Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 16 Oktober 2012

Kualiti itu Penting



Salah satu yang perlu diambil berat dalam melakukan jualan adalah menjaga kualiti yang telah ditetapkan. Betapa pentingnya menjaga kualiti memandangkan untuk mendapatkan kepercayaan dan kebolehpercayaan prospek/pelanggan amat diperlukan yang amat sangat. Tiada kualiti sampai bila-bila prospek/pelanggan dan juga majikan kita pasti akan memandang sinis terhadap kita dalam memastikan keupayaan dan tanggungjawab kita kepada mereka pula.

Kualiti mengikut kamus Dewan Edisi ke Empat bermakna darjah kecemerlangan biasanya yang tinggi, bermutu, barang-barang itu baik; berkualiti mempunyai kualiti, bermutu: ini dapat memberikan gambar yang terang serta jelas dan apabila ditayangkan.

Firman Allah “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Surah Al-Mulk:2).

Sedangkan Allah amat menitikberatkan tentang kualiti amalan kita kepada Nya. Tidak kira ibadat apa yang kita lakukan, kita sendiri kena tentukan bahawa setiap amalan dan ibadah kita kepada Allah mesti berkualiti memenuhi standard piawaian yang telah Allah tetapkan. Biarlah kita bersolat lama sedikit berbanding solat yang dilakukan dengan segera seolah-olah seperti ayam yang sedang mematuk ke tanah mencari makanan. Yang penting kita tahu apa yang kita lakukan itu adalah kualiti. Terima atau tidak biarlah Allah yang menentukannya tanpa perlu adanya sesalan di kemudian hari pula.

Kualiti bagi kita yang melakukan jualan ini adalah melakukan semaksimum termampu bagi mendapat dan mengikut sasaran atau TARGET yang telah ditetapkan. Inilah yang perlu kita lakukan. Bukan sesuatu yang boleh dipermainkan kerana tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan. Dalam memastikan kualiti yang dimahukan ini tercapai beberapa langkah yang perlu untuk kita lakukan antaranya seperti berikut

i.                    Berazam

Memang kena berazam setiap masa penuhi apa yang hendak dicapai. Bukan perlu dipermainkan atau main mudah sahaja untuk menerima sasaran tersebut tanpa tiada keazaman untuk mendapatkannya. Bila dah berazam dengan semangat yang sepatutnya barulah setiap tindakan yang kita lakukan sudah pasti akan membolehkan tindakan kita cukup berkualiti untuk mencapainya.

ii.                  Memahami yang hendak ditunaikan

Kena fahami dahulu bukan terima dahulu. Fahami apa yang dikehendaki agar tindakan yang dilakukan selari dengan apa yang disasarkan. Bila dah terima sasaran jangan sama sekali nak mengeluh mengatakan sukarlah, susahlah, payahlah dan berdengung tak tentu hala memikirkan bagaimana untuk mencapainya. Fahami apa logiknya, kenapa diwujudkan dan apa rasional di sebaliknya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah kualiti yang perlu kita cari-carikan selama ini.

iii.                Mematuhi standard piawaian yang ditetapkan

Setiap tugasan yang kita lakukan mesti ada standard piawaian yang telah ditetapkan. Bukan nak mengajar atau mengongkong pergerakan seseorang tapi memerlukan disiplin yang tinggi memastikan apa juga yang kita lakukan mempunyai kualiti tugasan yang telah ditetapkan. Tanpa disiplin bagaimana kita hendak bergerak melakukan tugasan seperti mana yang dikehendaki?

iv.                 Perancangan

Lakukan perancangan sebaik mungkin. Bermula langkah pertama sehingga berjaya mencapainya. Tahu apa hendak dilakukan jika terdapat apa-apa yang berlaku dan terjadi. Kena ada pelan penggantinya jika terdapat adanya sebarang halangan atau masalah yang timbul dari perancangan utama kita. Bila dah ada pelan B atau pelan C barulah tiada panik, terkejut dan putus asa akan berlaku sewenang-wenangnya.

v.                   Kesungguhan

Amat dituntut kesungguhan untuk melakukan tugasan bukan bermain-main dan suka memberi pengharapan kepada orang lain. Lakukan secara konsisten dan  bersungguh agar segala sasaran yang telah ditentukan akan dapat ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Barulah setiap tugasan yang dilakukan akan menghasilkan kualiti seperti mana yang dimahukan.

Teruskan usaha lakukan sebaik mungkin. Jangan beri sebarang alasan apa tah lagi sebab musabab yang bukan-bukan yang langsung tiada logik untuk diterima. Fikirkan tanggungjawab dan amanah yang dipikul betapa beratnya tugasan tersebut perlu dilakukan. Berikan sesuatu yang berkualiti tinggi bukan setakat dalam melakukan jualan tetapi juga kepada majikan dan juga Allah. Semuanya itu nanti akan dihitung juga pada kemudian hari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan