Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 14 Oktober 2012

Ubah pendirian dengan pujukan



Berabad abad lamanya, Mesir diperintah oleh raja yang menamakan dirinya Firaun. Mereka memerintah secara turun temurun. Kerana kebebasan dan kekuasaan yang ada pada raja Firaun, setiap yang menjadi raja itu, semakin lama semakin kejam dan ganas juga. Bukan saja mereka menganggap dirinya paling kuasa, malah melebihi dari itu, beranggapan bahawa diri mereka itu Tuhan yang harus disembah oleh semua manusia. Pada suatu hari, tukang tilikan di raja sendiri datang menghadap Firaun dan berkata akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israel yang tinggal di Mesir ini. Anak itu nanti akan mengalahkan engkau dengan pemberontakan pemberontakannya dan tidak akan mengakui engkau sebagai Tuhan dan rajanya lagi.
Mendengar itu Firaun yang begitu mudah terpengaruh dan cukup mempercayai tukang tilikan di raja tersebut dengan segera mengeluarkan peraturan istimewanya di mana dinyatakan bahawa setiap anak lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada waktu itu harus dibunuh, kecuali bayi perempuan saja yang dibenarkan hidup. Demikianlah keraguan dan kesusahan hati si Firaun. Di waktu berlakunya undang-undang itulah ibu Nabi Musa sedang mengandung dan sudah hampir dengan melahirkan anak, iaitu Nabi Musa. 

Alangkah sedihnya hati Yukabad, iaitu ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan sudah dekat waktunya untuk bersalin, sekalipun dia sendiri tidak mengetahuinya apakah anak yang di kandungnya itu lelaki atau pun perempuan. Dia terpaksa bersembunyi saja di rumahnya, agar jangan diketahui orang bila bersalin nanti. Dalam keadaan sedang bersembunyi itulah pada suatu hari Nabi Musa dilahirkan. Alangkah terkejutnya oleh si ibu, bahawa bayi yang dilahirkannya itu adalah seorang anak lelaki. Dia tidak berputus asa dan dia percaya juga bahawa anaknya itu akan hidup terus, sedapat mungkin akan dia pertahankan, jangan sampai menjadi korban undang-undang yang dikeluarkan Firaun itu. Khabar kelahiran ini disimpannya baik-baik, tidak terdengar oleh Firaun dan mata matanya. Tiga bulan lamanya bayi Musa itu dapat dijaga oleh ibunya sendiri, dengan tidak diketahui oleh Firaun dan kakitangannya. Tetapi makin lama peraturan itu dijalankan makin bertambah keras juga. Pasukan pengintip di perbanyakan dan di perhebatkan lagi operasi mencari bayi lelaki untuk di bunuh.

Tuhan lalu mewahyukan kepada ibu Musa, agar bayinya diletakkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil yang mengalir di hadapan rumahnya. Dengan hati yang tenang dan sabar, ibu Musa menuruti sahaja ajaran wahyu itu. Bayinya dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil. Bayi yang dihanyutkan itu diiringkan dengan mata sedih oleh saudara perempuan Nabi Musa sendiri, untuk mengetahui ke mana perginya anak bayi ini nantinya. Alangkah terkejut saudara perempuan dan ibu Nabi Musa, ketika diketahuinya, bahawa peti yang membawa bayinya itu terhenti di dalam istana Firaun, lalu diambil oleh isteri Firaun.

Ibu Musa cemas kalau-kalau bayinya dibunuh oleh Firaun. Tetapi Allah lebih berkuasa. Baru saja isteri Firaun melihat wajah bayi yang hanyut terapung-apung dengan sebuah peti di dalam sungai itu, timbul cinta kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Lalu anak itu diambil dan digendongnya ke dalam istana Firaun sambil memikirkan apa hujah-hujah terbaik bagi dirinya mengizinkan Raja Firaun membenarkan untuk dipelihara bayi walaupun mengetahui peraturan masa kini tidak mengizinkan bayi lelaki di benarkan hidup. 

Berbekalkan keberanian isteri Firaun terus sahaja menemui Firaun yang sudah tentu diketahuinya akan membantah dan tidak akan bersetuju dengan cadangannya. Lalu dibawa dan diperlihatkannya juga kepada suaminya. Sememangnya telah beliau duga akan keengganan si Firaun tapi oleh sebab pujukan demi pujukan yang dilakukan secara baik dan berhemah pada akhirnya Firaun terpaksa juga mengalah dan menerima sahaja cadangan si isterinya untuk membela dan membesarkan bayi tersebut di Istananya.

Satu kisah yang baik untuk dijadikan sebagai satu pedoman, iktibar dan pengajaran kepada diri kita semua tentang betapa kuatnya pengaruh memujuk daripada perkara yang tidak dimahukan bertukar kepada perkara yang dipersetujui pula. Mengubah pendirian dan kemahuan seseorang daripada tidak mahu kepada berkehendakkan. Begitulah hebatnya kuasa memujuk dan merayu. Hati sekeras mana pun kalau betul dengan caranya dan kaedahnya sudah pasti terlentok juga akhirnya. Inilah senjata yang perlu digunakan jika ia nya terdesak dan terpaksa di guna pakai. Mungkin kalau kena gayanya tidak mustahil untuk kita pergunakan pula kepada orang lain.

Sememangnya memujuk dan dipujuk adalah satu senjata yang harus digunakan oleh orang yang melakukan jualan agar prospek/pelanggan yang di temui akan menerima juga produk yang ditawarkan kepada dirinya. Asalkan tidak menipu tetapi memberikan secara  berfakta dan benar tentang apa kelebihan dan manfaat produk yang ditawarkan sudah cukup dan memadai bagi mempengaruhi pemikiran mereka. Jangan mudah berputus asa, sedangkan Firaun yang keras dan berani mengaku dirinya Tuhan dengan mudah telah ditewaskan hanya dengan pujukan isterinya inikan pula kita berhadapan dengan manusia biasa. Lakukan dengan baik secara berlemah lembut, berhemah dan berbudi bahasa sudah pasti sesiapa yang sukar untuk menerima apa yang kita tawarkan kepada dirinya pasti akan membuatkan dirinya akan berfikir semula.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan