Satu persoalan yang sering didengari iaitu adakah orang yang pandai menjual
ini dilahirkan untuk menjual atau dilatih baru boleh menjual. Menjual adalah
satu bidang yang dipelopori oleh pelbagai bangsa dan keturunan. Tidak kira apa
statusnya sama ada kaya atau miskin, senang atau susah dan sebagainya semuanya
mempunyai bakat dan kebolehan dalam menjual. Mungkin satu perkara yang biasa
kita dengar dari orang tua-tua dahulu yang mahukan kita belajar tinggi-tinggi
untuk dihabiskan masa kita berkerjaya dengan makan gaji. Manakala bagi orang
yang berniaga seperti orang-orang bangsa Cina orang-orang tua kita sering
mengatakan mereka kalau tak belajar tinggi pun tidak mengapa kerana semenjak
kecil lagi dah dilatih untuk berniaga. Seolah-olah satu legasi telah berlaku
dalam masyarakat kita di waktu dulu.
Membentuk perniagaan dengan asas jualan bukanlah ada pada bakat. Bakat yang
terbentuk semuanya dari hasil pembelajaran dan pencarian ilmu yang tidak ada
titik noktahnya. Seperti orang berbangsa Cina yang mempunyai perniagaan,
ungkapan semenjak kecil lagi sudah dilatih untuk berniaga adalah satu bukti di mana
kalau hendak menjalankan apa bentuk perniagaan sekalipun latihan, bimbingan dan
curahan ilmu perlu dilakukan. Hendak memulakan perniagaan tapi tidak tahu
bagaimana untuk menjual pun adalah tidak boleh. Menjual adalah asas dalam
pembinaan sesuatu perniagaan. Tak reti nak menjual bagaimana bisnes nak
berkembang.
Kerana itu untuk menjadi seorang yang hebat dalam perniagaan yang
diceburinya, teknik-teknik kemahiran dalam menjual perlu ada untuk dipelajari,
difahami dan di praktik kan. Tidak dinafikan adanya orang-orang perseorangan
yang berjaya tanpa adanya pembelajaran dalam ilmu jualan tapi berapa ramai?
Mungkin satu kebetulan ataupun sudah ditakdirkan tuah badan. Hanya Allah sahaja
yang Maha Mengetahui akan kebenaran Nya.
Kerana itu bagi mereka-mereka yang melakukan jualan dan bertugas di dalam
organisasi-organisasi yang besar atau dalam bidang MLM sudah pasti latihan demi
latihan terutamanya dalam bidang jualan diberi perhatian yang serius dan sewajarnya.
Begitulah pentingnya kenapa curahan ilmu dalam bidang jualan ini perlu
dilakukan. Mengharapkan bakat semula jadi sahaja tidak memadai melainkan diasuh
dan diajar bagaimana untuk melakukan jualan agar kesempurnaan jualan dapat
dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Bak kata pepatah belakang parang kalau di
asah lagipun tajam inikan pula manusia. Kerana itu carilah ilmu yang berkaitan
dengan jualan sama ada melalui menghadirkan diri dalam kelas-kelas bimbingan,
latihan dan seminar-seminar sama ada atas biayai majikan atau diri sendiri.
Paling tidak pun carilah bahan-bahan pembacaan yang terdapat di pasaran seperti
buku-buku kemahiran jualan, artikel-artikel dan sebagainya agar penambahan ilmu
dapat dikemas kini selalu dalam diri kita yang melakukan jualan.
Jadi berfikirlah sama ada ungkapan ‘MENJUAL DI LAHIRKAN ATAU DIPELAJARI?’
adakah relevan dalam dunia menjual pada masa kini. Kita sendiri yang menentukan
sama ada diri kita ini sememangnya ada bakat terpendam, terendam atau kita amat
memerlukan untuk mempelajarinya dari masa ke semasa. Tepuk dada tanyalah otak
di tahap mana kah kita berada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan