Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 31 Mac 2014

SEHINGGA KE LIANG LAHAD




Lakulah apa juga perkara atau tugasan dalam dunia ini semuanya memerlukan ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu sudah semestinya tidak ke mana dan terlalu sukar untuk melakukannya. Dengan ilmu seseorang itu akan dipandang lebih berwibawa dalam melakukan sesuatu tugasan jika di banding dengan seseorang yang kurang ilmu pengetahuannya. Di sinilah terletaknya kehebatan ilmu yang perlu ada pada diri kita.

Tidak dinafikan pula harta adalah sesuatu yang dicari-cari oleh semua orang. Dengan harta seseorang boleh mengubah gaya dan cara kehidupannya. Tiada siapa pun yang mahukan kemiskinan dan kesusahan dalam menjalani kehidupan. Namun kerana harta jugalah seseorang itu akan menjadi seorang yang tamak, lupa dunia dan kehidupannya asyik terlalu sibuk dibelenggu menghabiskan masa mencari kekayaan dan kesenangan. Biarlah apa orang lain perkatakan namun harta tetap diusahakan untuk mencarinya walaupun ilmu tidak setinggi mana.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib telah memberikan gambaran sepuluh kehebatan mencari, mendalami dan mengetahui tentang keutamaan ilmu daripada mencari kehebatan kebendaan iaitu:  

1. Ilmu adalah warisan para nabi, sedangkan harta adalah warisan dari Fir’aun, Qarun, Namrud dan lain-lain.

2. Ilmu selalu menjaga dan membantu orang yang mempunyainya, sedangkan harta dijaga oleh orang yang mempunyainya.

3. Orang yang berilmu banyak mempunyai teman, sedangkan orang yang berharta mempunyai banyak lawan.

4. Ilmu apabila diberikan kepada orang lain akan bertambah sedangkan harta bila diberikan akan semakin berkurang.

5. Ilmuwan sering dipanggil alim, ulama, dan lain-lain. Sedangkan hartawan sering dipanggil bakhil, kikir, dan lain-lain.

6. Pemilik ilmu akan menerima syafaat pada hari kiamat, sedangkan pemilik harta disoal siasat  pertanggungjawabannya.

7. Ilmu apabila disimpan tidak akan habis, sedangkan harta bila disimpan akan usang dan lapuk.

8. Ilmu tidak usah dijaga dari kejahatan, sedangkan harta selalu dijaga dari kejahatan.

9. Ilmu tidak memerlukan tempat, sementara harta memerlukan tempat.
10. Ilmu akan menyinari hati hingga menjadi terang dan tenteram, sedangkan harta akan mengeraskan hati.

Berilah perhatian sewajarnya kepada mendapatkan ilmu pengetahuan. Berusaha untuk mencari dan mendapatkannya tanpa perlu di paksa dan disuruh-suruh. Jangan mudah merasa apa yang ada pada kita telah cukup dan memadai. Tapi berilah tumpuan dapatkan pengetahuan ilmu sebanyak yang termampu. Tiada titik noktah dalam pembelajaran walaupun sebentar nanti kita akan mati. Luangkanlah masa sentiasa agar apa juga ilmu yang dimahukan masih mampu untuk kita mendapatkannya. Hanya dengan ilmu sahaja orang akan ketahui bahawa kita adalah seorang yang boleh dipercayai dan berwibawa melakukannya yang terbaik dan berguna buat mereka nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan