Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 31 Oktober 2012

KEHEBATAN MEMPENGARUHI SESEORANG



Nabi Yusuf adalah putera ke tujuh daripada dua belas adik-beradik Nabi Yaakub. Melalui ibunya Rahil Nabi Yusuf dikurniakan adik bernama Benyamin. Dengan kewujudan dua belas adik-beradik ini bermula satu kaum yang dikenali sebagai Bani Israel. Ibunya Nabi Yusuf, Rahil adalah saudara sepupu kepada Nabi Yaakub sendiri. Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Nabi Yusuf adalah beliau mempunyai rupa paras yang menarik, tampan dan tubuh yang tegap menjadikan dirinya idaman dan pujaan setiap wanita yang bertemu dengannya. Nabi Yusuf sangat disayangi dan dimanjakan oleh ayahnya sendiri jika dibandingkan dengan adik beradiknya yang lain. Kejadian ini terjadi kepada Nabi Yusuf setelah kematian ibu kandungnya sendiri semasa Nabi Yusuf ketika itu baru berusia dua belas tahun.

Kasih sayang dan diskriminasi yang telah diberikan kepada Nabi Yaakub telah mengakibatkan adik beradiknya yang lain tidak senang hati dibuatnya. Menimbulkan perasaan iri hati dan hasad dengki yang mendalam terhadap mereka hanya disebabkan mereka merasakan betapa berat sebelahnya dan dianaktirikan oleh bapa kandung mereka sendiri. Rasa benci dan amat jengkel sekali kepada ayahnya dan kedengkian yang amat sangat kepada Nabi Yusuf lebih dari yang lain telah mengakibatkan rasa setia kawan dan keakraban antara adik-beradik Nabi Yusuf begitu menebal dalam diri mereka. Kisah nabi Yusuf ini terdapat penceritaan yang penuh dalam satu surah yang di kenali sebagai Surah Yusuf.

Adik beradiknya yang begitu geram dan sakit hati kepada Nabi Yusuf telah berkomplot dan merencanakan satu konspirasi berniat jahat untuk menghapuskan Nabi Yusuf dalam kehidupan mereka walaupun Nabi Yusuf tersebut adalah adik mereka sendiri. Salah seorang mereka berkata: "Mengapa ayah kita lebih mencintai Yusuf daripada kita?" Saudara yang kedua berkata: "Barangkali kerana ketampanannya." Saudara ketiga berkata: 'Yusuf dan saudaranya kedua-duanya mendapat tempat di hati ayahnya." Saudara yang pertama berkata: "Sungguh ayah kita telah sesat." Salah seorang mereka mengusulkan satu penyelesaiannya: "Kalau begitu bunuh sahaja Yusuf." "Mengapa kita membunuhnya? lebih baik kita membuangnya di bumi yang jauh. Mengapa kita tidak membunuhnya, lalu kita boleh merasa tenang." Salah seorang di antara mereka berkata: "Mengapa ia harus dibunuh? Apakah kalian ingin menjadi pembunuh? Kalau begitu, lebih baik kita membuangnya ke dalam telaga yang berada di situ menjadi tempat lalu lalang para kabilah. Pasti kabilah yang ada itu akan mengambilnya dan membawanya ke tempat yang jauh sehingga ia jauh dari wajah ayah kita sendiri. Dengan jauhnya Yusuf, maka tujuan kita tercapai. Kemudian setelah itu, kita bertaubat dari kejahatan kita dan kita kembali menjadi orang-orang yang baik."

Dialog tersebut terus berlanjutan sehingga timbul idea dan pendapat untuk mencampakkan sahaja Nabi Yusuf ke dalam telaga. Cukuplah sekadar mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam telaga daripada membunuhnya dan idea ini disepakati oleh kesemua adik beradiknya. Dari sini bolehlah kita fahami bahawa adik beradiknya Nabi Yusuf, meskipun kejahatan mereka dan kedengkian mereka sangat utuh dan kental disebabkan kebencian mereka, namun dalam hal ini mereka masih tersisa titik-titik kebaikan untuk tidak menjadi seorang pembunuh. Akhirnya, pendapat untuk membuangnya ke telaga diputuskan sebagai satu solusi terbaik. Kemudian mereka pun sepakat untuk melaksanakan rencana itu:

Firman Allah "Mereka berkata: 'Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya. Biarkan dia pergi bersama kami esok pagi, agar ia (dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya' Berkata Yaakub: 'Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkan ku dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah darinya. Mereka berkata: 'Jika ia benar- benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang rugi" (Surah Yusuf Ayat 11-14)

Terjadilah dialog antara mereka dan ayahnya dengan penuh kelembutan dan dendam yang tersembunyi. Mengapa ayah tidak merasa aman ketika kami pergi dengan Yusuf? Bukankah Yusuf tergolong di kalangan adik-beradik kami dan beliau sendiri adalah adik kandung kami, lalu mengapa ayah begitu khuatir dan risau kepada kami jika kami membawanya. Bukankah kami mencintainya dan nanti akan menjaganya seperti mana yang ayah kehendaki. Mengapa ayah tidak membiarkannya pergi bersama kami esok untuk bersenang-senang dan bermain. Bukankah ketika ia pergi dan bermain-main, itu dapat menghibur kegembiraan di hatinya? Lihatlah wajahnya nampak begitu pucat sekali tidak bertenaga kerana ia sering menyendiri mendiami di rumah, seharusnya ia harus keluar bermain-main dan berasa seronok agar nampak ceria dan sihat. Masalahnya adalah, Nabi Yaakub khuatir terhadap serigala-serigala gurun. Apakah yang di maksud Nabi Yaakub pada serigala-serigala itu adalah pada anak-anaknya yang ada dalam diri mereka atau serigala-serigala yang benar-benar berada di gurun, iaitu binatang yang buas? Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya. Mereka memujuk dan terus meyakinkan ayahnya agar mengizinkan Nabi Yusuf dibenarkan pergi dengan mereka. Pengaruh mereka sangat berkesan berjaya juga akhirnya, mereka berhasil mempengaruhi dan meyakinkan ayahnya yang sangat risau kalau- kalau Nabi Yusuf dimakan oleh serigala.

Adakah ini diterima akal? Kami semuanya ada sepuluh orang laki-laki, mana mungkin kami yang ramai ini boleh lalai dan leka darinya? Sungguh kami akan kehilangan sifat menjadi seorang abang dan kejantanan kami seandainya terjadi peristiwa yang menakutkan dimakan oleh serigala. Kami berjanji dan memberi jaminan bahawa tidak ada seekor serigala pun yang akan memakannya. Kerana itu, tidak perlu dirisaukan. Si ayah berdiri di bawah tekanan disebabkan pengaruh yang kuat dari anak-anaknya. Akhirnya dengan persetujuan ayahnya walaupun begitu berat sekali dirasakan terpaksa juga bersetuju dengan cadangan mereka di atas kepercayaan dan pengaruh yang telah diberikan oleh anak-anak beliau sendiri. Mereka pun berjaya akhirnya membawa Nabi Yusuf pada hari berikutnya dan pergi dengan mereka ke gurun menuju tempat yang jauh yang belum pernah mereka berjalan sejauh itu. Mereka mencari telaga yang dimaksudkan yang sering dilewati oleh para kabilah dan merancang untuk mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam telaga tersebut. Lalu Allah mengilhamkan kepada Nabi Yusuf bahawa ia akan selamat, maka ia tidak perlu takut dan risau. Allah lebih Mengetahui dan menjamin bahawa Nabi Yusuf akan bertemu dengan mereka pada suatu hari dan akan memberitahu mereka apa yang mereka lakukan kepadanya di kemudian hari nanti. 

Selesailah satu adegan dan akan dimulai adegan yang lain. Kita boleh membayangkan bahawa Nabi Yusuf sempat melakukan pertengkaran kepada mereka namun abang-abangnya memukulinya dan mereka memerintahnya untuk melepas bajunya, lalu mereka mencampakkannya ke dalam telaga dalam keadaan telanjang. Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Yusuf bahawa ia akan selamat dan kerananya itu Nabi Yusuf tidak perlu merasa bimbang dan takut. Di dalam telaga itu terdapat air, namun tubuh Nabi Yusuf tidak terkena hal yang membahayakan. Ia sendirian duduk di telaga itu sambil tangannya bergantungan kepada batu.

Begitulah kuatnya pengaruh. Berkehendakkan sesuatu dari orang lain tindakan mempengaruhi secara efektif amat diperlukan. Asalkan dapat diyakini memberi fakta-fakta yang dirasakan cukup logik dan boleh diterima itu semuanya sudah cukup memadai. Jangan dikatakan gagal selagi belum berusaha untuk menyampaikan satu-satu presentasi kepada mereka dengan cara mempengaruhi dengan baik dan telus. Bertindak dengan sewajarnya dan yang penting jangan menekan seseorang sehingga orang yang diharapkan untuk menerima tawaran yang dikemukakan merasa begitu tertekan dan bukannya menerima kerana merasakan produk yang diambil boleh menyelesaikan masalah yang ditanggungnya selama ini.


Read more >>

Selasa, 30 Oktober 2012

Kenapa Perlu Bimbang




‘Habislah aku bulan ni, bulan nak habis tapi sasaran tak penuhi lagi’

‘Pelanggan ni ok ke tak? Boleh terima kah kedatangan aku ini?’

‘Kenapalah rasa lain macam saja nie, macam nak kena belasah sahaja dalam mesyuarat ni’

‘Betul kah apa yang aku perkatakan sebentar tadi pada prospek ini?’

Inilah penyakit kebimbangan yang melanda pada diri kita semua. Kebimbangan sedikit sebanyak akan dan boleh  mengganggu corak tugasan kita dalam melakukan jualan. Kerana terlalu memikirkan apa yang kita bimbangkan bermakna fokus kita dalam melakukan jualan sudah pasti terganggu juga. Jualan entah ke mana asyik kebimbangan sahaja yang kita fikirkan. Kerana itu kita perlu mengawal bimbang yang wujud dalam diri kita kerana kebimbangan yang tidak terkawal akan menyebabkan seseorang itu boleh mendapat gangguan mental jika tidak di jaga dengan betul sama sekali.

Bimbang adalah perspektif minda yang menjangkakan sesuatu keadaan akan menjadi semakin buruk pada seseorang. Apabila kebimbangan berada pada tahap yang tinggi, boleh mencetuskan gangguan mental dan seterusnya membawa kepada pelbagai penyakit seperti lemah jantung, sakit kepala, barah terutama ulser iaitu barah usus. Apabila bimbang , seseorang akan berada pada mode sedih, berduka cita, susah hati dan kerisauan.

Inilah yang perlu kita atasi dengan sebaik mungkin. Nak elakkan terus penyakit bimbang ini pun memang tidak boleh kerana ianya sememangnya kurniaan dari Allah untuk menguji kita sama ada kita boleh hadapi ataupun tidak. Sedangkan semasa wuduk pun boleh merasa bimbang sama ada betul ataupun tidak syarat-syarat mengambil wuduk. Begitu  juga dalam kita bersolat, betul-betul fokus kadang-kadang jadi bimbang pula sama ada semasa takbiratul ikram tersebut kita telah berniat ataupun tidak. 


Kerana inilah Rasulullah pernah bersabda bermaksud  Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)

Sebaik-baik kaedah dan langkah untuk atasi penyakit kebimbangan ini adalah

i.                     Fikirkan sebaik mungkin apa kesan buruknya
Dah menjadi kebimbangan ketika itu, fikirkan apa sebabnya dan kenapa jadi begitu. Selagi kita tidak fikirkan jalan penyelesaiannya selagi itu ia nya akan mengganggu dan mengacau tugasan kita melakukan jualan. Tarik nafas sedalam-dalamnya untuk mencari ketenangan fikirkan apa yang perlu kita lakukan supaya kebimbangan tersebut tidak berulang lagi. Yang penting jangan sama sekali mudah merasa risau dan susah hati yang amat sangat jika tiba-tiba sahaja kebimbangan ini melanda kepada kita.

ii.                   Senaraikan apa yang dibimbangkan
Supaya ianya tidak berlaku dan mengganggu tugasan kita terutama ketika kita berhadapan dengan prospek/pelanggan yang ditemui senaraikan segala kebimbangan kita. Muhasabah sebaik mungkin agar perkara yang kerap kita bimbangkan boleh kita atasi sebaik mungkin. Selagi kita tidak atasinya semakin kuat kebimbangan tersebut akan mengganggu tugasan kita. Yang penting jangan sama sekali lari dari masalah apa juga yang kita tanggung selama ini. Hadapilah dengan sebaik yang mungkin.

iii.                  Apa Jalan penyelesaiannya
Inilah kebaikannya kalau kita dapat senaraikan apa yang memberikan kita risau dan bimbang tidak tentu hala. Kita dah tahu dan kenal pasti akan lebih memudahkan tindakan kita senaraikan beberapa alternatif untuk penyelesaian yang berkesan dan efektif sesuai dengan kemampuan diri kita. Jangan main cuba-cuba main ingat semua tindakan kita itu betul sahaja. Kadang-kadang bila kita tuliskan senarai tersebut baru kita tahu ada jalan yang sebaiknya untuk mengatasinya.

iv.                 Pilih solusi yang terbaik
Alternatif telah dipilih maka tugasan seterusnya pilihlah Jalan penyelesaian yang terbaik untuk diri kita pula. Semoga ia nya sememangnya mudah untuk diatasi. Tak selesaikan selagi itulah kebimbangan tersebut tetap wujud dan mengganggu tugasan kita tidak kira apa yang dilakukan. Buatlah pilihan yang terbaik kerana apabila kita melakukannya sudah pasti kebimbangan tersebut pasti diatasi dengan sebaik yang mungkin.

v.                   Selesaikan segera
Jangan di tangguh dan ditunggu lagi. Selesaikan segera. Itu tindakan sewajarnya. Atasi kebimbangan yang ada dengan jalan yang terbaik untuk diselesaikan. Pastikan tindakan tersebut dilakukan dengan apa yang kita mampu lakukan. Jangan sampai dah bernanah baru sibuk kita nak selesaikan. Segera kita perbaiki agar kebimbangan tersebut hilang dari mengganggu kita.

Umpama kita memakan sebiji epal, kita tak boleh sama sekali makan sebiji terus begitu sahaja tetapi kita gigitnya kunyah sedikit demi sedikit sehingga habis. Jadi begitulah kita nak hilangkan kebimbangan kita, nak hilangkan terus memang agak sukar dan payah tetapi atasilah ia nya sedikit demi sedikit. Jangan lupa juga untuk membaca La Haula Wala Quwwata illa billahi sebagai amalan harian kita seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah. Tak cuba mana nak tahu, kena cuba barulah tahu keberkesanannya. Supaya selepas ini segala kebimbangan yang ada dapat diatasi dengan sebaik yang mungkin.


Read more >>

Isnin, 29 Oktober 2012

YANG MANA SATU???



Keliru? Tak tahu yang mana satu yang nak dilakukan. Apa yang paling bersesuaian melakukan jualan. Jangan mengharapkan keuntungan dahulu tapi bantu dan tolong sedaya upaya kita. Jangan mudah mendabik dada dan melakukan andaian bahawa jualan cukup mudah tapi sebaik-baiknya lakukan perancangan sebaik yang mungkin. Pilihlah yang mana satu kaedah melakukan jualan seperti di bawah ini. Kita akan ketahui di mana sepatutnya kita lakukan sesuai dengan penawaran produk yang kita lakukan.



Menerima tempahan. Seperti di kedai makan. Berdiri tegak menunggu pelanggan datang ambil pesanan dari menu-menu yang disediakan. Cukup mudah dan senang. Mengharapkan pelanggan datang berdasarkan iklan yang disiarkan atau papan tanda yang terpampang. Tidak perlu lakukan jualan mengharapkan kesudian orang yang datang menjadi pelanggan. Elok apa yang kita lakukan sudah pasti pelanggan tersebut akan datang lagi. Bagi kedai makan, makanannya sedap dan harga berpatutan sudah pasti mereka akan datang mencarinya tanpa perlu kita mencari mereka. Cukup mudah.


Promoter. Melakukan jualan tanpa perlu mencari pelanggan. Tunggu sahaja di tempat yang dikhaskan. Ada orang datang barulah menawarkan produk yang ingin dijualnya. Tidak perlu mengetahui latar belakang bakal pelanggannya. Yang penting pelanggan tersebut berminat untuk membelinya. Pujuk dan merayu selalu dipergunakan kaedah ini. Tidak perlu memikirkan berapa bajet mereka cuma pastikan mereka berminat dan hendak membelinya. Kalau tidak berminat tidak apa kerana masih ada orang lain pula yang akan mengunjungi tempat promoter tersebut.

Konsultan jualan. Memberikan idea yang terbaik tentang penyelesaian masalah yang ditanggung oleh prospek/pelanggan. Kena cari prospek/pelanggan yang dikehendaki. Ada sasaran prospek/pelanggan yang dimahukan. Kena ketahui dengan baik walaupun sedikit tentang latar belakangnya. Dapatkan temu janji bagi memudahkan penerangan melalui presentasi dapat dilakukan. Beri bantuan bukan menjual. Kemukakan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang ditanggungnya selam ini. Tarik minatnya dengan cara memberi maklumat tentang segala kelebihan dan kehebatan produk yang ditawarkan. Ketahui masalahnya agar mudah memberi satu solusi yang diperlukan olehnya.


Sabda Rasulullah s.a.w: “Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagi mu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, serta janganlah lemah.” (Hadis Riwayat Muslim).

Pilihan di tangan kita sama ada kita lakukan jualan hanya menunggu sahaja tanpa penerangan seperti penerima tempahan atau menunggu sahaja tapi kena lakukan juga penerangan seperti promoter ataupun konsultan jualan kena cari dan kena bagi penerangan. Mungkin juga gabungan ketiga-tiganya sekali. Tepuk dada tanyalah selera yang mana satu yang perlu kita lakukan. Nak peroleh pendapatan yang tinggi dan profesional kena fikirkan yang mana satu yang terbaik. Tidak mengeluh tidak merungut tapi lakukan sahaja baru tahu sama adakah ia nya berkesan ataupun tidak.
Read more >>

Ahad, 28 Oktober 2012

PEMBELI BUKANNYA BODOH



Penjual dengan jualannya, pembeli dengan beliannya. Yang mana satu akan terjadi satu transaksi? Adakah si penjual atau si pembeli? Jawapannya adalah pada kedua-dua sama sekali. Sememangnya kedua-duanya amat memerlukan satu dengan yang lain. Satu perhubungan yang pasti amat diperlukan. Kerana itu dalam Rukun Jual Beli dinyatakan seperti berikut

i.                     Adanya penjual

ii.                   Adanya pembeli

iii.                  Adanya barang yang ditawarkan

iv.                 Harga yang dipersetujui

v.                   Akad

Cukup mudah dan ringkas. Bila ada kelima-lima ini sememangnya wujud sudah satu ikatan dalam proses jual dan beli. Bagi penjual untuk melariskan produk yang ditawarkan pastikan si pembeli benar-benar mengetahui dan memahami apa produk yang ditawarkan. Jangan sama sekali memandang rendah akan keupayaan di pembeli. Ini adalah kerana

i.                     Si pembeli selalunya akan memeriksa dahulu maklumat-maklumat yang dikehendakinya melalui laman sesawang, edaran risalah yang diedarkan, melalui media-media pengiklanan dan sebagainya kerana pembeli sekarang ini bukannya dengan mudah boleh menerima apa yang diperkatakan oleh si penjual

ii.                   Melakukan perbandingan produk dengan pesaing yang ada. Pemilihan dilakukan bukan setakat harga dan ciri-ciri produk tetapi apa yang boleh memberikan keuntungan dan kelebihan pada pembeli itu sendiri

iii.                  Pembeli pasti mendapatkan pandangan dan pengalaman dari rakan-rakan atau sanak saudaranya terlebih dahulu sebelum mencari dan memberi keputusan yang sewajarnya.

iv.                 Situasi kewangan pembeli memainkan faktor terpenting dalam menentukan sama ada untuk membelinya atau tidak.

v.                   Melakukan penilaian boleh atau tidak produk yang ditawarkan kepadanya nanti dapat selesaikan masalah yang ditanggungnya selama ini


Inilah tugasan si penjual. Kena peka dan sensitif dengan apa yang ada. Jangan mudah buat andaian, tanggapan dan syok sendiri merasakan apa sahaja yang dijual dan ditawarkan sudah pasti diterima bulat-bulat oleh si pembeli. Pelajari sebaik-baiknya apa tindakan sewajarnya untuk kita menghadapi situasi sebegini kenal pasti apa yang pembeli mahukan dan perlukan. Tiada yang mustahil untuk dilakukan selagi kita benar-benar berilmu, berkehendakkan dan bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Sudah pasti apa juga bangkangan dan bantahan yang diterima dari mereka akan kita hadapi dengan sebaik yang mungkin.
Read more >>