Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 28 Mac 2013

BAKHIL DALAM JUALAN



Tanpa kita sedari apa yang kita lakukan selama ini kita telah melukakan hati seseorang. Memberikan kekecewaan dan ketidakpuasan hati kita kepada mereka kadang-kadang akan memberikan satu impak dan kesan yang tidak baik untuk diri kita juga. Hanya kerana kita suka menggenggam rapat tangan kita tanpa memikirkan orang lain langsung kita merasakan apa yang kita lakukan selama ini adalah betul dan wajar. Apa yang dimaksudkan dengan menggenggam rapat tangan kita? Menggenggam rapat tangan kita membawa makna betapa kedekut atau bakhilnya kita kepada orang lain.

Bukan bermakna bakhil atau kedekut ini tertumpu kepada harta benda atau wang ringgit sahaja tetapi dalam bidang jualan ini ia juga termasuk dalam beberapa perkara seperti berikut

i.             Tunjuk ajar skil

Kita boleh dikategorikan yang sememangnya boleh melakukan jualan tapi malangnya kerana takutkan rezeki kita di pintas oleh orang lain atau mengganggu jualan kita. Begitu selesa atas apa yang telah kita peroleh nikmat selama ini, telah kita pendamkan dan buat tak tahu sahaja tidak disebarkan kepada orang lain. Jangan disorok ilmu yang ada kelak nanti Allah akan tarik balik semua yang kita miliki itu hilang tanpa kita sedari. Beramal dengan menyebarkan apa yang kita tahu agar orang lain boleh dan turut melakukan sama. Bukan kita seorang sahaja yang melakukan jualan tapi kena fikirkan orang lain sama yang turut serta menceburi bidang yang sama seperti kita.

ii.           Data pelanggan

Dalam jualan, data pelanggan amat penting. Penting buat kita mencari dan menyasarkan prospek/pelanggan yang mana kita mahukan. Jangan bila orang tanya semuanya serba tidak ketahui seolah-olah kita seperti katak di bawah tempurung. Kita yang dapat biar kita seorang sahaja yang pergunakan tanpa perlu dikongsi sama kepada orang lain hanya kerana kita tamak dan takut orang lain lebih berjaya daripada kita. Adakah perkara ini yang boleh kita bangga-banggakan untuk menjadi seorang yang berjaya dunia dan akhirat. Bagaimana dengan rakan sekerja kita yang lain? Mungkin sekarang adalah masa kita tapi bagaimana kalau di masa hadapan masa tersebut telah bertukar tangan kepada orang lain? Semuanya perlu difikirkan bagaimana untuk kita lakukan dengan sebaik yang mungkin.

iii.          Hulurkan bantuan dan pertolongan

Hanya kerana kita takutkan orang lain lebih berjaya daripada kita, segala bantuan dan pertolongan yang diberikan umpama seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Janji ada sebagai syarat utama seolah-olah segala bantuan dan pertolongan yang dimahukan dan diperlukan telah kita berikan dan hulurkan. Padahal apa yang diberikan tidaklah dengan sepenuh hati dan ikhlas seikhlasnya seolah-olah ada batu pengadang  pula di hadapan kita. Selagi kita adanya sifat dan sikap tamak haloba ini selagi itulah kita tidak akan berjaya selama-lamanya. Boleh berjaya tapi berapa lama? Semuanya bergantung kepada keberkatan yang Allah berikan kepada kita sama ada kita tamak dan ringan tangan menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada siapa juga yang memerlukannya.

iv.          Terlalu berkira dengan rezeki Allah

Inilah yang paling dirisaukan dan ditakuti oleh kita semua. Kerja yang ada tidak seberapa tapi dengan rezeki Allah cukup berkira. Rugi langsung tidak mahu asyik memikirkan keuntungan diri sendiri sahaja. Langsung kita lupakan akan segala ujian dan dugaan dari Allah sama ada kita mampu ataupun tidak untuk melakukannya. Jangan mudah mendabik dada mengatakan apa yang kita lakukan semua ini adalah hasil usaha tangan sendiri tulang empat kerat kita yang melakukannya tanpa adanya bantuan dari sesiapa. Baru sikit Allah bagi ujian kesenangan kepada kita habis dilupakan apa yang telah Allah berikan bantuan dan pertolongan yang pelbagai macam dan sebab untuk kita hidup di dunia ini.

Elakkan diri kita dari menjadi seorang yang bakhil atau terlalu kedekut dengan apa yang kita ada. Bantuan dan pertolongan kepada orang lain bukan sahaja kepada prospek/pelanggan tetapi juga kepada rakan sekerja kita yang melakukan perkara yang sama perlu juga diberikan perhatian yang sewajarnya. Kita hidup di muka bumi ini bukan bermakna kita hidup berseorangan sahaja tetapi jalinan ukhuwah dan silaturahim sesama manusia perlu diamalkan. Tidak guna kita merasa tamak haloba dan terlalu kedekut kerana ia nya akan menjadikan diri kita sebagai seorang yang pendendam, mementingkan diri sendiri dan tidak mahu ambil tahu langsung akan kesukaran dan kesusahan orang lain. Berubahlah demi kebaikan bersama kerana setiap apa yang kita berikan walaupun bukan dalam bentuk harta benda dan wang ringgit sesungguhnya ganjaran dan keberkatan Allah itu adalah lebih hebat lagi kurniaan Nya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan