Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 31 Disember 2012

Yang Cerewet Pula Di Temui




Amat melecehkan apabila kita bertemu dan berhadapan dengan prospek/pelanggan yang amat cerewet. Dah lah cerewet, itu nak tahu ini nak tahu segala apa yang disampaikan kena beritahu secara mendalam, jelas dan berfakta. Tanpa memberi sebarang ruang dan peluang tidak kira sibuk ataupun tidak prospek/pelanggan tersebut pasti akan mengira menjurus hanya kepada kepentingan diri beliau sahaja. Bukan setakat melecehkan tapi juga memenatkan bagi kita yang melakukan jualan jika terserempak bertemu dengan prospek/pelanggan yang sebegini.

Inilah ujian Allah SWT terhadap kita. Bukan setiap hari langit sentiasa cerah sekali sekala keadaan mendung pasti ada. Oleh itu hadapi prospek/pelanggan yang sebegini dengan sebaik yang mungkin kerana peluang yang datang tidak mengira siapa, bagaimana perangainya, di mana dan bagaimana. Semuanya kena hadapi dengan sebaik yang mungkin. Layanan kena sama diberikan. Sentiasa beringat agar apabila bertemu dengan prospek/pelanggan sebegini beberapa tindakan perlu kita lakukan semasa menjual iaitu

i.              Tenang, sabar dan tabah (TST)
Dah tempuhi maknanya kena lalui suka ataupun tidak. Tiada kompromi lagi dah. Kena teruskan juga usaha yang telah dimulakan. Banyakkan  guna konsep TST iaitu ketenangan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi prospek/pelanggan yang sebegini. Jangan jadikan diri kita terlalu cerewet pula seperti mana prospek/pelanggan tunjukkan. Banyakkan beralah, per mudahkan dan tidak sama sekali disukarkan. Tindakan kita akan menggambarkan kesungguhan kita untuk memberikan penerangan yang terbaik kepada prospek/pelanggan yang kita temui. Tunjukkan keyakinan agar mereka juga akan yakin dengan apa yang kita berikan kepada mereka.

ii.            Berikan penerangan yang sewajarnya
Lagi cerewet lagi bagus, lagi banyak input yang diberikan lagi banyak kita ketahui apa yang dinginkan. Berikan secara penerangan yang berfakta dan jangan sama sekali kelentong yang bukan-bukan. Jika ada testimonial berikan sebagai satu bukti nyata agar prospek/pelanggan tersebut lebih memahami. Kadang-kadang dari pengalaman yang telah dilalui dengan produk yang telah kita digunakan pada orang lain juga dapat membantu jualan yang kita lakukan dengan mudah dan diyakini dengan cepat.

iii.           Jangan mengeluh
Tolong jangan mengeluh atau mengadu kesah akan perangai dan kelibat prospek/pelanggan yang di hadapan kita. Baik dari segi perkataan mahupun dari bahasa badan ataupun riak muka semuanya kena dijaga dengan rapi. Firman Allah bermaksud ‘……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir’(Surah Yusuf ayat 12). Hadapilah dengan sebaik mungkin sesungguhnya rahmat Allah itu lebih hebat dari segala-galanya.

iv.           Jangan tergesa-gesa
Buat relak sahaja. Jangan kelam kabut nak bagi cepat habis sahaja disebabkan rasa meluat dan bencinya kita terhadap prospek/pelanggan yang berhadapan dengan kita. Ketenangan jiwa dan perasaan memainkan peranan penting. Lagi dia cerewet bertanyakan sesuatu secara detail dan lengkap bermakna peluang semakin cerah untuk mendapatkan penutupan jualan. Sentiasa membantu dan tolong selesaikan apa juga masalah yang ditanggung agar prospek/pelanggan terasa yang kita benar-benar ikhlas dan mahu untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan sewajarnya.

Kejayaan menjual bukanlah kerana apa yang di jual oleh kita tetapi kejayaan menjual adalah di tunjukkan bagaimana kita menjual. Ini lagi penting. Kerana itu setiap apa yang kita lakukan kena ada ilmu. Jangan main hentam sahaja janji boleh laku dan diterima oleh prospek/pelanggan yang ditemui. Setiap apa juga halangan, rintangan dan dugaan yang mendatang sudah pasti ada jalan penyelesaiannya yang Allah SWT akan berikan kepada kita sebagaimana firman Allah 

bermaksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216). Kuatkan semangat tabahkan hati untuk hadapi akan apa juga yang kita hadapi pasti kejayaan juga akan kita peroleh nanti.


Read more >>

Ahad, 30 Disember 2012

JANGAN KEDEKUT ILMU



Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Barang siapa yang ditanya berkenaan suatu ilmu lalu dia menyembunyikannya, pasti dia akan diikat pada Hari Kiamat dengan tali dari neraka” (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi (Maktabah al-Ma’arif, Riyadh 2000), hadis no: 2649).

Satu peringatan untuk kita semua agar jangan sama sekali kita kedekut dan tamak akan ilmu yang ada pada kita untuk dikongsi bersama. Ilmu yang didapati bukan setakat digunakan demi kepentingan diri sendiri dan paling baik perlu dikongsi bersama. Terlalu banyak dalil-dalilnya kenapa ilmu yang ada perlu dikongsi bersama  sebagai mengelakkan ancaman kepada orang-orang yang berilmu antaranya

Sabda Rasulullah SAW “Perumpamaan orang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada manusia dan melupakan dirinya seperti lampu yang menerangi orang lain dan membakar dirinya sendiri” (Hadis Riwayat At-thabrani).

Sabda Rasulullah SAW “Kecelakaan besar bagi orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu) dan kecelakaan besarlah bagi orang yang mengetahui (berilmu) kemudian tidak mengamalkannya (ilmunya) “(Hadis Riwayat Abu Nuaim).

Sabda Rasulullah SAW “Orang yang berilmu ilmu dan amal (masuk ke) dalam syurga, maka apabila orang yang berilmu tidak mengamalkan (ilmunya) maka ilmu dan amal masuk ke syurga dan orang yang berilmu masuk ke dalam neraka” (Hadis Riwayat Ad-Dailami).

Dari Abu Hurairah Ra. Berkata: Bersabda Rasulullah SAW “Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu kemudian tidak memberikannya (kepada orang lain) adalah bagaikan orang yang menyimpan harta kemudian tidak menafkahkan sebahagian dari padanya” (Hadis Riwayat At-Tabarani).

Kerana itu kita amat di saran berkongsi ilmu sesama rakan-rakan kita yang melakukan jualan. Jangan ditakuti andai kata pasaran kita dirasakan terganggu dan akan merosakkan periuk nasi kita. Ingatlah Rasulullah ada bersabda “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah dibandingkan mukmin yang lemah, dan masing-masing mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk hal yang bermanfaat untuk mu. Mohonlah pertolongan dari Allah dan jangan merasa lemah. Jika ada sesuatu menimpa diri mu, jangan ucapkan, ‘Andai sahaja aku yang melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu’ Namun ucapkanlah ‘Telah ditakdirkan Allah, apa yang Allah kehendaki, Dia pasti melakukannya’ Sesungguhnya ucapan ‘andai sahaja’, akan membuka amalan syaitan”(Hadis Riwayat Muslim).

Usaha tangga kejayaan. Yang penting kena usaha dan bekerja keras kerana banyak macam mana pun ilmu tapi tidak dipergunakan pasti tidak ke mana. Firman Allah bermaksud "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (berbuat baik)(Surah Al-Baqarah ayat 195).

Read more >>

Jumaat, 28 Disember 2012

MENJUAL DI LAHIRKAN ATAU DIPELAJARI?



Satu persoalan yang sering didengari iaitu adakah orang yang pandai menjual ini dilahirkan untuk menjual atau dilatih baru boleh menjual. Menjual adalah satu bidang yang dipelopori oleh pelbagai bangsa dan keturunan. Tidak kira apa statusnya sama ada kaya atau miskin, senang atau susah dan sebagainya semuanya mempunyai bakat dan kebolehan dalam menjual. Mungkin satu perkara yang biasa kita dengar dari orang tua-tua dahulu yang mahukan kita belajar tinggi-tinggi untuk dihabiskan masa kita berkerjaya dengan makan gaji. Manakala bagi orang yang berniaga seperti orang-orang bangsa Cina orang-orang tua kita sering mengatakan mereka kalau tak belajar tinggi pun tidak mengapa kerana semenjak kecil lagi dah dilatih untuk berniaga. Seolah-olah satu legasi telah berlaku dalam masyarakat kita di waktu dulu.

Membentuk perniagaan dengan asas jualan bukanlah ada pada bakat. Bakat yang terbentuk semuanya dari hasil pembelajaran dan pencarian ilmu yang tidak ada titik noktahnya. Seperti orang berbangsa Cina yang mempunyai perniagaan, ungkapan semenjak kecil lagi sudah dilatih untuk berniaga adalah satu bukti di mana kalau hendak menjalankan apa bentuk perniagaan sekalipun latihan, bimbingan dan curahan ilmu perlu dilakukan. Hendak memulakan perniagaan tapi tidak tahu bagaimana untuk menjual pun adalah tidak boleh. Menjual adalah asas dalam pembinaan sesuatu perniagaan. Tak reti nak menjual bagaimana bisnes nak berkembang.

Kerana itu untuk menjadi seorang yang hebat dalam perniagaan yang diceburinya, teknik-teknik kemahiran dalam menjual perlu ada untuk dipelajari, difahami dan di praktik kan. Tidak dinafikan adanya orang-orang perseorangan yang berjaya tanpa adanya pembelajaran dalam ilmu jualan tapi berapa ramai? Mungkin satu kebetulan ataupun sudah ditakdirkan tuah badan. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan kebenaran Nya.  Kerana itu bagi mereka-mereka yang melakukan jualan dan bertugas di dalam organisasi-organisasi yang besar atau dalam bidang MLM sudah pasti latihan demi latihan terutamanya dalam bidang jualan diberi perhatian yang serius dan sewajarnya.

Begitulah pentingnya kenapa curahan ilmu dalam bidang jualan ini perlu dilakukan. Mengharapkan bakat semula jadi sahaja tidak memadai melainkan diasuh dan diajar bagaimana untuk melakukan jualan agar kesempurnaan jualan dapat dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Bak kata pepatah belakang parang kalau di asah lagipun tajam inikan pula manusia. Kerana itu carilah ilmu yang berkaitan dengan jualan sama ada melalui menghadirkan diri dalam kelas-kelas bimbingan, latihan dan seminar-seminar sama ada atas biayai majikan atau diri sendiri. Paling tidak pun carilah bahan-bahan pembacaan yang terdapat di pasaran seperti buku-buku kemahiran jualan, artikel-artikel dan sebagainya agar penambahan ilmu dapat dikemas kini selalu dalam diri kita yang melakukan jualan.


Jadi berfikirlah sama ada ungkapan ‘MENJUAL DI LAHIRKAN ATAU DIPELAJARI?’ adakah relevan dalam dunia menjual pada masa kini. Kita sendiri yang menentukan sama ada diri kita ini sememangnya ada bakat terpendam, terendam atau kita amat memerlukan untuk mempelajarinya dari masa ke semasa. Tepuk dada tanyalah otak di tahap mana kah kita berada.



Read more >>