Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 21 Mac 2013

Jangan dilayan kemarahan yang ada



Dah nama pun manusia. Bermakna mesti ada kekurangan pada diri kita secara automatiknya. Jangan dipandang pada kekuatan yang ada bersama kita sahaja tapi kena lihat dan sedari apa kelemahan juga yang ada dengan kita. Semuanya perlu dilakukan agar mana-mana kelemahan yang ada dapat kita hindari dan elakkan sama sekali. Kalau ada musibahnya nanti sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu kita awasi dan fahami tindakan sepatutnya kita ambil. Antara tindakan yang perlu kita ambil perhatian dan ambil berat adalah perasaan marah kita. Jangan dibiarkan perasaan marah ini berlaku dan mengawal diri kita kerana sifat marah ini adalah syaitan di mana akan lebih mudah mengawal diri kita dari diri kita sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW ‘Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam pertempuran tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu marahnya’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Betapa hebatnya kalau kita dapat menahan kemarahan kita dalam melakukan jualan. Prospek/pelanggan akan lebih menghormati tindakan kita kalau kita dapat mengawal, menghindari dan menyimpan marah kita di hadapan mereka. Walaupun mungkin menyakitkan hati kita kesabaran yang tinggi amat diperlukan sama sekali. Kerana itu dalam kita melakukan jualan kawallah sebaik-baik marah kita dengan

i.                    Sentiasa tenang, tabah dan bersabar

Firman Allah bermaksud Iaitu ‘orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang Yang menahan kemarahannya, dan orang-orang Yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang Yang berbuat perkara-perkara Yang baik’ (Surah Ali Imran Ayat 134). Tidak kiralah bertemu dengan siapa pun baik majikan, rakan sekerja, prospek/pelanggan mahupun orang ramai semasa berkomunikasi dan berinteraksi selalulah diamalkan sikap bersabar dan tenang sahaja. Jangan kelam kabut dan melayan hati yang nak rasa marah sahaja hanya disebabkan kelakuan atau tabiat orang yang kita bertemu ini begitu menjengkelkan atau membuatkan kita mudah merasa marah. Bawa bertenang dan rilek selalu agar siapa pun yang bertemu dengan kita begitu mudah dan terbuka hati apabila bersembang dan bercakap dengan kita.

ii.                  Berikan perhatian yang sewajarnya

Beri tumpuan dan fokus akan apa yang kita lakukan. Kalau asyik nak marah sahaja, macam mana kita nak buat tugasan kita dengan baik dan sempurna. Kalau kita dapat kawal kemarahan kita sudah tentu sesiapapun akan naik segan dan malu untuk berinteraksi dengan kita kalau kita sentiasa ‘cool’ dan tenang sentiasa. Selagi kita boleh kawal diri kita atasi kemarahan kita sudah tentu apa juga keadaan yang berlaku dan terjadi yang membolehkan kita mudah merasa marah akan dapat ditangani dengan sebaik yang mungkin.

iii.                Jangan terus menjual

Rasulullah bersabda “Apabila ada salah seorang di antara kamu dalam keadaan marah sedangkan dia berdiri maka hendaklah dia duduk, agar kemarahannya hilang, apabila masih belum lagi reda maka hendaklah dia berbaring” [Hadis Riwayat Abu Daud]. Bagi keadaan yang tidak terkawal lagi, sebaik-baiknya tinggalkan sahaja tempat tersebut secara berhemah dan bersopan walaupun kita akan kehilangan penutupan jualan pada hari tersebut. Secara logik akalnya memang merugikan tapi mana tahu hanya kerana tindakan terbaik kita bagi menjauhkan diri dari mengakibatkan marah kita mudah berlaku dan terjadi. Lebih baik kita ambil tindakan positif dahulu dan insyaAllah setiap yang berlaku itu ada hikmah nya yang pasti kita tidak akan tahu apa sebenarnya situasi yang tidak kita ketahui lagi berlaku dan terjadi.

iv.               Merendah diri dan bersopan

Tindakan yang sepatutnya dan semestinya kita lakukan pada orang yang kita temui. Lebih baik kita sentiasa merendah diri, berhemah dan bersopan. Banyakkan memberikan ucapan terima kasih dan mohon kemaafan kerana itu akan membolehkan kita berada dalam keadaan yang selesa. Bila kita menjual dalam keadaan yang selesa maka ia lebih mudah untuk mendapatkan penutupan jualan dari prospek/pelanggan yang ditemui. Wujudkan suasana yang ceria dan menyeronokkan dari keadaan menjadi tegang dan panas berlaku antara kita dengan prospek/pelanggan.

v.                 Fahami personaliti mereka

Tindakan sebaik-baiknya. Lebih baik ambil tahu dari terus buat tak tahu. Sekurang-kurangnya kita dah bersedia dengan apa yang sepatutnya. Kena dengan orang yang penyabar amat melegakan tapi bagaimana bertemu dengan orang yang pemarah atau suka-suka buat marah? Semuanya sedikit sebanyak kena ambil tahu. Mungkin kita ke premis tempat kerjanya boleh bertanya dahulu dengan orang lain yang mengenali diri prospek/pelanggan tersebut ataupun rakan sekerja yang kebetulan berada di situ sebelum kita bertemu dengannya. Bila dah tahu sekurang-kurangnya kita dah boleh hadapi macam mana situasinya nanti.

vi.               Bersangka baik

Sikap yang dimuliakan oleh Rasulullah SAW yang berkehendakkan kita sentiasa bersangka baik dan jangan bersangka buruk terlebih dahulu. Kita tidak mengenali seseorang prospek/pelanggan yang kita temui dengan lebih mendalam lagi, oleh itu ambil tindakan sepatutnya agar kita perlu bersangka baik terhadap dirinya terlebih dahulu. Berhemah dan bersopan santunlah seolah-olah kita amat menghormati dirinya. Bila kita amat mudah bersangka baik ini bermakna kita akan dapat mengawal diri kita dengan lebih baik sama sekali dari kita menunjukkan sikap marah kita kepada mereka.


Kawalan dalaman amat penting kerana budi bahasa yang baik ditambah dengan budi pekerti dan pertuturan yang mempesonakan sudah pasti kemarahan kita boleh dikawal walaupun kita dalam keadaan kepenatan. Marah adalah mainan syaitan. Sekali kita dapat mengawalnya sampai bila-bila sudah pasti kita boleh melakukannya. Ganjarannya amat hebat. Bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sama. Sabda Rasulullah SAW ‘Siapa yang menahan marah, padahal ia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk. Kemudian, disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (Hadis Riwayat Abu Daud - At-Tirmidzi). Begitulah hebatnya kalau kita dapat menahan kemarahan kita di waktu kemarahan kita berada di puncak. Firman Allah bermaksud ‘Dalam pada itu (ingatlah), orang Yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)’ (Surah As Syura Ayat 43). Inilah tindakan sebaik-baiknya agar apa yang kita lakukan sentiasa dihormati orang dan bukannya kerana orang takut kepada kita hanya kerana kita suka memarahi orang lain terutamanya kepada prospek/pelanggan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan