Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 26 Oktober 2012

INTEGRITI DALAM MELAKUKAN JUALAN








Nabi Ibrahim walaupun beristeri dua, melalui isteri ke duanya Siti Hajar  dan anaknya bernama Ismail tetap menjadi anak kesayangan Nabi Ibrahim yang pernah beliau tinggalkan bersama isterinya di Mekah. Sewaktu usia Ismail ketika itu enam atau tujuh tahun Allah memberi satu ujian besar kepada Nabi Ibrahim seperti mana 

Firman Allah bermaksud Maka ketika sampai (pada usia sanggup atau cukup) berusaha, Ibrahim berkata: Hai anak ku aku melihat (bermimpi) dalam tidur bahawa aku menyembelih mu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapat mu” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayah ku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada mu, InsyaAllah engkau akan mendapati ku termasuk orang-orang yang sabar”. (Surah As-Saffat Ayat 102).

Nabi Ibrahim dalam mimpinya telah mendapat perintah dari Allah SWT supaya menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail. Ketika Nabi Ibrahim berada di Mina, sekali lagi Nabi Ibrahim bermimpi mimpi yang sama. Begitu juga ketika Nabi Ibrahim berada di Arafah dan malamnya berada di Mina masih diberi petunjuk mimpi yang sama yang langsung tiada perbezaannya. Inilah amanah yang telah Allah berikan kepada Nabi Ibrahim untuk ditunaikan sebaik mungkin. 

Sebagai satu ujian Allah, tatkala Nabi Ibrahim baru sahaja berjalan meninggalkan rumah kediamannya untuk melaksanakan tugasan yang diberikan, syaitan telah menggoda Siti Hajar yang Nabi Ibrahim telah membawa parang untuk menyembelih Nabi Ismail anaknya. Terpengaruh dengan bisikan syaitan lalu Siti Hajar berteriak kepada Nabi Ibrahim agar tidak melaksanakan perintah tersebut. Namun semangat Nabi Ibrahim yang sangat kuat dan berpegang teguh atas perintah dan tanggungjawab yang diberikan, Nabi Ibrahim tetap cekal untuk melaksanakannya. Setalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai ke Jabal Qurban lalu dengan ketabahan dan sikap amanah yang diberikan, Nabi Ibrahim terus dengan agendanya untuk menyembelih Nabi Ismail. Tiba-tiba secara drastiknya satu perubahan telah berlaku sebagaimana Firman Allah SWT bermaksudTatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya( bagi memudahkan sembelihan dilakukan, nyatalah kesabaran kedua-duanya. Dan Kami panggillah dia wahai Ibrahim, Kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikian Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar “ (Surah As-Saffat Ayat 103 – 107).

Bermula dari peristiwa inilah, setiap kali datangnya Aidil Adha kita amat dituntut melakukan ibadah korban. Satu kisah yang menunjukkan satu bukti kepada kita bagaimana taatnya Nabi Ibrahim menerima perintah dan arahan dari Allah SWT tanpa adanya sebarang bangkangan dan bantahan yang dilakukan. Tiada yang meragukan dan waswas di dalam hati Nabi Ibrahim. Semuanya dilakukan dengan sepenuh hati tanpa berbelah bagi walaupun Nabi Ibrahim ketahui yang beliau akan kehilangan anak kesayangannya nanti. Inilah satu contoh dan teladan satu sikap yang integriti yang perlu dicontohi oleh kita semua.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka, Integriti bermakna kejujuran, ketelusan, keutuhan dan keadaan sempurna. Sememangnya inilah satu sikap yang perlu kita tanam dan semai kan dalam kita melakukan jualan dengan sebaik yang mungkin bagi memudahkan lagi sama ada prospek/pelanggan yang ditemui semakin mempercayai dan memberikan keyakinan pada diri mereka untuk menerima kehadiran diri kita.

Kerana Integriti inilah Rasulullah SAW telah tunjukkan kepada kita tentang apa dia sifat wajib bagi Rasul yang bukan setakat kita perlu tahu tetapi kita juga turut di saran untuk mencontohi dan ikut serta melakukannya. Inilah contoh dan teladan yang Rasulullah SAW telah tunjukkan kepada kita supaya kita boleh dan turut sama mengikutinya juga. Asalkan niat kita betul dan jujur apa juga halangan dan  rintangan sudah pasti akan dapat juga kita tempuhi dengan sebaik yang mungkin. Sifat wajib yang dimaksudkan itu adalah

i.                    Siddiq – benar/jujur
Melakukan jualan, kena ada kejujurannya dan jangan sama sekali mudah melakukan penipuan dan mengambil kesempatan di atas kelemahan prospek/pelanggan yang ditemui.  Tunjukkan dan tonjolkan integriti yang di perlukan untuk memberikan keyakinan kepada mereka. Apabila ada kejujuran dari kita dengan bercakap benar dan betul sudah pasti mereka akan mudah untuk berkomunikasi dan mempercayai akan kehadiran kita.

ii.                  Amanah – dipercayai
Apa juga yang kita lakukan kena amanah. Amanah kepada Allah, amanah kepada majikan, amanah kepada prospek/pelanggan dan amanah kepada diri kita sendiri. Semuanya perlu dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Tiada amanah, bermakna kita adalah seorang yang suka melakukan khianat dan menipu orang lain hanya kerana demi menjaga kepentingan diri kita sendiri sahaja. Bila orang dah tahu kita ini kaki penipu dan kelentang sudah pasti orang tidak akan percaya kepada kita sampai bila-bila.

iii.                Tabligh – menyampaikan dan menerangkan
Sampaikan  dan terangkan itulah tugasan bila melakukan tugasan menjual. Beri kefahaman sewajarnya dan sepatutnya agar prospek/pelanggan yang ditemui benar-benar faham dan mengerti apa yang kita sampaikan biar betul-betul sampai kefahamannya kepada mereka. Niat untuk membantu dan menolong sebaik yang mungkin menjadi tugasan utama mengatasi yang lain dan memikirkan berapa banyak untung yang boleh kita peroleh. Barulah datang semangat untuk memberikan penerangan dan penyampaian yang terbaik kepada siapa juga prospek/pelanggan yang kita temui.

iv.                 Fathonah – cerdik,cergas dan bijaksana
Tunjukkan kepada mereka yang kita sememangnya serba tahu dan serba boleh tentang produk yang kita tawarkan kepada mereka. Bagaimana kita boleh menandingi bangkangan dan bantahan jika ada yang berlaku dan terjadi. Semuanya kita lakukan dengan baik dan berhemah tanpa perlu menaikkan kemarahan dan ke tidak puas an hati kepada prospek/pelanggan yang ditemui. Semuanya kita hadapi dengan cerdik, cergas dan bijaksana yang sepatutnya. Inilah sikap yang perlu kita amalkan tanpa perlu dimaklumkan dan diberitahu terlebih dahulu.

Inilah yang perlu kita lakukan sebaik yang mungkin tanpa berbelah bagi. Tunjukkan integriti kita kepada prospek/pelanggan yang kita temui dengan sebaik yang mungkin. Berikan kepada mereka kepercayaan yang sewajarnya dengan penampilan diri, tingkah laku, presentasi dan penerangan yang terbaik pernah kita lakukan secara konsisten dan bersungguh setiap masa. Tiada alasan tiada masalah tiada tekanan yang boleh kita berikan kepada sesiapapun juga demi menjaga karier kita di dalam bidang jualan ini. Sesungguhnya tiada siapa pun yang akan mengambil berat tentang apa yang kita lakukan melainkan diri kita sendiri juga yang kena dan ambil tahu apa yang kita lakukan selama ini. Kalau berusaha secara bersungguh sungguh tentu hasilnya pasti menggembirakan hati kita dan begitulah sebaliknya. Kita penentu segala-galanya. Firman Allah bermaksud ‘Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya’ (Surah Al-Zalzalah Ayat 7).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan