Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 30 Mac 2013

POSITIFKAN TABIAT YANG ADA



Seseorang yang telah menceburi bidang jualan pasti mengharapkan kejayaan melakukannya. Bukan satu omongan kosong atau harapan membabi buta tetapi inilah hakikat sebenarnya memastikan kejayaan boleh dan dapat diperoleh juga. Walaupun sesukar mana, sesusah yang menimpa dan masalah yang mendatang tetapi hanya kerana kita telah menceburi bidang ini dengan sepenuh hati dan perasaan pasti akan kita tempuhi juga ranjau durinya.

Dalam memastikan agar kejayaan boleh diperoleh, kita perlu memastikan agar tabiat yang ada pada kita dapat disemai menjadi darah daging yang sebati. Tidak perlu hangat-hangat tahi ayam atau untuk memenuhi waktu yang terdesak tetapi melakukan dengan bersungguh, fokus apa yang dihadapi dan konsisten setiap tindakan yang dilalui. Antara tabiat-tabiat yang perlu disemai agar karier jualan ini benar-benar memberi impak dan kesan yang positif kepada diri kita adalah

i.         Sentiasa bersedia
Tak kira apa waktunya, bila dan di mana asalkan oportuniti dan peluang yang ada dapat kita ambil dengan segera. Peluang yang ada di depan mata jangan sama sekali dibazirkan. Teruskan sahaja ambil dengan sebaik-baiknya. Kita bukan bekerja seperti orang yang masuk pejabat. Jam 9 pagi lapor diri jam 6 petang dah terhegeh-hegeh nak balik dah. Orang jualan tidak boleh bekerja mengikut masa yang telah ditetapkan. Yang penting pandai menghidu peluang yang ada dan mendatang. Ambil segera agar orang lain tidak sempat untuk menghidunya pula. Inilah tabiat yang perlu ada dalam diri kita supaya sentiasa bersedia tidak kira masa dan ketikanya walaupun di hari kita berehat, bercuti dan sebagainya.

ii.        Jangan terbawa-bawa dengan kegagalan
Menempuh kegagalan adalah satu kejayaan yang tertunda. Bila dah menemui kegagalan yang sama jangan sesekali menyalahkan diri sendiri apatah lagi menyalahkan orang lain pula. Muhasabah semula fikirkan balik apa kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan sehingga ia nya tidak berulang lagi di masa hadapan. Dahlah gagal buat tak tahu pula tu, sudah pasti sampai bila-bila kita tidak kan berjaya kerana kejayaan yang ada asyik tertunda sahaja. Jauhi tabiat yang buruk ini tapi fikirkan semula agar setiap yang salah dan yang tidak betul itu dengan segera kita perbaiki.

iii.       Dalami ilmu
Tak kiralah melalui pembacaan atau pengalaman. Pelajarilah sebaik-baiknya. Ilmu tidak pernah habis. Ada sahaja perkara baru yang perlu kita pelajari lagi dan lagi. Bila dah tahu. Praktik kan dan amalkan sebaik mungkin. Lagi baik kalau dapat dikongsi bersama setidak-tidaknya dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Barulah ilmu yang kita peroleh tidak akan hilang begitu sahaja dan akan tetap tersemat dan tersemai dalam fikiran kita dan seterusnya menjadi darah daging kita sendiri. Inilah tabiat yang perlu kita lakukan dan kekalkan sampai bila-bila.

iv.       Yakin kepada Allah
Orang Muslim yang sejati pasti Allah dijadikan pegangan utama. Allah penentu segala-galanya. Selagi kita berusaha dan bersungguh-sungguh melakukannya sudah pasti bantuan Allah akan muncul juga. Oleh yang demikian janganlah sama sekali diabaikan bantuan dari Allah. Minta sahaja kepada Allah kerana Allah itu Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Mohon kepada Allah agar sentiasa per mudahkan tugasan kita dan jauhkan sama sekali dari menyukarkan tugasan kita, dimurahkan rezeki yang melimpah ruas kepada kita dan memberikan keberkatan yang tidak terhingga setiap apa jua yang kita lakukan. Jadikan tabiat yang tidak boleh ditinggalkan agar sentiasa memohon bantuan dan pertolongan dari Nya.



Kerana itu kita di saran agar jangan mudah merasa kecewa, putus asa, merana dan sedih setiap kali terdapat kegagalan yang kita tempuhi. Tabiat yang baik akan memberikan kesan yang terlalu positif dalam diri kita melakukan jualan. Hanya dengan melakukan jualan taraf hidup kita akan cepat berubah, apa yang kita ingin akan cepat kita peroleh asalkan bidang jualan yang kita lakukan ini benar-benar kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin. Bukan nak menyedapkan hati dan perasaan kita sahaja tapi ini lah hakikat sebenarnya untuk memperoleh apa juga yang kita inginkan dan idamkan dapat diperoleh dengan cepat dan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan