Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 15 Mac 2014

MENJAGA AIB PELANGGAN




Sebagai orang yang melakukan jualan, salah satu yang perlu dijaga apabila melakukan jualan dan setelah berkenalan dengan bakal pembeli atau pelanggan adalah untuk menjaga aibnya. Sesuatu yang perlu kita simpan sampai akhir hayat dan jangan sama sekali kita hebahkan, hebohkan atau menceritakan pada sesiapapun juga akan aib yang kita ketahui secara sedar ataupun tidak. Semuanya melibatkan maruah dan jati diri seseorang andai kata mulut kita terlalu ghairah menceritakan kepada sesiapapun secara sengaja ataupun tidak walaupun pada ahli keluarga kita ataupun rakan karib.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke empat Aib boleh dimaksudkan dengan rasa hina atau malu akibat perbuatan keji dan sebagainya oleh seseorang anggota keluarga dan sebagainya, cela, nama buruk, penghinaan; memberi malu, mencela (nama baik keluarga dan sebagainya); menaruh berasa malu; Boleh juga di maksudkan dengan menghina, menodai (nama baik), memberi malu. Amat mendukacitakan bagi seseorang yang telah mengaibkan orang lain. Sesuatu yang perlu diberi perhatian khusus dan menjaga perasaan orang lain agar tidak mudah buat kita melakukannya ketika sebelum, sedang atau selepas kita melakukan jualan.

Banyak keburukannya kalau kita suka mengaibkan orang lain. Semuanya boleh berlaku antara sedar ataupun tidak. Antaranya adalah

i.             Boleh menjatuhkan maruah atau imej seseorang

ii.           Boleh menimbulkan perbalahan atau ketidakpuasan hati akan mudah berlaku

iii.          Menimbulkan kebencian secara mendalam

iv.          Mengajar kita menjadi seorang pengumpat yang profesional

v.            Kita semakin di kenali di jalan yang tidak betul hasil dari gosip-gosip yang di sampaikan

vi.          Semakin lama semakin sukar untuk orang mempercayai keperibadian kita

vii.        Lebih banyak berfikir secara negatif pada orang yang kita temui dari sepatutnya

viii.       Semakin hari semakin sukar melakukan jualan hanya disebabkan terlalu sibuk dengan aib orang dari melakukan jualan

Kita amat ditegah menceritakan atau menghebohkan aib orang kepada orang lain. Belajar untuk mengelak diri kita menceritakan tentang orang lain. Itulah tindakan sewajarnya agar kita dapat melakukan yang terbaik. Kena fokus dan beri perhatian yang sepatutnya dan bukan mencari aib orang sesuka hati. Kita ini kan manusia pasti banyak kelemahannya dari sibuk mencari kelemahan orang lain. Banyak dalil-dalilnya kenapa aib orang jangan di maklumkan tetapi harus di simpan sahaja dalam pengetahuan kita antaranya adalah

Sabda Rasulullah SAW ‘tidaklah seorang hamba menutup aib orang lain di dunia kecuali Allah menutup aibnya di akhirat’ (Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah SAW ‘Muslim adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dan tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa menolong saudaranya untuk penuhi hajatnya maka Allah bersamanya dalam penuhi hajatnya dan sesiapa melayangkan sesuatu kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan lapangkan baginya satu kesusahan dari satu kesusahan di hari kiamat, dan siapa menutupi (aib) seseorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya pula di hari akhirat’ (Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah SAW lagi  daripada Abu Hurairah berkata katakan wahai Rasulullah apakah mengumpat itu? Baginda bersabda ‘(Mengumpat) adalah kamu menyebutkan mengenai saudara mu sesuatu yang dibenci. Abu Hurairah bertanya lagi beritahulah kepada ku. Baginda menjawab ‘kalau pada dirinya terdapat apa yang aku katakan, maka kamu telah mengumpatnya dan kalau pada dirinya tidak terdapat apa yang kamu katakan maka kamu telah membohonginya dengan dusta yang besar’ (Hadis Riwayat Muslim).

Peringatan buat kita semua agar jangan terlalu ghairah dan seronok dengan apa yang telah kita lakukan. Jadilah seorang penjual yang disegani dan dihormati sentiasa dari sibuk menceritakan yang bukan-bukan terhadap bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui. Sekali kita memburukkan orang sudah tentu satu hari nanti orang lain pula akan memburukkan diri kita pula. Kita bukanlah seorang manusia yang terlalu sempurna yang pasti sedikit sebanyak sudah pasti ada kelemahannya tanpa kita sedari. Fokus sahaja pada perkara yang sepatutnya dari kita fokus ke arah keburukan dan kelemahan orang lain pula.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan