Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 14 September 2013

PETANDA KEGAGALAN AKAN MENJELMA






Kejayaan dalam melakukan jualan sememangnya dikehendaki sama sekali. Tidak boleh dinafikan kerana orang yang cemerlang sememangnya begitu dahagakan kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi. Inilah tindakan yang sepatutnya kita lakukan selama ini. Melakar perancangan yang padu dan jitu yang terlebih dahulu merangka apa yang patut dan tidak patut dilakukan sebelum sebarang tindakan boleh diambil. Segalanya mesti bermula dari perancangan dan bukannya main hentam sesuka hati.

Tapi kadang-kadang harapkan panas sampai ke petang rupanya hujan pula di tengah hari. Bukan semua yang kita rancang 100% boleh berlaku dengan sempurnanya. Ini ujian dan cabaran yang perlu di tempoh dengan sebaik yang mungkin. Ketahui dahulu apa tanda-tanda kegagalan yang akan menjelma jika apa yang kita rancang kan selama ini tidak pernah yang menjadi. Antara yang perlu diketahui adalah

I.         Terlalu banyak yang hendak dibuat
Mana yang penting walaupun banyak itulah yang perlu diutamakan terlebih dahulu, susun ikut mana keutamaan yang penting dan bukannya susunan kerja ikut aturan mana dulu mana kemudian. Tapi kalau dah merasakan terlalu banyak pula yang hendak dilakukan sudah semestinya fokus akan hilang sumber tugasan akan terbiar nanti begitu sahaja. Inilah salah satu petanda yang tidak baik perlu dielakkan. Rancang dengan baik agar kita tahu yang mana satu perlu dilakukan dahulu dan yang mana satu di kemudiankan seketika. Jangan biarkan fikiran kita terus hanyut menjadi buntu tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

II.       Kerjasama yang dibina
Bagi mereka yang menyertai sesebuah tim jualan, semangat dan sikap bertugas dalam satu pasukan amat diperlukan sama sekali. Bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain amat digalakkan. Cuma ada kemungkinan bahawa keharmonian sebegini amat sukar pula berlaku hanya disebabkan ketamakan, rakus, mementingkan kepentingan peribadi, berdengki dan berdendam sesama rakan setugas. Berlakunya perkara sebegini kalau tidak dibendung dari awal sudah tentu dan semestinya akan mengakibatkan sampai bila-bila tim jualan tersebut tidak akan bergerak ke mana-mana dan setiap ahli dalam tim jualan tersebut sudah pasti tiada kegembiraan untuk melakukan tugasan.

III.     Kurangnya sokongan diterima
Dah namanya hidup bermasyarakat, walaupun tugasan kita melakukan jualan, sokongan semua orang amat diperlukan sama sekali. Baik rakan setugas dan ketua dalam tim jualan, pembekal-pembekal produk yang kita tawarkan, bakal-bakal pembeli atau pelanggan, ahli keluarga dan kenalan semuanya kita mengharapkan sokongan dan bantuan mereka sama sekali. Jangan mudah mendabik dada merasakan semua urusan melakukan jualan hanyalah kerana terletaknya kehebatan kita seorang melakukannya. Bila dah lupa diri dan tinggi diri bermakna semakin pupuslah kehebatan kita melakukan jualan hasil dari sokongan orang lain yang mungkin juga tidak kita kenali selama ini akan hilang sedikit demi sedikit.

IV.      Semuanya dirasakan susah atau sukar
Nampak mudah tapi malangnya sehingga kini semakin sukar dan payah pula untuk dilakukan. Pelbagai perkara dilakukan dari pemahaman produk, berguru dengan rakan-rakan yang pakar, berkempen melakukan promosi kepada bakal pembeli atau pelanggan nampak semuanya tidak menjadi. Semakin lama dilakukan semakin sukar pula untuk diusahakan. Adakah ini berlaku hanya kerana minat semakin menghilang dalam melakukan jualan, terpaksa melakukannya kerana terpaksa atau produk yang ditawarkan semakin kurang penerimaan di pasaran? Semuanya kena dilakukan bedah siasat seberapa cepat yang boleh agar dapat dikenal pasti apa punca sebenarnya.

V.        Antara perancangan atau tindakan
Jangan hanya pandai merancang sahaja tapi bila berlaku tindakan rupanya tidak sampai ke mana pun hasil yang boleh diperoleh. Begitu juga dengan tindakan dilakukan hanya mengikut mode sahaja tanpa mengikut apa yang telah dipersetujui dalam perancangan yang telah disusun dan ditetapkan terlebih dahulu. Kedua-duanya kena sepadan dan seiring mampu buat dan lakukan. Jangan tahu rancang tapi pada hakikatnya cukup sukar untuk dilakukan dan begitu juga bila tindakan dilakukan biarlah mengikut apa yang telah di rancang kan terlebih dahulu. Biarlah sepadan dengan keupayaan diri kita sendiri asalkan mampu untuk peroleh apa yang dihajati dan idamkan selama ini.

Bertindaklah dengan sebaik yang mungkin. Melakukan sesuatu perancangan kena ambil tahu apa perkara-perkara negatif dan tidak baik mungkin akan berlaku bagi tujuan keselamatan dan ambil tindakan berhati-hati. Bukan semuanya yang dirancang menjadi yang indah-indah sahaja. Pasti dan mesti ada sahaja perkara yang di luar dugaan dan fikiran boleh berlaku tanpa kita sedari. Inilah yang sepatutnya kita ambil kira agar persiapan yang dilakukan mengambil semua faktor yang ada, berlaku dan dari pengalaman yang telah ditempuh. Niat kalau betul insyaAllah Allah akan beri petunjuk agar apa yang kita lakukan sentiasa berada di atas landasan yang betul dan benar.

Firman Allah bermakna ’dan sesiapa Yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang di kehendaki Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu’ (Surah Al-Talaq Ayat 2-3).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan