Abu Ayyub r.a meriwayatkan katanya: “Adalah
Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya
dan yang lebihnya dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada
ku makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada
bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: “Apakah ia haram? Baginda bersabda:
“Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata:
“Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang Rasulullah tidak menyukainya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sememangnya tugasan dalam melakukan jualan adalah sering bertemu dengan
orang ramai terutamanya prospek/pelanggan. Antara yang perlu diambil perhatian
ketika melakukan jualan adalah bau-bauan yang pastinya mempunyai pengaruh yang
begitu kuat sekali termasuk orang yang kita temui. Tiada siapa yang ingin
mendekati kita andai kata kita mempunyai nafas yang berbau ataupun bau badan
yang tidak memberikan keselesaan kepada orang lain.
Apabila mereka yang berhadapan dengan kita merasa ketidakselesaan kepada
kita , mereka mula akan menjauhkan diri mereka terhadap kita. Mungkin selama
perbualan biasanya orang yang berkomunikasi bersama kita akan mencuba dan
berusaha untuk menjauhkan diri mereka atau setidak-tidaknya menjarakkan lagi
diri mereka menahan nafas mengelakkan bau yang tidak tertahan busuknya. Bila
dah jauh, bagaimana kita hendak bercakap dan berkomunikasi dengan berkesan.
Memang menyusahkan dan menyukarkan lagi untuk kita melakukan jualan. Tidak
dapat dinafikan kadang-kadang faktor makanan yang dimakan seperti bawang putih,
bawang merah, petai ataupun jering akan mempengaruhi bau-bauan yang tidak di
ingini. Faktor-faktor lain seperti minuman beralkohol (arak), menghisap rokok,
mulut yang terlalu kering atau infeksi dan tidak memberus gigi di awal hari
turut sama akan mempengaruhi juga.
Maka bagi mengurangi bau mulut yang tidak diingini ini adalah penting kita
menjaga kebersihan mulut setiap hari. Tidak timbul masalah jika kita mahu
memakan makanan yang disebutkan tadi (selain arak) asalkan kita segera mencuci
mulut selepasnya. Jika tidak, pernafasan kita akan mengganggu orang lain
terutamanya apabila kita mendirikan solat di dalam saf atau berkomunikasi
dengan orang lain. Justeru Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal kebersihan
ini bukan sahaja pada tubuh badan, pakaian dan tempat bahkan juga pada bau
mulut orang yang berdekatan dengan kita perlu di ambil berat bersama.
Bersedialah sentiasa agar bau badan mahupun bau mulut dijaga sentiasa.
Jangan sama sekali diabaikan. Sentiasa berus gigi, mencuci mulut dan semburkan
minyak wangi kegemaran sendiri. Di samping menjaga kebersihan diri, jauhkan
sebaik yang mungkin pemakanan yang Rasulullah juga tidak menggemarinya yang
boleh mengakibatkan juga bau yang tidak digemari dan disukai oleh
prospek/pelanggan, rakan sekerja atau majikan yang kita temui. Lebih baik ambil
tindakan yang berhati-hati dari membiarkan ia nya berlaku mengikut kesukaan
kita sahaja yang lambat laun boleh menjejaskan perhubungan kita dengan orang
lain. Bila dah terjejas perhubungan bagaimana kita hendak melakukan jualan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan