Apa pun yang kita lakukan semuanya bergantung dengan niat. Niat yang baik
pasti memberikan tindakan dan hasil yang baik. Begitu juga niat yang tidak baik
sudah pasti tindakan dan hasil menjadi yang tidak baik juga. Begitulah hebatnya
KALAU kita mempunyai niat. Satu kuasa yang menentukan sama ada perbuatan kita
menjurus ke arah kebaikan atau kejahatan. Semuanya bergantung dengan niat.
Umpama kita hendak bersolat salah satu rukun dalam solat adalah niat. Tanpa
adanya niat sudah pasti solat tersebut terbatal dan tidak sah sama sekali.
Sabda Rasulullah SAW dari
Sayidina Umar bin Khattab mengatakan bahawa ‘Sesungguhnya setiap amalan (perbuatan/ibadat) mesti disertakan
dengan niat, dan sesungguhnya apa yang didapati oleh manusia adalah atas apa
yang diniatkannya‘(Hadis
Riwayat Bukhari).
Hanya dengan niat kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh untuk
melakukannya. Mencapai apa yang diingini tidak kira apa juga cabaran, dugaan
dan rintangan sudah pasti akan ditempuhi dengan sebaik yang mungkin. Hanya
kerana niat sudah pasti kita tidak akan mengeluh dan merasa sukar dengan apa
yang kita kerjakan. Apabila kita berniat bukan sahaja kita akan mengharapkan
sesuatu tetapi sudah pasti kita melakukannya dengan cara dan kaedah yang
terbaik untuk mencapainya dengan apa cara sekalipun.
Sebagai contoh seorang ibu pasti akan berniat kalau anaknya lulus dengan
cemerlang dalam peperiksaan UPSR atau PMR sudah pasti akan mengadakan kenduri
kesyukuran atau mengedarkan pulut kuning pada jiran tetangga dan sahabat
handai. Dalam memastikan agar niatnya tertunai dan berjalan lancar, setiap hari
dan ketika akan meminta anaknya untuk bersungguh-sungguh mengulang kaji
pelajaran dan memastikan anaknya benar-benar belajar tuisyen di tempat yang
paling baik gurunya mengajar. Setiap kali selepas bersolat sudah pasti menadah
tangan agar anak yang disayanginya lulus dengan cemerlang meminta bantuan dan
pertolongan kepada Allah. Begitulah kuatnya kuasa niat bagi memastikan apa yang
dihajatinya dapat tercapai dan tertunai pada akhirnya nanti.
Seorang pengurus yang baru dilantik untuk mengendalikan sebuah pasukan bola
sepak tentu berniat dan berazam untuk memastikan pasukan yang diamanahkan oleh
pihak pengurusan yang memilih dan melantiknya mencapai kejayaan yang dimahukan.
Tidak kiralah sama ada peminat atau penyokongnya mahupun pemain-pemain yang ada
bersetuju ataupun tidak akan pelantikannya, beliau pasti akan menjalankan
tanggungjawab sepatutnya untuk melakukannya dengan sebaik yang mungkin. Yang
penting kejayaan di atas apa yang diharapkan dan yang diingini oleh pihak
pengurusan itulah matlamat utamanya untuk dicapai.
Umpama seseorang yang ingin berpuasa sunat. Mengharapkan untuk bersahur
tetapi terlajak tidur hanya mampu melakukan solat subuh sahaja. Oleh kerana
telah berniat awal tetap diteruskan sahaja puasa tersebut walaupun dirasakan
waktu makan paling akhir pada makan malamnya adalah pada jam lapan malam. Namun
tetap diteruskan juga sampai berbuka tanpa sebarang adanya rasa lapar dan
dahaga. Tapi kalau tidak berniat untuk berpuasa sudah pasti pada jam 8 atau 9
pagi merasa lapar yang amat sangat terasa isi perut berdendang-dendang mahukan
makanan. Begitulah hebatnya jika sesuatu perkara tersebut dilakukan dengan niat
yang sepatutnya.
Samalah juga kepada kita yang melakukan jualan. Nak mendapatkan hasil yang
terbaik dan memuaskan hati kena pastikan juga kita berniat awal. Jangan dah
melakukan jualan baru terhegeh-hegeh nak berniat. Sepatutnya selepas solat
subuh atau semasa hendak keluar dari rumah kita sudah berniat se awal yang
mampu sebagai persiapan awal. Hanya kerana niat tugasan kita akan lebih
dipermudahkan lagi mencuba untuk mencapai seberapa banyak penutupan jualan yang
dimahukan. Berniat yang pastinya memberikan impak dan hasil yang positif
begitulah sebaliknya semuanya bergantung sepenuhnya kepada niat. Lakukan
tindakan yang terbaik ini kerana bukan sahaja kuasa berniat ini hebat dan
menggemparkan hasil yang dimahukan tetapi juga bukan kena duit atau caj
perkhidmatan satu sen pun apabila dilaksanakan. Lakukanlah dengan sebaik yang mungkin
pasti hasil yang kita mahukan memberikan pulangan yang lumayan juga kepada
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan