Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 1 September 2013

GAGAL DALAM JUALAN



Ada sesiapa yang mahukan kegagalan dalam melakukan jualan? Sudah pasti jawapan tidak. Itulah realitinya. Apa yang dilakukan pasti mahu tidak mahu kena ada kejayaannya. Inilah impian seseorang apabila menceburi sesuatu bidang. Gagal bermakna tiada harapan meyakinkan untuk mencapai apa yang diingini. Adalah dikira membuang masa dan ketika jika apa yang kita lakukan semuanya menemui jalan buntu sehinggakan kekecewaan pula yang ditanggung.

Apapun yang berlaku dan terjadi mesti ada sebabnya. Bukannya boleh jadi sesuka hati berlaku begitu sahaja. Apabila berlakunya kegagalan lakukan segera bedah siasat kenapa kegagalan ini boleh terjadi. Muhasabah diri perlu ada sepertimana yang disarankan dalam Agama. Antara penyumbang-penyumbang utama kegagalan masih lagi berleluasa sehingga kita gagal mengawal kegagalan tersebut adalah hanya disebabkan

i.             Masih tak berani lagi
Walaupun pelbagai ilmu dipelajari dengan pengetahuan produk yang mantap telah berjaya disemai dalam sanubari tapi malangnya apabila bertemu dan bersua dengan bakal pembeli atau prospek lidah masih kelu untuk berbicara. Berpeluh-peluh habis dibuatnya sehingga basah baju semuanya. Seolah-olah bertemu dengan mereka bagaikan untuk pergi mencuri atau menipu mereka sahaja. Langsung tiada keberanian, ketakutan dan gementar dibuatnya. Minat sahaja kalau tidak berani, malu dan segan untuk berkomunikasi dengan orang macam mana nak melakukan jualan? Sudah pasti kegagalan juga yang menimpa.

ii.           Gagal untuk pelajari
Apa yang berlaku langsung tidak mahu dijadikan sebarang pengajaran dan iktibar yang sepatutnya. Terlalu mengambil mudah dan diulangi lagi segala kesilapan dan kesalahan dalam menjual. Biar gagal dahulu pelajari atas sebab apa kegagalan tersebut diperbaiki semula barulah ada tindakan baru untuk dilakukan. Selagi tidak dipelajari selagi itulah kegagalan sahaja yang akan kita temui.

iii.          Gagal menambah pengalaman
Guru terbaik adalah dari pengalaman yang dilalui sendiri dan juga dari pengalaman orang lain. Malangnya setiap pengalaman yang kita lakukan dan tempuhi tidak kemana. Kita lupakan terus apa yang berlaku untuk kita jadikan tauladan dan pengajaran. Kita gagal kemaskinikan cara dan kaedah kita melakukan jualan. Apa yang orang lain telah lalui sebagai pengalaman pada dirinya pula telah kita ketahui langsung tidak kita pergunakan juga. Pengalaman yang ditempuh kebiasaannya tiada dalam buku-buku yang kita baca dan apa yang telah kita tempuhi. Rugi rasanya kalau kita membiarkan ilmu yang diperoleh tidak dipergunakan begitu sahaja dengan sewenang-wenangnya

iv.          Gagal mencari ilmu baru dan perbaiki ilmu yang ada
Ilmu perlu dicari dan dipertingkatkan lagi. Selagi kita merasakan diri ini penuh ilmu didada selagi itulah terdapat banyak kekurangannya. Apa yang kita ada sebenarnya umpama setitis air yang menitik dilautan. Cukup sedikit ilmu dengan apa yang Allah berikan pada kita. Carilah ilmu, tambahkan sentiasa dan perkemaskan diri kita agar tiada kegagalan lagi hanya disebabkan kekurangan dan kecetekan ilmu yang ada.

v.            Semua orang nak menang
Tewas hanya kerana malu dan mudah merasa rendah diri dengan apa yang ada. Semuanya hanya dibiarkan orang lain sahaja yang mengecapi kejayaan dalam melakukan tugasan menjual. Lebih rasa seronok tengok orang berjaya dan sanggup membiarkan diri berada dalam kegagalan. Selagi kita gagal selagi itulah kita gagal hulurkan bantuan dan pertolongan kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan? Biar orang lain seronok kita menangis dalam kesepian sahaja.

vi.          Merasakan apa yang ada telah memadai
Semuanya dengan mudah merasakan apa yang ada pada kita telah cukup dan memadai. Seolah-olah apa juga perkara baru yang hadir dan datang dianggap mengganggu. Kalau dalam rentak kejayaan tak apa lah juga tapi masalahnya kini kita dalam rentak kegagalan sehingga kita menjadi kecewa dan begitu malas pula untuk perbetulkan semula diri kita. Sampai bila kita harus berkeadaan sebegini?

Perbaiki segera jangan biarkan sehingga menjadi parah baru terhegeh-hegeh nak diperbetulkan semula. Masih ada ruang dan jalan keluar untuk diperbetulkan. Berfikiran positif dan sentiasa ingat kalau orang lain boleh melakukannya kenapa tidak pada diri kita. Jangan sama sekali biarkan kegagalan mengawal diri kita kerana Allah wujudkan semangat dan fikiran untuk kita fikirkan ambil jalan terbaik atasinya dengan sebaik yang mungkin.


1 ulasan: