Dalam
melakukan jualan, keperluan ilmu amat diperlukan sama ada melalui pembacaan,
menghadiri sebarang majlis ilmu, perkongsian idea ataupun melalui pengalaman.
Ilmu tidak pernah habis untuk dicari dan dipelajari sebagaimana dari Anas bin
Malik r.a, Rasulullah saw bersabda, "Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang
Islam." ( Hadis Sahih di riwayat Ibnu Majah). Begitulah pentingnya
kenapa ilmu perlu dicari dan dipertingkatkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Namun begitu agak menyedihkan kerana ilmu yang banyak ini kadang-kadang
tidak dimanfaatkan dan tidak mahu pula dicari dan diperoleh. Nak hebat dalam
karier jualan dan menjual serta memperoleh pendapatan tertinggi yang termampu
tapi malangnya tinggal azam sahaja yang diharapkan. Kenapa ia nya berlaku dan
terjadi? Mungkin perkara-perkara ini penyebabnya. Antaranya adalah
i.
Rasa dah cukup
Ini yang
disedihkan. Rasa diri kita lebih tahu dan ketahui lebih hebat dari orang lain
mengakibatkan cukup apa yang ada pada kita. Tiada gunanya lagi kita
terhegeh-hegeh mendapatkan ilmu kerana kita rasa dan andaikan semuanya telah
kita ketahui. Bila dah rasa pandai mulalah kita takbur dan bangga diri. Ini kah
pencarian kita selama ini dalam kehidupan kita? Ikutlah seperti resam padi,
semakin berisi semakin tunduk dan jauhi seperti lalang, semakin tinggi semakin
mudah lunturnya mengikut arus angin.
ii.
Pelajari tapi
tidak dipraktikkan
Macam-macam
dipelajari, berbuku-buku dibeli dan dibaca, pelbagai kelas dihadiri dan puluhan
orang ditemui bagi mendapatkan pengalaman mereka tapi malangnya setakat rajin
mendengar sahaja. Dengar dan terus mendengar tapi perbuatannya langsung tidak
dipraktikkan. Setakat tahu sahaja tapi tidak melaluinya. Tidak tahu langsung
sama ada ia nya mudah atau senang, kesukarannya atau merasainya. Yang penting
dengar dan dapatkan sahaja tapi langsung tidak mahu untuk dipraktikkan sama
sekali. Bukankah ini dinamakan membuang masa sahaja?
iii.
Tiada minat
Lagi teruk,
nak lakukan tugasan jualan tapi malangnya langsung tak mahu nak dalami ilmu pengetahuan
dan kemahiran. Berlagak tak tentu hala langsung tak mahu pelajari apa yang
sepatutnya. Main fikir logik akal sahaja langsung tiada mahu ketahui ilmu yang
sepatutnya dipelajari. Adakah apa yang ada sudah memadai? Cukup kah apa yang
ada sampai kita menjadi malas untuk mendalami ilmu? Berfikir sejenak elakkan
dari sifat malas ini bermaharajalela di dalam hati kita.
iv.
Wang ringgit
lebih penting
Wang
segala-galanya. Cari wang lebih penting dari cari ilmu. Nak wang lagi banyak
dan bertambah-tambah perlu ada ilmu yang betul memahirkan diri kita bertindak
dengan lebih hebat lagi. Memang wang menjadi keutamaan dan perangsang dalam
melakukan jualan tapi jika ilmu yang ada tidak dipertingkatkan agak sukar
rasanya untuk pembangunan dan kemajuan pada diri kita sendiri.
v.
Menyusahkan
Mencari ilmu
dirasakan amat menyusahkan dan sememangnya kelak akan menyusahkan diri kita
juga. Mempelajari ilmu dirasakan mengganggu rutin kehidupan dan tidak akan ke
mana hala tujuan kehebatan karier kita dalam jualan. Merasa menyusahkan maka
sampai bila-bila kita akan merasa susah di dalam bidang yang kita ceburi ini.
Apa tidaknya kerana bila kita rasa nak dapatkan ilmu tapi menyusahkan kita
sudah pasti tiada perkara-perkara yang baru dalam kemahiran teknik menjual akan
ada pada diri kita sendiri.
vi.
Pelaburan
Melabur bukan
setakat membeli aset atau menyimpan mengharapkan pulangan yang banyak kepada
kita. Sebaik-baiknya lakukan pelaburan yang sedikit atas perolehan pendapatan
yang kita terima untuk membeli buku-buku atau majalah-majalah yang berkaitan.
Peruntukkan sedikit dana juga dari pendapatan kita bagi menghadiri
kursus-kursus atau taklimat-taklimat yang ada kaitannya juga dengan karier
kita. Inilah baru dinamakan pelaburan juga dan tidak semestinya pelaburan dalam
bidang hartanah atau sekuriti saham. Kena jadi ihsan yang proaktif dan tahu di
mana dan bagaimana untuk mencari ilmu. Ganjaran dunia pun dapat ganjaran
akhirat pun akan dapat sama. Lakukan dengan sebaik mungkin dan jangan sama
sekali mengharapkan yang percuma dan dibiayai sahaja yang perlu ditunggu.
Fikirlah
sendiri. Lihatlah kehebatan nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang telah Allah
berikan ilmu pengetahuan sebagaimana Firma Allah bermaksud "Dan
sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi
Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji
tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia Nya memberi kami kelebihan
mengatasi kebanyakan hamba-hamba Nya yang beriman." - Surah
An-Naml 27 : 15. Begitulah hebatnya orang yang berilmu mengatasi apa yang ada
pada orang lain. Semakin tinggi ilmu yang ada semakin hebat seseorang itu
seperti mana Firman Allah bermaksud "...Allah akan meninggikan orang-orang
yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa
darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah
Al-Mujaadalah [58] : 11.
Begitulah hebatnya orang yang berilmu, semakin banyak ilmu yang didapati
semakin memudahkan lagi tugasan kita melakukan jualan dan memberikan pulangan
yang lumayan terhadap diri kita sendiri. Jangan merasakan diri kita dah banyak
ilmu tapi sentiasa dahagakan dan mahukan ilmu agar diri kita sentiasa dapat
diperbaiki lagi kesempurnaannya dalam melakukan jualan dan menjalani kehidupan
kita sehari-hari. Tanpa ilmu sudah pasti kita seperti tong kosong yang mudah
ditendang-tendang dan dibaling oleh orang begitu sahaja. Rasulullah s.a.w
bersabda bermaksud “Sesungguhnya
Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan
menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa
yang penuntut itu lakukan.” (Hadis Riwayat Abu ad-Darda’ r.a).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan