhadapan dengan kita. Ketenangan jiwa dan perasaan memainkan peranan penting. Lagi dia cerewet bertanyakan sesuatu secara detail dan lengkap bermakna peluang semakin cerah untuk mendapatkan penutupan jualan. Sentiasa membantu dan tolong selesaikan apa juga masalah yang ditanggung agar prospek/pelanggan terasa yang kita benar-benar ikhlas dan mahu untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan sewajarnya.

Kejayaan menjual bukanlah kerana apa yang di jual oleh kita tetapi kejayaan menjual adalah di tunjukkan bagaimana kita menjual. Ini lagi penting. Kerana itu setiap apa yang kita lakukan kena ada ilmu. Jangan main hentam sahaja janji boleh laku dan diterima oleh prospek/pelanggan yang ditemui. Setiap apa juga halangan, rintangan dan dugaan yang mendatang sudah pasti ada jalan penyelesaiannya yang Allah SWT akan berikan kepada kita sebagaimana firman Allah 

bermaksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216). Kuatkan semangat tabahkan hati untuk hadapi akan apa juga yang kita hadapi pasti kejayaan juga akan kita peroleh nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan