Cukup
memeningkan kepala yang mana satu perlu dipilih antara akhlak yang baik atau
kemahiran yang tinggi dalam melakukan jualan. Walaupun kedua-duanya mempunyai
hubungan yang rapat antara satu sama yang lain namun kadang-kadang antara kedua-duanya
pasti boleh dijadikan pemilihan antara yang mana satu perlu dipilih dan dimahukan. Tidak dinafikan masing-masing
ada keistimewaan dan kehebatan yang tersendiri untuk menentukan pilihan
tersebut. Mungkin di dalam situasi begini boleh diambil kira iaitu
·
Dari pandangan prospek/pelanggan
Kebiasaannya
prospek/pelanggan apabila sesuatu produk yang ditawarkan sudah pasti mereka tidak
mahu ditipu oleh orang yang menawarkan produk. Tiada siapa yang mahukan rugi
dan menanggung kekecewaan. Semuanya berkehendakkan keuntungan atas apa juga
tawaran yang ditawarkan. Kejujuran adalah persepsi utama dalam menarik minat
prospek/pelanggan. Biarlah seseorang penjual itu mempunyai kemahiran yang hebat
dan tinggi namun jika akhlak yang ditunjukkan tidak berkenan di hati
prospek/pelanggan sudah pasti penutupan jualan tidak akan berjaya untuk dicapai. Di sinilah akhlak orang yang
melakukan jualan amat diperlukan oleh prospek/pelanggan, di samping berhemah
dan bersopan menuturkan perkataan-perkataan yang baik sudah semestinya lebih
mudah memberikan kepercayaan dan menanamkan keyakinan mereka untuk menerima
tawaran yang dikemukakan.
·
Dari pandangan majikan
Bagi pihak majikan
semasa temu duga lagi sudah pasti kedua-dua elemen ini sukar untuk ditentukan.
Kebiasaannya akhlak akan mengatasi kemahiran yang ada pada seseorang sebelum
diberi peluang dan kepercayaan untuk menjadi ahli keluarga dalam sesebuah tim
jualan organisasi tersebut. Kenapa? Ini adalah kerana akhlak seseorang cukup
sukar dan susah untuk dibentuk manakala skil kemahiran menjual setiap hari
boleh dibentuk mengikut kesesuaian organisasi tersebut. Kerana itu jangan kita
ingat kita yang ada kemahiran yang tinggi dalam melakukan jualan boleh
senang-senang diterima masuk dalam sesebuah organisasi yang mempunyai tim
jualan yang mantap dan bagus. Beringat bahawa kemasukan dan pengambilan
seseorang itu pada yang sebenarnya adalah terletak pada akhlak dan bukannya
kemahiran skil yang ada.
·
Dari pandangan Agama
Akhlak segala-galanya. Firman Allah bermaksud ‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)’ (
Surah al-Ahzab 33 Ayat 21). Mendapatkan keredaan Allah perlu mempunyai akhlak
yang baik dan pernah ditunjukkan oleh Rasulullah tidak kira apa juga masa yang
ditempuhi sama ada di waktu senang ataupun susah. Betapa pentingnya akhlak
dalam Agama.
·
Dari pandangan pesaing
Walaupun bersaing bersama
menawarkan produk yang lebih kurang sama dalam pasaran yang ada,
pesaing-pesaing yang ada bukan melihatkan pada kehebatan seseorang dalam
melakukan jualan pada prospek/pelanggan yang mereka temui tetapi apa yang
mereka cukup risau dan khuatir adalah akhlak seseorang ketika melakukan jualan.
Dengan akhlak yang baik dan berhemah, kepercayaan prospek/pelanggan lebih mudah
untuk diperoleh dan terpikat oleh sesiapapun juga yang mempunyai akhlak yang
baik. Bukan senang hendak mendapatkan kepercayaan apatah lagi keyakinan
prospek/pelanggan yang berada di pasaran. Sudahlah mereka menerima tawaran yang
dikemukakan hebahan mulut pula dengan mudah apa mereka sebarkan kepada kenalan
prospek/pelanggan tersebut. Inilah yang pesaing cukup risau dan menghantui pada
mereka.
Akhlak
yang baik dan jitu bukan senang untuk dibentuk sebagaimana pepatah Melayu ada
menyebut ‘nak melentur biarlah dari rebungnya’. Ini kerana akhlak yang baik
tidak boleh diajar seperti mana hendak mengajar skil dan kemahiran dalam
menjual. Skil boleh diajar dan dilatih tetapi bagi akhlak tidak sama seperti
mengajar ilmu skil dan kemahiran. Akhlak yang baik sudah tentu bermula dari
didikan asas di rumah lagi. Kerana itu
sentiasalah beringat bagi kita yang melakukan jualan agar menjaga akhlak dengan
sebaik yang mungkin dan elakkan dari diri kita menjadi seorang yang suka
menipu, berkelakuan tidak senonoh, menyakitkan hati orang, berdendam, busuk
hati dan semua yang negatif berada dalam diri kita. Bentuklah sebaik yang mungkin
agar akhlak yang sempurna boleh diperoleh sehingga bertemu dengan siapa
sekalipun orang akan lebih percaya dan yakin atas diri kita ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan