Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 15 Disember 2012

Kena Ambil Tahu



Seorang penjual bukan setakat mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan untuk menjual dan menarik perhatian orang tetapi juga kena ketahui apa hak-hak pengguna, bakal pembeli dan pelanggan yang kita temui dan berurusan dengan mereka. Jangan terlalu sibuk fikirkan apa kita sahaja melakukan jualan tapi hak mereka kena fikirkan sama. Kerana  mengejar keuntungan dan perolehan tambahan sepertimana yang kita kehendaki habis semuanya kita sapu asalkan produk yang ditawarkan mendapat sambutan.

 Kejujuran memainkan peranan penting bagi mengawal kepentingan diri sendiri. Jangan hanya kerana mengejar keuntungan dan tamak haloba yang menyelubungi diri, langsung dipinggirkan hak bakal pembeli atau pelanggan asalkan apa yang kita dapati benar-benar memuaskan hati dan sanubari kita. Tiada kejujuran pasti lambat laun tiada siapa nanti yang boleh dan dapat mempercayai kita pada akhirnya. Akhirnya kita juga yang akan menanggung malunya nanti dan cukup sukar pula melakukan jualan. Adakah keadaan begini yang kita mahukan? Tentu tidak sama sekali. Adalah disarankan apabila melakukan jualan agar dapat dipastikan terlebih dahulu agar kita sentiasa menanam sikap berwaspada dan melakukan kejujuran sepatutnya untuk membantu dan menolong bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui supaya mereka benar-benar berpuas hati dan mempercayai keupayaan kita dalam menawarkan produk kepada mereka.

Dari Nafi’ dari Abdullah ibnu Umar bahawasanya Rasulullah bersabda bermaksud “ Antara si penjual dan si pembeli, masing-masing dari mereka hendaklah saling memberikan kebebasan kepada yang lain selama mana mereka belum berpisah kecuali jual-beli dengan perjanjian tertentu” (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 4 Hadis 4311).

Dalam kita melakukan jualan, kena ketahui juga tentang hak-hak pengguna yang telah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terlebih dahulu agar setiap tindakan kita dalam melakukan tugasan jualan tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Fahami dahulu adalah lebih baik dari kita buat-buat tahu terlebih dahulu. Jangan tanggung risiko yang bukan-bukan hanya kerana kita tidak mahu mengetahui hak-hak pengguna. 

Antara hak-hak pengguna tersebut adalah

Pertama : Hak untuk mendapat keperluan asas

Sebagai pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan yang terpelihara, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi.

Kedua : Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat

Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan. 

Ketiga :  Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan. 

Keempat : Hak untuk membuat pilihan

Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.

Kelima :  Hak untuk menyuarakan pendapat

Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.

Keenam :  Hak untuk mendapat ganti rugi

Pengguna berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Ketujuh :  Hak untuk mendapat pendidikan pengguna

Pengguna berhak untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan, serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Kelapan :  Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak berbahaya kepada generasi masa kini serta generasi akan datang.

Tindakan sepatutnya kita lakukan agar apabila kita melakukan jualan sekurang-kurangnya kita telah ketahui apa yang perlu ketahui terlebih dahulu. Jangan sama sekali ambil kesempatan atas kelemahan bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui dan melakukan penipuan atas mereka. Berikan yang sebaik mungkin mengikut apa yang terdaya. Kebenaran dalam memberikan presentasi amat diperlukan agar segala tindakan kita berjaya memikat hati dan perasaan mereka. Kejujuran dalam kesungguhan melakukan jualan dengan bermatlamatkan membantu mereka sebaik yang mungkin agar dapat menyelesaikan segala permasalahan mereka sebaik yang mungkin. Kita bantu mereka dengan sendirinya keuntungan yang kita idam-idamkan sudah pasti akan menurut apa yang kita lakukan. Penuhi terlebih dahulu apa yang mereka mahukan dan perlukan selama ini dari produk yang kita tawarkan kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan