Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 23 Mac 2013

SEDARI AKUI SEGERA



Bila dah silap dan sedari dengan cepat jangan ditangguhkan lagi tindakan kita. Kita melakukan jualan kena berikan yang terbaik kepada prospek/pelanggan yang ditemui agar kita tidak mudah dikecam apatah lagi langsung tidak dipercayai di kemudian hari. Akibat dan kesan buruknya nanti bukan prospek/pelanggan tapi diri kita sendiri juga. Antara tindakan-tindakan yang perlu kita lakukan apabila kita telah sedari dan ketahui apabila kesilapan dan kesalahan telah berlaku adalah dengan cara

i.             Berkata benar akui apa yang telah dilakukan
Dengan segera mohon kemaafan dengan cepat  agar mereka boleh menerima kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Elakkan dari berlarutan terlalu lama kerana ia nya akan memberi kesan yang panjang kepada karier jualan kita sendiri. Bukan setakat memohon kemaafan sahaja, tetapi juga kena berjanji kepada pelanggan tersebut agar perkara yang berlaku ini tidak sama sekali kita ulangi lagi di masa hadapan apabila berurusan lagi.

ii.           Jangan malu untuk berterus terang
Apa yang telah berlaku dan terjadi, maklumkan apa yang sebenarnya berlaku dengan pengakuan yang jujur dan ikhlas. Jangan menipu pula apatah lagi habis semuanya mahu dikelentong pula. Ingat Allah dan balasan dari Allah gara-gara kita menipu. Berterus terang itu adalah baik walaupun pahit untuk ditelan dan diterima.

iii.          Bertanggungjawab sepenuhnya
Diri sendiri lakukan diri sendirilah kena bertanggungjawab. Jangan lari dari tanggungjawab. Bersabar, tabah dan bertenang kerana kita kena ambil sikap mengakui apa yang telah kita lakukan. Firman Allah lagi bermaksud “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni mu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah An-Nuur Ayat 22)

iv.          Jalankan amanah dan kembali matlamat apa sebenarnya
Pikullah amanah dan tanggungjawab yang sebenarnya agar pelanggan yang berurusan dengan kita mengetahui yang kita adalah seorang yang berwibawa dan menjalankan tugasan jualan seperti mana yang diharapkan. Berikan perkhidmatan yang terbaik agar keyakinan pelanggan tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Manfaatkan segala kelebihan yang ada pada diri kita sendiri agar kita tahu apa yang sepatutnya kita lakukan.

v.            Jangan aniaya prospek/pelanggan
Firman Allah SWT maksudnya Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka per buat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata (Surah al Ahzab Ayat 58). Elakkan sama sekali agar kita tahu apa yang boleh atau yang tidak boleh kita lakukan dalam kita menjual. Jangan sama sekali kita menganiaya orang yang kerana terlalu sibuk mengejar pendapatan dan keuntungan semata-mata.

vi.          Ingat dosa pahala
Firman Allah SWT maksudnya Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah sedangkan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat mereka berdiri dengan malas, mereka bermaksud riyak dengan solat di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut nama Allah kecuali sedikit sekali“. (An Nisa, 142). Ambillah langkah selamat kerana Allah sudah tentu tidak mahu kita menipu sama sekali.

Jangan malu dan segan apatah lagi buat tahu saja. Hadapi dengan baik, berinteraksi dengan berhemah dan jangan sama sekali lari dari masalah yang dihadapi. Anggaplah apa yang telah berlaku dan terjadi sebagai satu hikmah dan ujian dari Allah SWT agar kita tidak sama sekali merasakan sebagai satu bebanan dan kepayahan dalam melakukan tugasan jualan. Beri keyakinan kepada pelanggan agar pelanggan faham apa tugasan sebenar kita iaitu sentiasa membantu dan selesaikan apa permasalahan yang beliau tanggung selama ini. InsyaAllah Allah SWT akan sentiasa membantu umatnya yang sentiasa melakukan tugasan jualan ini secara jujur dan benar sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan