Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 10 September 2013

PENTINGNYA KITA PADA MEREKA




Tak perlu nak jadi YB atau menjawat jawatan hebat. Selagi kita melakukan jualan pasti orang akan memandang kita sebagai seorang yang dianggap penting dan dihormati sentiasa. Bukan nak takbur dan meninggi diri cuma kalau betul gaya dan caranya sudah pasti kita sering kali dirasakan amat penting buat mereka. Selagi kita ikhlas dan jujur mahu memberikan bantuan dan pertolongan selesaikan masalah mereka hanya menerusi produk yang ditawarkan selagi itulah diri kita akan dijadikan perhatian dan pemerhatian. Yang pasti tarikan seperti begini akan memudahkan lagi untuk kita melakukan tugasan jualan.

Bagi membina dan membuatkan orang lain merasakan kehadiran diri kita begitu penting dan dihormati pastikan perkara-perkara seperti berikut perlu kita lakukan iaitu

i.         Penampilan diri dan gaya
Dengan gaya dan penampilan yang hebat pasti ke mana juga kita berada dan pergi pasti menjadi perhatian orang. Majoriti manusia bukan melihat pada apa jenama yang kita pakai dan gunakan. Cukuplah sekadar penampilan diri dan gaya kita benar-benar dapat memikat hati dan sanubari mereka. ‘Stail kena ada beb’ baru orang nak bercakap dan berkomunikasi dengan kita. Kalau asyik selekeh dan tiada kekemasan diri bagaimana nak lakukan jualan menarik perhatian mereka.

ii.        Cara pertuturan
Bertutur dengan sebaik yang mungkin. Dengan nada intonasi yang menarik ada nada kuat dan perlahannya pasti akan menyenangkan sesiapa juga untuk mendengarnya. Berlatih sentiasa agar kita berjaya memperoleh apa yang kita mahukan. Jangan seperti kita bersembang dengan kawan-kawan seperti itu juga kita bersembang dengan bakal pembeli atau pelanggan. Kena bezakannya kerana bukan semua mereka itu suka kita melawak tak tentu hala. Jaga pertuturan, biar beralas segala apa yang kita perkatakan agar perhatian mereka tetap fokus kepada kehadiran kita. Barulah mudah untuk mendapatkan perhatian dari mereka.

iii.       Tunaikan apa yang mereka hajati
Apabila diketahui masalah mereka pastikan jangan malu dan segan hulurkan segera bantuan dan pertolongan yang mereka ingini dan hajati. Hanya produk kita sahaja yang mampu dan boleh selesaikan permasalahan mereka jadi jangan di tangguh dan ditunggu-tunggu lagi. Realiti kan segera dan elakkan dari berfantasi dengan mengatakan produk yang ditawarkan adalah terbaik di pasaran. Sekali kita berbuat baik kepada mereka selagi itulah jasa kita akan dikenang sampai bila-bila.

iv.       Berhemah dan bersopan
Jangan menyombong jangan meninggi diri. Elakkan bercakap besar dan berlagak tak tentu hala. Orang bukannya suka kalau ada pada kita sikap yang sebegini. Ambillah jalan selamat dan menguntungkan karier kita. Tak jatuh pun maruah kalau sentiasa kita amalkan sikap yang berhemah dan bersopan. Semakin ramai orang akan menghormati kita. Lagi pun kena ingat bahawa kita yang sebenarnya memerlukan mereka dan bukannya mereka yang memerlukan diri kita. Kena fikirkan agar setiap kali kita bertemu dengan siapa pun juga pasti orang sudi dan mahu berinteraksi dengan kita.

Lakukan dengan sebaik yang mungkin kerana tiada yang mustahil untuk dilakukan. Kita jujur pasti kebaikan juga yang akan mengiringi kejujuran kita. Tunjukkan yang kita seorang konsultan yang membantu dan menolong mereka dalam apa juga keadaan sekalipun walaupun mungkin ada sedikit kesukaran dan kepayahan untuk menunaikan permintaan mereka. Fikirkan kalau kita lakukan perkara yang betul dan benar sudah pasti hebahan mulut akan mudah tersebar di kalangan mereka akan kesungguhan dan kegigihan kita melakukan jualan. Bukankah ini sesuatu yang menguntungkan, bak kata pepatah Melayu sambil menyelam minum air. Lakukan dengan sebaik yang mungkin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan