Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 28 Disember 2012

APABILA KENA MAKI HAMUN


Tersentuh perasaan kiranya secara tiba-tiba sahaja prospek/pelanggan datang terus kepada kita lalu menghambur kata-kata kesat dan menyakiti hati kita. Tanpa ketahui apa salah dan silap kita, terus diterima pelbagai kata-kata cacian, makian dan menyentuh perasaan kita umpama seseorang sedang menembak diri kita dengan menggunakan selaras mesin gun tanpa sebarang perlindungan. Terkedu dan terkesima dibuatnya. Mode yang baik terus bertukar menjadi mode yang tidak baik pula. Apa yang perlu kita lakukan untuk atasi perkara begini.

Mungkin kisah ini boleh kita jadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran paling berguna untuk kita apabila menghadapi situasi seperti ini.  Kisah ini  adalah tentang Sayidina Hassan bin Ali r.a., adalah seorang tokoh Islam yang sangat dicintai oleh umat Islam. Sebagai seorang cucu Rasulullah beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnya kerana memiliki budi pekerti yang mulia dan terpuji. Pada suatu hari sedang Sayidina Hassan duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang pemuda Badwi, lalu mencacinya termasuk juga ke atas kedua ibu bapanya. Anehnya, Sayidina Hassan hanya mendengar sahaja tanpa sedikit pun berubah air mukanya, atau membalas kata-katanya pemuda Badwi tersebut.

Sayidina Hassan berkata kepada pemuda Badwi itu: "Wahai Badwi, adakah engkau lapar atau dahaga? atau adakah sesuatu yang merunsingkan hati engkau?." Tanpa mempedulikan kata-kata Sayidina Hassan, Badwi itu terus memaki hamunnya lagi dan lagi tanpa berhenti. Oleh itu Sayidina Hassan pun menyuruh pembantu rumahnya membawa uncang yang berisi wang perak lantas diberikannya kepada Badwi itu dan berkata: "Wahai Badwi, maafkanlah saya. Inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang lebih tidak akan saya sembunyikannya dari pada mu."

Sikap dan layanan Sayidina Hassan itu akhirnya berjaya melembutkan hati Badwi tersebut. Badwi itu menangis teresak-esak lantas sujud di kaki Sayidina Hassan dan berkata: "Wahai cucu baginda Rasulullah s.a.w. maafkanlah aku kerana berlaku kasar terhadap mu. Sebenarnya aku sengaja melakukan begini untuk menguji kebaikan budi pekerti mu sebagai cucu baginda Rasulullah s.a.w. yang aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau mempunyai budi pekerti yang mulia sekali."
Sebagai satu pengajaran dan iktibar buat diri kita bukan bermakna apabila kena maki hamun dari seseorang yang menemui dan ditemui kita lantas memberikan sekarung wang ringgit kepadanya. Tetapi apa yang perlu dipelajari adalah tindakan sabar, tabah dan tenang menghadapi situasi sebegini. Jangan mudah turut sama memaki hamun balik kepada dirinya. Menyerang balas mana yang perlu asalkan diri dan hati kita merasa cukup puas dengan apa yang kita sampaikan. Kena bertenang sentiasa. Jangan pula cuba melawan atau cuba mempertahankan diri dengan meninggi suara atau mengherdik semula kepada prospek/pelanggan tersebut.

Kena ada sikap yang berhemah dan bersopan dalam mengendalikan situasi sebegini. Ketenangan akan membawa kepada keadaan yang terkawal. Kena ‘cool’ sahaja jangan menggelabah apatah lagi nak marah. Sebaik-baiknya jangan mencelah, melawan apa yang diperkatakan dan tunggu sehingga habis apa yang dipersalahkan kepada kita. Beri beliau masa yang sewajarnya. Dengan segera buat catatan apa yang diperkatakan agar beliau tadi kita ambil berat apa yang beliau bisingkan. Bila keadaan agak tenang nyatakan semula apa yang beliau perkatakan. Simpulkan dengan bahasa kita pula dan balaslah kenyataan beliau secara baik dan lembut sama sekali. 

Firman Allah bermaksud ‘Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar’ (Surah Al-Baqarah Ayat 153).

Firman Allah bermaksud ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar’ (Surah Al-Baqarah Ayat 155)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan