Jangan kerana keghairahan dalam melakukan jualan kita
terlupa tentang adab kita bertemu dengan seseorang. Tidak kiralah dia nya
beragama Islam ataupun tidak. Kena
lakukan dengan sebaik yang mungkin dan termampu kerana Islam adalah agama yang
paling sempurna dari segala sudut. Islam mencakup hubungan manusia dengan
Allah, sesama manusia, bahkan dengan makhluk lainnya. Di antara kesempurnaan
Islam adalah mengatur kehidupan seseorang Muslim mulai sejak bangun tidur
sampailah tidur kembali. Jangan sama sekali diabaikan kerana dalam melakukan aktiviti
jualan sudah semestinya terlalu banyak bergaul dan berinteraksi dengan sesama
orang yang ditemui.
Berikut adalah sebahagian adab seorang Muslim tatkala
bertemu dengan orang yang lain yang ingin ditemui iaitu
i.
Berwajah ceria, berseri dan mengukir senyuman
Permulaan pertemuan sebelum memulakan bicara. Apabila bertemu dengan sesama prospek/pelanggan hendaknya
kita menunjukkan wajah ceria dan berseri-seri untuk memberikan kegembiraan,
menumbuhkan rasa cinta, mempererat ikatan hati dan memperdalam kasih sayang.
Islam sangat memperhatikan perkara ini. Tersenyum dan menunjukkan wajah yang
berseri-seri dan ceria adalah suatu amalan yang tidak boleh dipandang remeh dan
mudah, tetapi merupakan sebagai satu langkah melakukan satu sedekah.
Rasulullah bersabda, “Senyum yang
engkau berikan kepada saudara mu terhitung sebagai satu sedekah.” (Hadis
Riwayat At-Tirmidzi). Rasulullah juga bersabda, “Janganlah
kamu menganggap remeh pada suatu kebaikan, walaupun hanya sekadar bermanis muka
ketika kamu menemui saudara mu” (Hadis Riwayat Muslim).
ii.
Mengucapkan salam dan wajib membalasnya salam
Mengucapkan salam kepada sesama Muslim memiliki terlalu
banyak hikmah yang perlu diamalkan dengan sebaik yang mungkin, jangan dilupakan
sama sekali apatah lagi perlu di abaikan. Antaranya adalah untuk
Ø Permulaan bicara
dengan mengingati Allah terlebih dahulu
Ø Menunjukkan sikap
rendah diri
Ø Menghilangkan
perasaan takut antara orang yang bertemu
Ø Menumbuhkan rasa saling sayang dan cinta
antara keduanya
Ø Saling mendoakan
antara keduanya
Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Hak seorang Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam: Jika kamu
bertemu dengannya kamu mengucapkan salam…” (HR. Muslim).
Rasulullah bersabda lagi “Orang yang menaiki kenderaan hendaknya mengucapkan
salam kepada yang berjalan, orang yang berjalan hendaknya mengucapkan salam
kepada yang duduk, dan yang terbaik di antara dua orang yang berjalan adalah
yang terdahulu dalam mengucapkan salam.” (HR. Al-Bazzar dan Ibnu Hibban).
Jangan sama sekali pula disamakan pemberian salam kepada
orang-orang yang bukan Islam. Ini bersesuaian dengan apa yang telah di
maklumkan oleh Rasulullah. Dari Aisyah Rasulullah bersabda “Janganlah salah
seorang dari kalian mendahului orang Yahudi dan Nasrani dalam mengucapkan salam.” (Hadis
Riwayat Muslim)
iii.
Berjabat tangan
Pastikan apabila bertemu hendaklah berjabat tangan dengan
ikhlas dan bersungguh. Nak berjabat tangan pun biarlah sama jenis jantinanya
dan jangan pula berlainan jantina nanti timbul fitnah dan haram pula hukumnya. Hal ini dapat mempererat hubungan dan menumbuhkan cinta
dan kasih sayang. Bahkan berjabat tangan dapat menggugurkan dosa-dosa dan
kesalahan. Rasulullah bersabda, “Tidak seorang pun
dari kaum Muslimin yang bertemu lantas mereka berjabat tangan kecuali dosa
mereka akan diampuni sebelum mereka berpisah.” (Hadis
Riwayat At-Thabrani).
Seseorang pernah bertanya kepada baginda Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, apabila salah seorang dari kami bertemu dengan
saudaranya atau temannya, bolehkah ia membengkokkan badannya? Baginda
menjawab, “Tidak boleh.” Ia
bertanya lagi, “Apakah harus menciumnya?” Baginda
menjawab, “Tidak boleh.” Ia bertanya lagi, “Lalu, apakah ia menjabat
tangannya?” Baginda menjawab, “Ya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).
Tiga perkara mudah perlu dilakukan dalam memastikan adab
pertemuan ini dilaksanakan. Jangan ikut suka-suka hati sahaja apabila bertemu
dengan prospek/pelanggan. Kita yang melakukan jualan kena berhemah, bersopan
dan mengikut adab yang telah ditentukan terlebih dahulu bagi memudahkan lagi
prospek/pelanggan kita berinteraksi dengan mereka. Jaga adab ini agar
prospek/pelanggan yang ditemui akan cukup mudah merasa mesra dan selesa dengan
kehadiran diri mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan