Salah satu pengurusan yang tidak kurang pentingnya bagi kita lakukan adalah
tentang pengurusan dalaman diri kita sendiri melakukan jualan. Tidak ada
gunanya kita hebat pada pandangan orang lain dalam melakukan jualan andai kata
diri sendiri pun kita gagal untuk menguruskannya. Tiada siapa pun yang boleh
menguruskan diri kita secara lebih efektif melainkan kita sendiri juga yang
perlu melakukannya. Hanya kita seorang sahaja yang mengetahuinya di mana
kekuatan, kelebihan, kelemahan dan kekurangan yang ada. Semuanya benar-benar bergantung
pada diri kita sendiri sahaja.
Amat wajar bagi kita mendisiplinkan diri kita sendiri. Jangan harap adanya orang
lain yang akan sentiasa membetulkan dan menyuruh kita melakukan perkara-perkara
yang baik. Seratus peratus bergantung pada diri sendiri. Mahu ataupun tidak suka
ataupun tidak sememangnya hanya kita sendiri sahaja yang paling layak untuk memastikan
kita cukup berdisiplin. Bukan niat hanya melakukan yang baik-baik sahaja di hadapan
orang tapi demi menjaga keperibadian dan akhlak kita perlu sangat untuk kita sendiri
yang perlu mengurus diri kita sendiri juga.
Bagi memastikan pengurusan diri kita berjalan lancar dan sempurna, terdapat
beberapa tindakan yang perlu kita lakukan demi memastikan bahawa kita berjaya
menguruskan diri ke arah lebih sistematik dan berkesan iaitu dengan cara
i.
Jangan mudah terlepas pergantungan hidup
kita dengan Allah. Apa juga yang berlaku semuanya adalah cabaran dan dugaan
yang perlu ditempuh dengan hati yang terbuka dan tenang.
ii.
Menjadikan kalendar sebagai rakan karib
bagi memastikan apa juga aktiviti yang sedang dan akan dilakukan dimasukkan
dalam kalendar tugasan kita. Elakkan dari terlupa dan merancang segala aktiviti
dengan lebih lancar dan tersusun
iii.
Jangan difikirkan perkara-perkara yang
tidak dapat dikawal seperti panas matahari yang melampau, hujan yang turun,
kesesakan jalan raya disebabkan adanya kemalangan yang berlaku, berita kematian
dan sebagainya sebagai satu cabaran dan bukannya satu alasan.
iv.
Ketahui dengan lebih baik di mana keutamaan
kita melakukan tugasan. Susun tugasan kita dari keutamaan penting sehinggalah
bukan keutamaan tugasan yang perlu diselesaikan juga dalam satu-satu hari
v.
Segala tindakan yang perlu dilakukan
memastikan berjalan lancar dan bukannya masih untuk merancang dan merancang lagi
vi.
Rajin menziarahi siapa juga terutamanya
pelanggan dan networking sedia ada bagi tujuan keakraban yang terjalin tidak
mudah putus walaupun pertemuan yang dilakukan tidak sampai pun lima minit
vii.
Sentiasa peka dan sensitif untuk belajar
dari kesilapan dan kesalahan orang lain yang juga melakukan tugasan jualan sama
seperti kita
viii. Kemahiran
mendengar dengan menutup mulut perlu diperkemas kan sentiasa bagi memudahkan
lagi tugasan
ix.
Setiap ilmu yang dipelajari dipraktikkan
dan bukannya rajin mendengar dan mengumpul nota sahaja. Praktik kan apa yang
dipelajari agar diri kita sentiasa mampu untuk berkembang dengan lebih maju
lagi
x.
Tiada istilah mengeluh, bersungut, putus
asa dan kecewa dalam kamus hidup kita. Semua yang berlaku adalah satu cabaran
yang perlu ditempuh dengan sebaik yang mungkin.
Sentiasa berusaha sehingga berjaya. Gagal sekali bukan gagal
selama-lamanya. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menguruskan diri kita
melakukan tugasan jualan dengan lebih baik dan sempurna lagi. Menguruskan diri
sendiri sememangnya memerlukan disiplin yang tinggi untuk diusahakan. Tanpa
disiplin dan kemahiran yang ada sudah tentu apa juga yang kita lakukan tidak
akan ke mana juga akhirnya. Teruskan apa yang telah kita lakukan selama ini
dengan penambahbaikan diri sendiri perlu dilakukan jika kita sedar selama ini
kita masih setakat ini sahaja. Sentiasa beringat perancangan yang baik mesti
dilakukan sekarang tanpa tangguh dari mempunyai perancangan yang sempurna untuk
minggu hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan