Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 25 Oktober 2012

Jangan Negatif



Sering kali kita menerima pelbagai perkara negatif yang sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar kepada kita. Bila dah menjadi negatif kesukaran melakukan makin terasa sukar dan susah sama sekali. Mulalah hilang mode, tidak bersemangat melakukan jualan dan mudah menjadi putus asa dan kecewa tidak bertempat. Adakah ini yang kita cari selama ini? Apakah yang harus kita lakukan pula.

Satu perkara yang perlu dirisaukan adalah tanggapan dan pengetahuan kita sendiri betapa negatifnya barangan yang akan kita tawarkan. Nak menjual tapi anggapan dan tanggapan kita masih memandang begitu lekeh, rendah dan negatif yang keterlaluan yang amat sangat kepada produk-produk yang ingin kita pasarkan. Ini yang perlu dielakkan agar jangan sama sekali berlaku dan terjadi pada diri kita. Bagaimana kita nak membantu orang lain andai kata kita sendiri juga turut sama memandang rendah produk yang akan kita tawarkan nanti.

Berubah dengan segera. Sukar nak lakukan jualan kalau sebegini. Sepatutnya ketahui dengan jelas dan fahami pengetahuan produk dengan sebaik yang mungkin. Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku dan terjadi maka lakukanlah perkara-perkara seperti berikut

i.                    Ketahui manfaat-manfaat dan kelebihannya
Setiap produk mesti ada kekurangan dan kelebihannya. Untuk menjual perlu beri perhatian kepada kelebihan-kelebihandan manfaat-manfaat yang ada. Abaikan kekurangannya terlebih dahulu. Cari sebanyak banyaknya manfaat yang ada, kekuatan yang di miliki dan kelebihan yang boleh kita jadikan senjata utama apabila kita melakukan penawaran dan bertemu dengan seseorang. Berfikir secara positif dan bukan yang sebaliknya.

ii.                  Fokus dengan apa yang kita lakukan
Apa juga yang kita lakukan dalam melakukan jualan fokus amat diperlukan. Kena serius dalam melakukan tugasan. Tumpuan kena diberikan seratus peratus. Jangan dibiarkan ada anasir-anasir negatif yang boleh mempengaruhi diri kita. Sedangkan untuk melakukan solat kita dituntut untuk khusyuk inikan pula pekerjaan yang melakukan jualan. Kena ikut juga seperti mana yang Allah telah ajarkan pada kita semasa kita lakukan seperti bersolat.

iii.                Sasarkan pelanggan yang sepatutnya
Kena tahu prospek/pelanggan yang bagaimana akan mudah menerima tawaran kita. Lakukan saringan dan pemilihan sewajarnya. Jangan main hentam kromo sesuka hati sahaja kita lakukan. Buat penat sahaja kalau kita asyik lakukan begitu. Pilihlah sebaik mungkin lakukan saringan se elok yang mungkin agar keputusan yang kita kehendaki akan menjelma dalam mendapatkan penutupan jualan sebanyak yang termampu.

iv.                 Elakkan merungut
Bila lakukan sesuatu elakkan sama sekali merungut dan berkata yang bukan-bukan pada produk yang kita tawarkan. Jangan jadi seperti prospek/pelanggan yang kita temui, apabila mereka mengatakan yang negatif tentang produk, kita pun mulalah mengatakan perkara yang sama menyokong dan mempersetujui akan apa yang mereka perkatakan. Seolah-olah produk yang kita tawarkan memang lekeh dan dipandang rendah. Ini sepatutnya tidak boleh berlaku ketika kita melakukan penawaran kepada mereka. Pertahankan sewajarnya, kalau kita tidak pertahankan produk tersebut tak kan pesaing kita pula akan pertahankan produk kita. Pendirian perlu ada, yakin dengan apa yang kita lakukan dan tawarkan kepada mereka. Mantapkan pengetahuan produk sewajarnya.

v.                   Cari pembimbing peribadi
Kena ada tok guru. Pembimbing peribadi yang sentiasa boleh membimbing diri kita melakukan jualan yang sepatutnya yang mempunyai ilmu pengetahuan dan motivasi diri yang tinggi sepatutnya dari diri kita. Tegurannya biarlah yang boleh membina karier kita dari menjahanamkan tugasan kita. Pilihlah orang yang benar-benar dapat membantu kita dari memilih orang yang asyik memuji diri kita yang bukan-bukan sehinggakan kita cukup terlena dengan pujian yang ditaburkan walaupun perkara yang kita lakukan tersebut adalah salah dan tidak betul sama sekali.

vi.                 Yakin dengan sepenuh hati 
Ikut kata hati. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah orang lain. Jangan jadi seperti lalang sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Tiada pendirian. Belajar menjadi seorang yang cukup yakin dengan apa yang kita lakukan. Tidak mudah goyang walaupun pelbagai bangkangan dan bantahan yang bakal kita terima kemudian hari nanti. Yakin akan apa yang kita lakukan agar prospek/pelanggan yang kita temui nanti juga akan turut yakin dengan apa yang telah kita persembahkan kepada mereka.

Jangan mudah memandang rendah dan peleceh akan produk yang kita tawarkan.  Beringat dahulu jangan fikir yang negatif sahaja. Kalau tidak berminat berhenti sahaja dan lakukan jualan di bidang lain pula. Jangan kerana sikap negatif kita habis semuanya akan merasa kesannya hasil daripada diri kita sendiri. Yang penting kalau tak berminat undur diri sahaja dan beri peluang kepada mereka yang berminat  ingin melakukan jualan produk yang kita tawarkan pula. Jangan tabur pasir di periuk nasi kita atau rakan sekerja kita yang lain tapi jagai lah periuk nasi kita itu sebaik yang mungkin agar perolehan yang kita peroleh di kemudian hari nanti benar-benar berkat dan bersih demi menampung kehidupan kita sehari-hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan