Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 19 Disember 2012

TINDAKAN KEJAYAAN MERUBAH SEGALA-GALANYA



Bila melakukan jualan apa yang penting pendapatan kita akan bertambah dengan sendirinya tanpa kita duga dan jangka sama sekali. Inilah yang kita harapkan dan mahukan sama sekali. Tidak siapa pun yang boleh mencabar kewibawaan dan kecenderungan diri kita melakukan jualan. Bila orang lain ‘jealous’ dan iri hati dengan kita yang penting kita percaya bahawa memperoleh pendapatan yang tinggi dan banyak hasil datang dari usaha diri kita sendiri. 

Bagi memastikan kita berupaya untuk melakukannya dan membuatkan apa yang diperlukan bagi mencapai azam yang kita mahukan dan perlukan adalah dengan

i.                     Memastikan tahap tenaga kita yang terbaik
Kesihatan perlu dijaga agar kita bebas untuk bergerak. Apabila kita bebas untuk bergerak kita akan lebih bersemangat untuk mencari dan bertemu dengan prospek/pelanggan. Lagi banyak kita bertemu lagi banyak peluang akan terbuka. Kerana itu tenaga yang ada dalam diri kita perlu dijaga dan jangan dihabiskan kepada melakukan perkara yang bukan-bukan tidak tentu hala apabila melakukan jualan. Sebaik-baiknya demam sedikit sahaja cepat-cepat bertemu dengan doktor di samping memastikan senaman setiap masa dapat dilakukan dengan sebaik yang mungkin secara berkala, konsisten dan bersungguh-sungguh.

ii.                   Fokus
Beri tumpuan sewajarnya. Jangan lari dari apa yang kita mahu untuk lakukannya. Fokus kerja kita, kepada pelanggan dan sasaran yang telah ditetapkan. Kena ada nawaitu yang tinggi untuk dapatkan fokus yang dingini. Jangan biarkan fikiran kita terlalu berserabut dengan masalah-masalah yang ada. Bersihkan pemikiran kita dan biarkan masalah itu berlalu begitu sahaja kerana masalah yang datang tidak pernah habis sama sekali untuk kita tempuhi.

iii.                  Elakkan dari kata-kata yang negatif
Bak kata ulama, nak jadi baik kena berkawan dengan orang yang baik dan jika nak jadi jahat kena berkawan sahaja dengan penyamun dan kaki putar alam. Pilihan semuanya ada dalam diri kita sendiri sama ada nak pilih yang baik atau yang jahat. Begitulah juga dalam melakukan jualan, nak berhasil melakukan jualan kena cari orang yang positif fikirannya dalam melakukan jualan dan telah terbukti dengan cara dan kaedah yang dilakukan sememangnya berjaya dalam jualannya. Kita contohi dan tiru mana yang baik telah beliau lakukan dan minta nasihat sebaik-baiknya agar diri kita tidak sama sekali tergelincir dengan apa yang kita lakukan selama ini.

iv.                Yakin kita boleh melakukannya
Buang rasa malu dan malas. Yakin pada diri sendiri, yakin pada produk yang hendak ditawarkan dan yakin pada organisasi tempat kita bernaung. Bila kita yakin, prospek/pelanggan yang melihat kita akan turut sama merasa yakin dengan keupayaan diri kita. Dengan rasa yakin ia nya boleh menjangkitkan keyakinan pada diri kita kepada orang lain terutamanya ketika kita memberikan presentasi dan penerangan kepada mereka. Pasti boleh dilakukan bila tiada rasa gentar, risau, panik dan menakutkan untuk dilalui. Semuanya kena yakin pada diri sendiri dan tahu apa yang kita lakukan.

v.                  Minta pada Allah
Orang Muslim elok sangatlah mohon dan minta pada Allah. Jangan ketepikan ia sama sekali. Bertindak jujur kerana kita adalah hamba yang dijadikan Allah untuk taat setia kepadanya. Mintalah apa sahaja kepada Allah pasti akan kurniakan permintaan dan permohonan kita sebaik yang mungkin. Bezanya antara cepat atau lambat sahaja kerana apa juga yang terjadi dan berlaku ada hikmatnya dan sebagai satu ujian dari Allah SWT untuk kita hadapinya dengan tabah, tenang dan sabar. Mohonlah pada Allah agar kita dipermudahkan tugasan kita dari disukarkan. Semoga prospek/pelanggan yang ditemui terbuka hatinya agar sentiasa menerima dengan mudah dan senangnya apabila bertemu dan mendengar presentasi yang kita lakukan. Menyenangkan segala urusan yang dilakukan dan tidak sama sekali memayahkan apa yang kita lalui. Andai kata gagal muhasabah semula dan mohon pada Allah agar sentiasa menempatkan diri kita sentiasa melakukan yang terbaik dan di redhai oleh Allah SWT.

Inilah resipi dalam mencipta kejayaan apabila melakukan jualan. Lakukan yang terbaik bukan setakat pertuturan mulut sahaja tetapi dari segi perbuatan pun kena ada selari dengan apa yang kita idamkan selama ini. Tiada siapa di dalam dunia ini mahukan kegagalan. Semuanya mahukan kejayaan dan menjadi inspirasi buat diri kita sendiri yang melakukannya. Bila kejayaan telah hadir dan wujud pada kita sememangnya dengan sendirinya akan memberikan impak yang besar kepada diri kita untuk melakukannya yang terbaik lagi setanding dengan orang-orang lain yang telah berjaya melakukannya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan