Pelajari juga kesilapan yang telah kita lakukan. Jangan dibiarkan
berterusan. Sampai bila-bila pun nanti akan sukar dan payah untuk melakukan
jualan. Jangan pula mudah mendabik dada merasakan selama kita melakukan jualan
adalah betul dan diterima ramai. Kerana itu dalam Islam, muhasabah diri amat
penting. Ketahui segala apa yang telah kita lakukan selama ini sama ada
menjurus ke landasan yang betul atau sebaliknya.
Kerana itu dalam memastikan tiada kesilapan dan kesalahan yang berlaku,
awasi dengan sebaik mungkin. Agar perkara-perkara sebegini jangan kita lakukan,
ulangi dan biarkan terjadi dengan sewenang-wenangnya bagi memastikan kita
berjaya dalam karier melakukan jualan. Periuk nasi kena jaga. Takkan nak suruh orang
lain menjaganya pula. Perkara-perkara yang dimaksudkan ini adalah
i.
Pengalaman
Apa yang
ditempuh dan dilalui jadikan satu pengalaman paling berguna buat kita. Bukannya
boleh dibeli dengan wang ringgit. Bagaimana kita berhubung, bertemu dan seterusnya
melakukan perundingan kena lakukan sendiri. Lagi banyak kita lakukan lagi
banyak pengalaman yang bakal kita peroleh. Kaji sebaik-baiknya mana kesilapan
dan kesalahan yang dilakukan agar tidak diulangi. Sesungguhnya guru terbaik
kita dalam melakukan jualan adalah dari pengalaman yang kita tempuhi sendiri.
ii.
Jalinan
perhubungan dan pertalian
Kenapa
mereka mahu bersama kita dan menjauhi diri mereka dari kita perlu kita ketahui.
Kita bukan manusia yang sempurna yang begitu mudah orang menyukai diri kita.
Cari jalan yang terbaik agar mereka mudah dan cukup senang untuk bermesra dan
berkawan baik dengan kita. Ketahui apa yang mereka perlukan dan mahukan dari
kita. Nanti baru senang tugasan kita produk apakah yang bersesuaian untuk
dikemukakan.
iii.
Potensi
diri
Kenali
bakat yang ada di mana kekuatan dan di mana kekurangannya. Apa sahaja kekuatan
yang ada pergunakan dengan sebaik yang mungkin. Bagi kekurangan yang ada dalam
diri kita perbaiki segera dalami ilmu yang ada agar pemulihan boleh
dilaksanakan. Jangan putus asa terlebih dahulu. Jangan resah tidak menentu tapi
teruskan usaha agar apa yang dilakukan boleh dan mampu untuk dilaksanakan. Yang
untungnya diri kita juga kerana sentiasa memberikan yang terbaik di hadapan
bakal pembeli atau pelanggan ketika tawaran dilaksanakan.
iv.
Kesedaran
produk
Pengetahuan
produk secara mendalam perlu dilakukan. Bukan setakat melepaskan batuk di
tangga sahaja. Ambil tindakan yang serius untuk mengetahui di samping mencintai
produk yang ingin kita tawarkan. Selagi perkara sebegini gagal kita lakukan
sudah pasti setiap apa juga bangkangan dan bantahan dalam jualan menjadi semakin
buntu untuk menepis dan membetulkan hujah kita kepada mereka. Sanggup kah kita
begitu mudah dan senang dibuli oleh mereka? Tepuk dada tanyalah pemikiran kita
bagaimana.
v.
Bantuan
dari Allah
Bila dah
berjaya mula sombong, angkuh dan mudah lupa diri. Seolah-olah segala kejayaan
kita semuanya datang dari kita sahaja. Perlu kah dalam jualan ini menjadikan
diri kita umpama Firaun atau Namrud yang secara terang-terangan berani melawan
Allah seperti mana yang telah diterangkan dalam Al-Quran. Adakah ini jalan yang
kita pilih hidup di dunia ini? Berjaya atau gagal semuanya adalah cabaran dan
dugaan yang telah Allah berikan kepada kita bagi tahap keimanan kepada yang Maha
Esa.
Ambil iktibar dan pengajarannya. Jangan mudah melakukan kesimpulan dan kata
putus. Selidiki dan buat kajian setiap kali kita gagal di mana salah dan
silapnya. Jadikan diri kita sebagai seorang manusia yang sentiasa berfikir demi
kemajuan diri, karier dan kehidupan kita. Mana-mana bahagian yang telah
dilakukan secara salah dan silap perbetulkan segera dan pastikan ia nya jangan
sama sekali di ulangi. Kalau buat baik jadikan teladan, mana yang tidak baik
jadikan sempadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan