Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 10 Oktober 2012

Bersediakah keluar dari Zon Selesa?



Demi mengejar kejayaan dan kemajuan dalam melakukan jualan, perubahan pesat pada persaingan, keadaan sekeliling dan kemantapan kemahiran melakukan jualan perlu dilakukan dengan mengikuti kepada perkembangan semasa dan kehendak prospek/pelanggan yang ditemui. Selagi kita tidak berubah mengikut keadaan selagi itulah kita akan ketinggalan begitu sahaja oleh rakan setugas kita dan pesaing yang ada di pasaran. Demi mencari kemajuan dan kejayaan rasanya adalah lebih baik kita sanggup dan mahu untuk berubah tidak kira apa juga keadaan sekalipun.

Sememangnya ramai di kalangan kita cukup takut dan risau untuk melakukan perubahan. Justeru mereka rela dan puas menjalani kehidupan dalam kepompong atau zon selesa. Merasakan diri sudah cukup selesa dengan apa yang ada itu sudah cukup memadai.   Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan. Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa begini? Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?


Firman Allah SWT bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah ar-Rad Ayat 11). Bersedia untuk berubah demi kemajuan kerana berada di dalam kepompong atau zon selesa bermakna kita berada di dalam perangkap pemikiran yang kita cipta sendiri tanpa adanya sesiapapun yang menghasut atau menyuruh kita melakukan perkara-perkara yang berkenaan. Jangan sama sekali merelakan diri kita sentiasa berada di dalam situasi yang sebegini sentiasa.

Jangan jadi seperti ketulan ais atau sebatang lilin yang hanya menyinari cahaya dalam beberapa waktu sahaja kerana kelak akan habis begitu sahaja tanpa disedari. Sanggup kah kita menjadi seperti haiwan-haiwan yang terkurung di zoo menjadi bahan tontonan orang ramai? Orang ramai mengikut sesuka hati keluar masuk menyaksikan kita tapi malangnya kita asyik duduk sahaja di situ tanpa boleh melakukan apa juga yang kita kehendaki. Nak berjaya tapi langsung tidak ada apa-apa pun yang dapat kita lakukannya sama sekali hanya disebabkan kita merasakan tindakan yang kita lakukan itu adalah benar dan betul mengikut kata hati kita sahaja.
 
Tidak salah untuk melakukan perubahan asalkan kemajuan dan kejayaan boleh dinikmati. Memang perlu untuk adanya perubahan asalkan sahaja ada keberanian untuk melakukannya. Bukan untuk mencuba suka-suka tapi berazam untuk menghadapinya dengan sepenuh hati jiwa raga kita. Yakin dengan apa yang kita lakukan. Selagi tidak berjaya selagi itu perlu terus mencari jalan menemui formula yang sepatutnya bagi mencapai kejayaan yang diperlukan. Jangan merasa mudah putus asa, kecewa apatah lagi merasa malu-malu dan segan. Dah sedari cara dan kaedah kita masih tidak berkesan lagi untuk mencapai kejayaan dalam melakukan jualan, jangan ditangguhkan lagi. Satu perubahan yang tegar perlu dilaksanakan agar keputusan yang kita ingini sudah pasti akan dapat kita genggam juga pada akhirnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan