Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 21 Mac 2014

DOA MOHON KESELAMATAN PATUT DI AMALKAN




Nabi Muhammad SAW sudah menganggap bapa saudaranya Abbas Bin Abdul Mutalib seperti ayahnya sendiri. Baginda SAW mengasihinya dan berbakti seperti mana seorang anak berbakti kepada ayahandanya. Ketika bapa saudaranya datang meminta doa, Nabi SAW mengajarkannya doa memohon keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Selama beberapa hari bapa saudaranya mengamalkan doa itu dengan penuh harapan.


Ajar Doa mohon keselamatan
Namun Abbas berasa belum cukup kerana masih banyak keperluan hidupnya yang belum dipenuhi. Beliau datang kepada Rasulullah dan meminta doa harapan yang lain. Namun, baginda mengajarkan dia doa yang sama. Imam Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadzi Syarh Sunan Tidmizi menjelaskan peristiwa itu memberi beberapa pengajaran penting iaitu doa memohon keselamatan adalah doa sangat penting. Tiada satu pun doa yang menyamainya dan tiada satu permohonan pun yang mampu menggantikan kedudukannya.

Kedua, dorongan kepada orang yang memiliki keperluan untuk sentiasa membacakan doa itu setiap kali memohon kepada Allah SWT. Keselamatan memberi erti pembelaan dan perlindungan Allah SWT kepada hambanya. Seorang Muslim yang mengucapkan doa ini bererti telah menjadikan Allah SWT sebagai pelindung dan pembelaannya daripada segala kesulitan hidup di dunia serta akhirat.

Tolak bahaya
Seterusnya, doa ini adalah sebaik-baik bekal untuk menolak segala bahaya dan meraih segala kebajikan. Rasulullah SAW tidak hanya mengajarkan doa ini kepada bapa saudaranya saja. Beberapa sahabat yang datang dan meminta doa harapan diajarkan doa yang sama juga.

Daripada Anas, katanya ‘Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah! Doa apakah yang paling utama? Baginda bersabda : Mohonlah kepada Allah keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Keesokan harinya, lelaki itu kembali datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Nabi Allah! Doa apakah yang paling utama? Baginda berkata: Mohonlah kepada Allah keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Jika engkau telah dikurniakan keselamatan di dunia dan akhirat, nescaya engkau telah beruntung’ (Hadis Riwayat Bukhari)

Sumber : Buku Himpunan Doa dari Al-Quran & Hadis (Berita Harian Khamis 6 Mac 2014: Agama ms 32)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan