Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 3 Disember 2012

AMBIL TAHU



Dalam sesebuah organisasi sudah pasti akan wujud tim jualan yang akan memastikan setiap produk yang dikeluarkan dapat dijual mengikut sasaran yang diberi dan ditetapkan oleh pihak pengurusan. Apabila kita berkhidmat dalam tim jualan tersebut ini bermakna kita telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Masalahnya timbul apabila kita beria-ia mengambil berat tentang jualan dan penjualan produk tersebut tapi malangnya pada rakan sekerja kita yang turut sama dalam tim jualan tersebut buat endah tak endah sahaja. Amat mengecewakan kalau perkara sebegini berlaku dan terjadi.

Bila berada dalam tim jualan sikap dan sifat mengambil berat kena ada dalam setiap kakitangan yang berada dalam tim tersebut. Tidak terkecuali seorang pun. Semua kena ambil tahu dan ambil berat akan apa yang berlaku dan terjadi. Kerja berpasukan tidak sama sekali akan tertanggung oleh seorang sahaja melainkan bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Kerana itu kena wujudkan sikap ambil berat bukan setakat tentang prestasi sendiri tetapi juga tentang prestasi rakan setugas, prestasi tim jualan yang dianggotai dan prestasi keseluruhan organisasi yang kita wakili. 

Antara penerapan ambil berat ini yang perlu diwujudkan adalah dengan cara

i.                     Kenali dengan lebih mesra rakan-rakan dalam tim jualan
Jangan setakat tahu nama sahaja. Ambil tahu serba sedikit tentang latar belakang rakan-rakan sekerja dan setugas dengan kita. Ambil tahu apa yang dia suka dan tidak digemarinya. Jangan main hentam suka bergurau  dan berlawak tak tentu hala. Kenal hati budi dan perasaannya terlebih dahulu. Ajak berkawan jadikan sahabat dalam masa berduka dan bergembira secara bersama-sama.

ii.                   Terapkan budaya bantu-membantu
Peluang sentiasa terbuka kepada sesiapa yang rajin dan mahukan kejayaan secara bersendirian dalam melakukan jualan. Sebaik-baiknya bergerak secara bersama memandangkan kita bekerja secara berkumpulan. Bila ada kesusahan semua ahli tim membantu dan begitu juga bila kejayaan diraih juga secara bersama. Jangan dibiarkan seperti katak di bawah tempurung, hidup keseorangan walaupun dikelilingi oleh rakan setugas. Buang segala ego dan tinggi diri kita bagi menghormati rakan setugas yang lain  kerana pergerakan kita adalah secara bersama, berjemaah dan berkumpulan.

iii.                  Paha kiri dicubit paha kanan terasa
Seorang terasa sakit habis semua terasa sakitnya juga. Kena ada sensitiviti dilakukan demi memastikan kerja berpasukan diamalkan dan diterapkan. Andai kata seorang jatuh sakit dan dimasukkan ke dalam wad, berziarah tim kumpulan semua tanpa ada tertinggal seorang pun di samping memberikan doa agar rakan kita yang menderita kesakitan tersebut diberikan kekuatan semangat dan semoga sembuh dengan segeranya seperti sedia kala. Semangat ukhuwah dan silaturahim perlu dijaga dengan baik dan saksamanya

iv.                 Elakkan kepentingan diri sendiri
Jangan tamak dan pentingkan diri sendiri. Fikirkan juga ahli-ahli dalam tim jualan sama. Bergerak seperti satu pasukan barulah tim jualan tersebut akan hebat prestasinya. Rezeki masing-masing atas usaha sendiri. Yang penting bergerak secara bersama lakukan aktiviti yang diperlukan dan dimahukan cipta jualan sebanyak yang termampu agar satu kek yang terdapat di pasaran boleh dikongsi secara bersama dan bukannya untuk dikongsi dengan pesaing yang ada.

v.                   Ikut arahan
Satu yang mesti diketahui apabila bertugas dalam tim jualan arahan perlu diikuti dan dipatuhi. Jangan sama sekali main suka-suka hati lakukannya secara bersendirian. Lakukan arahan tersebut dan jangan sama sekali membantah dahulu melainkan arahan tersebut adalah bercanggah dengan Agama dan prosedur organisasi. Kena buat dahulu segala arahan yang diberikan melainkan telah dicuba didapati gagal nyatakan sebab-sebabnya secara berhemah dan merendah diri. Barulah si ketua tersebut faham dengan lebih baik dan senang menerimanya sama sekali. Tiada istilah hero atau heroin dalam tim jualan kerana arahan yang diberi adalah demi memastikan bukan setakat prestasi kita sahaja yang meningkat tetapi juga prestasi keseluruhan dalam tim jualan tersebut dapat dipertingkatkan sama.

vi.                 Jangan belajar beri banyak alasan
Ingat kita bukan kerja secara berseorangan, ada rakan sekerja kita yang lain turut sama melakukan jualan. Perkara yang negatif jangan berpakat kerana ini akan menjahanamkan keupayaan tim jualan dan prestasi kita sendiri. Makin banyak alasan yang diberikan bermakna semakin malas rupanya kita dalam melakukan jualan. Elakkan sama sekali dan beri alasan jika perkara yang dituntut untuk dilakukan sememangnya benar-benar tidak dapat dilakukan dan di luar dari keupayaan dan kebolehan kita melakukannya. Kalau orang lain boleh melakukannya kenapa kita tidak?

Adat kita bekerja secara berkumpulan dan bersama-sama, kena ada timbang rasa dan berhemah sesama rakan setugas kita demi memastikan pencapaian tim jualan kita dapat dicapai secara bergerak secara muafakat. Apa juga yang diperkatakan terutama kepada prospek/pelanggan yang ditemui biarlah sama jalan ceritanya tanpa ada perbezaan walaupun sedikit. Pertimbangkan baik buruknya sebelum memberi pendapat dan pengetahuan kepada orang lain. Biarlah selari tugasan kita dengan rakan sekerja kita agar tidak akan timbul suatu hari nanti perasaan berdendam, sakit hati, ketidakpuasan hati dan marah terjadi dengan begitu mudah dan senangnya. Elakkan ia nya berlaku dalam tim jualan kita. Kalau adalah perkara ini, ini bermakna ada sesuatu yang tidak elok dan baik telah ada dalam diri kita masing-masing yang pasti akan menyebabkan tim jualan tersebut akan tumbang bila-bila masa terdekat ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan