Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 26 September 2013

TAK BOLEH DISKAUN KE?






Salah satu perkara utama bakal pembeli atau pelanggan mengambil kira adalah berkenaan dan berkaitan dengan harga yang ditawarkan. Memang pedih hati dan memeningkan kepala kita yang melakukan jualan. Harga sememangnya memainkan peranan yang penting dalam melakukan jualan. Sebagai orang yang menjual kebiasaannya kita tiada mempunyai kuasa untuk menentukan berapa harga terbaik yang boleh ditawarkan. Semuanya bergantung semata-mata berapa banyak yang telah ditetapkan sama ada oleh pengeluar produk atau pembekal barangan . Kita hanya menjual sahaja tak lebih daripada itu.

Inilah perkara yang sering berlaku dan selalu disebut-sebutkan ketika proses jualan berlaku. Baik semasa perundingan apa tah lagi semasa bantahan atau bangkangan jualan berlaku dan terjadi. Sebagai seorang penjual yang kena jual juga produk yang ditawarkan, mempertahankan harga yang ditawarkan perlu ada asas dan sebabnya. Bukannya dengan sewenang-wenangnya harga boleh ditawarkan dengan sebab suka hati pengeluar produk ataupun dari kita sendiri.

Ambillah pendekatan yang terbaik dan berhemah. Pertahankan dengan sebaik yang mungkin dengan apa cara sekalipun. Biarlah bantahan dan bangkangan berlaku dan terjadi namun pendirian kita kena kuat dan tabah. Segala asas dan sebabnya perlu kita perkukuhkan agar apa yang kita perkatakan ada kebenaran dan ketelusannya. Bukan untuk dipermainkan tapi ini adalah harga yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat, pembekal dan pengeluar produk. Antara tindakan-tindakan yang sepatutnya kita lakukan demi pertahankan berapa juga harga yang ditawarkan ini walaupun terpaksa melalui tanpa adanya sebarang kompromi adalah dengan cara

i.             Beri penjelasan
Tawarkan dengan memberi apa sebabnya kenapa harga kita tidak seperti harga pesaing atau pasaran yang ada. Kena ada logik dan asasnya. Beri penjelasan dan kefahaman dari segi pembuatan, isi kandungannya, mutunya, pengeluarnya, kedudukan ekonomi dan sebagainya yang boleh diberikan secara berfakta dan diterima akal. Jangan menipu tapi nyatakan dengan satu kejujuran yang sepatutnya yang membolehkan bakal pembeli atau pelanggan yang berada di hadapan kita boleh berfikir secara rasional. Bak kata pepatah kalau di panggil dia menyahut, bila di lihat dia bersuara.

ii.           Penekanan kepada kelebihan, keuntungan dan kehebatan
Setiap produk pasti ada kelebihan dan kekurangannya. Beri penekanan sebaik yang mungkin tentang segala kelebihan, kehebatan dan keuntungan yang bakal mereka peroleh supaya segala masalah mereka dapat diselesaikan menerusi produk yang ditawarkan. Kejujuran kita memberikan penerangan secara bersungguh pasti mampu menarik minat mereka tentang apa yang kita tawarkan dengan mengetepikan dahulu harga yang ditawarkan. Kerana itu kita di saran untuk mencintai produk yang kita tawarkan dahulu sebelum boleh orang lain bercinta dengan produk yang ditawarkan. Lihatlah industri kenderaan di Malaysia, kalau benar-benar mereka mahukan harga yang murah sudah tentu kereta-kereta berjenama seperti Mercedez, BMW ataupun AUDI sudah pasti tiada siapa pun yang akan menggunakannya.

iii.          Pengaruhi secara berfakta
Penjual yang cerdik dan memudahkan tugasan menjual pasti ada menyediakan perbandingan tawaran dengan pesaing-pesaing yang berada di pasaran sebagai satu kenyataan berfakta yang mudah difahami oleh bakal pembeli atau penjual. Tunjukkan kepada mereka di bahagian mana yang boleh memberikan satu keuntungan dan kelebihan pada diri mereka sendiri untuk menerima tawaran yang dikemukakan walaupun harga mungkin terdapat jauh perbezaannya. Selagi penerangan tidak diberikan selagi itulah mereka pasti tidak memahami. Ambil masa sedikit agar segala kekeliruan dan kecelaruan dapat kita atasi dengan sebaik yang mungkin.

iv.          Atasi bangkangan dan bantahan jualan
Lakukan secara berhemah dan bersopan. Tidak perlu meninggi suara atau bertegang leher. Maklumkan dengan sebaik yang mungkin secara jujur dan ikhlas. Bak kata pepatah kalau di bawah melompat kalau di atas menyusup di mana kita kena pandai untuk menyesuaikan diri menyelesaikan sebaik yang mungkin dan termampu. Ikut rasa binasa ikut hati mati. Kawal kemarahan dan emosi agar segala bantahan dan bangkangan diatasi dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu bertegang leher dan marah memarahi terjadi.

Bukan semua orang akan mudah bersetuju dengan apa yang kita perkatakan tapi tidak mustahil akan ada juga orang yang akan menerimanya pula. Hujung pangkal yang penting usaha kena ada. Jangan main semberono menganggap mudah sahaja orang akan terima bulat-bulat dan senang begitu sahaja. Kalau produk kita benar-benar berkualiti dan elok untuk dimiliki walaupun menawarkan harga yang lebih sedikit jika dibandingkan dengan pesaing ada, kenapa perlu wujud rasa takut dan risau. Lakukan sahaja yang penting bukan setakat harga sahaja yang mereka lihat walaupun harga cukup memainkan peranan penting dalam penutupan jualan. Peroleh dahulu pembinaan kepercayaan di dalam diri mereka, pengaruhi pemikiran mereka sebaik yang mungkin kemudian baru lakukan jualan apa yang kita mahukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan