Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 22 Oktober 2012

Apabila berilmu



Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Seawal usianya sembilan tahun telah pun berjaya menghafal Al-Quran. Di usia 12 tahun Imam Shafie berjaya pula menghafal kitab al-Mutwatta karangan Imam Malik yang di waktu itu imam Malik menetap dan mengajar di Madinah. Imam Shafie amat dahagakan ilmu lantas tanpa membuang waktu meminta izin ibunya untuk merantau ke Madinah bagi tujuan bertemu dan menjadi anak murid kepada Imam Malik. Inilah kali pertama beliau pergi merantau ke tempat orang semata-mata bagi menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan yang ada pada dirinya.


Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat syarahannya dihadiri begitu ramai sekali anak murid yang begitu khusyuk mendengar dan mempelajari dalam Masjid Nabawi tersebut. Orang tersebut adalah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau yang berada di situ. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Itu sahaja yang beliau mampu lakukan lantaran kehidupan beliau yang miskin tiada mempunyai wang ringgit. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya walaupun ketika waktu tersebut sedang sibuk memberi ceramahnya.

Tamat sahaja pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie. Sangkaannya Imam Shafie mungkin ada beliau membuat sesuatu perkara yang kurang sopan ketika belajar tadi. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Mekah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya lagi, “Mengapa kamu suka bermain-main dengan lidi dan air liur mu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan guru. Sebenarnya bukannya saya suka bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan alat tulis, segala yang tuan guru ajar saya tuliskannya di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.
Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tertinggalpun daripada 20 hadis yang diajarnya hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar kepada murid-murid yang lain pula.


Sikap ingin tahu dan mendalami ilmu pengetahuan tidak pernah cukup dengan apa yang ada perlu kita semai dalam diri kita. Jadilah seorang yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan baik untuk kerjaya, kehidupan dan hari kemudian nanti. Dengan ilmu akan membezakan seseorang dengan seseorang yang lain tentang keperibadiannya, akhlaknya, pegangan hidup, cara ia nya bekerja dan darjatnya di sisi Allah. Carilah ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk semua orang dan bukannya mencari ilmu yang boleh menjahanamkan orang lain. Kita yang menentukan segala-galanya sama ada kita mahu berjaya atau sebaliknya. Belajar jangan menjadi seorang yang suka menyimpan dan kedekut ilmu. Tapi belajar untuk mempraktikkannya dan menyebarkan ilmu yang ada kepada orang lain pula. Sabda Rasulullah bersabda Barang siapa ditanya tentang suatu ilmu lalu dirahsiakannya maka dia akan datang pada hari kiamat dengan kendali di mulutnya dari api neraka” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Banyak pengajarannya yang boleh kita dapati dari kisah yang dipaparkan ini. Antaranya adalah

i.                     Adab menuntut ilmu perlu dijaga. Hadir awal seawal yang mungkin dan tepat pada masa dan waktunya yang ditetapkan. Bila ia nya dijaga dapat mengelakkan seseorang daripada penyampai dan penerima ilmu yang berada di majlis ilmu tidak akan terganggu dengan kelewatan kita.
ii.                   Ilmu yang dicari bukan bermakna ilmu tersebut ditunggu dan menunggu kehadiran kita. Kita perlu mencarinya kerana ilmu sama sekali tidak akan terburu-buru mencari diri kita
iii.                  Fokus. Dengar dengan teliti dan sewajarnya. Beri tumpuan yang sepenuhnya kepada penyampai ilmu. Hormati penyampai ilmu kerana dia adalah guru kita bukan kerana dia adalah ketua ataupun bos kita.
iv.                 Elakkan dari bersembang sesama rakan yang duduk berdekatan dengan kita apatah lagi asyik membelek-belek, membaca mesej dan menjawab panggilan telefon bimbit.
v.                   Dari majlis ilmu yang dihadiri pasti boleh dikenal pasti siapa yang berminat dan mahu mengetahui apa yang disampaikan. Kebolehan dan keistimewaan seseorang boleh dikesan semasa berlangsungnya majlis ilmu yang dihadiri.

Kerana itu kita amat digalakkan mencari dan menyelongkar ilmu sebanyak yang termampu. Jangan putus asa tapi sentiasa mencarinya. Tidak kira menghadiri taklimat, kursus, majlis penerangan, syarahan ataupun melalui pembacaan artikel,majalah ataupun buku-buku yang berkaitan dengan kerjaya, kehidupan dan motivasi. Teruskan pencarian ilmu dengan sepenuh hati kita bukan secara paksaan dan dipaksa agar segala ilmu yang kita peroleh terdapat keberkatannya bukan setakat di dunia tapi juga di akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan