Ammar bin Yasir merupakan sahabat yang
terdahulu memeluk Islam. Tidak tanggung-tanggung, setelah memeluk Islam, ia
berhasil mengajak ibu, Sumayyah Binti Kahyyath dan ayahnya Yasir Bin Amir memperoleh
hidayah yang sama. Karena mereka ini, Ammar dan kedua orang tuanya, termasuk
keluarga miskin, kaum Quraisy menjadikan mereka sebagai sasaran penyeksaan kerana pilihan mereka memeluk
Islam. Bani Makhzum, tempat mereka berlindung selama ini sangat marah ketika
mengetahui mereka telah murtad dari agama nenek moyangnya. Penyeksaan demi penyeksaan
dilakukan tanpa belas kasihan kepada keluarga ini, tetapi semua itu tidak
menambahkan kecuali keimanan dan keyakinan kepada agama barunya, Islam.
Dibiarkan di terik matahari padang pasir, didera, disalut dengan api menyala,
dan berbagai tindakan mengerikan di luar peri kemanusiaan dilakukan kepada
mereka untuk mengembalikan kepada agama jahiliahnya, tetapi sia-sia saja.
Suatu ketika Rasulullah SAW mengunjungi
mereka bertiga yang sedang disiksa, baginda amat mengagumi ketabahan dan
kerelaan mereka menerima penderitaan ini demi untuk mempertahankan
keislamannya. Ketika Ammar berkata kepada baginda, "Wahai Rasulullah, azab
yang kami derita telah sampai pada puncaknya…" Nabi SAW bersabda untuk menenteramkan
jiwanya, "Sabarlah wahai keluarga Yasir, tempat yang dijanjikan untuk kamu
semua adalah syurga…!" Ketika Abu Jahal yang melakukan penyeksaan, ia
begitu jengkel dan berputus asa terhadap Sumayyah. Seorang budak wanita yang
hina (dalam pandangan Abu Jahal dan masyarakat Quraisy saat itu) seperti
dirinya, berdiri tegar seakan menantang kesombongan tokoh besar Quraisy
tersebut. Karena tidak tertahankan lagi kejengkelannya, Abu Jahal mengambil
tombak dan menusuk Sumayyah dari lubang kemaluannya hingga tembus ke
punggungnya, jadilah ia syahid pertama dalam Islam. Tidak berapa lama, ayahnya,
Yasir bin Amir pula meninggal dalam penyeksaan orang-orang kafir Quraisy.
Walaupun kematian orang tuanya akibat seksaan
yang diterima mereka tersebut tidak menyebabkan dia berubah fikiran sama sekali,
bahkan semakin teguh dan kukuh pendiriannya. Seksaan pun semakin ditingkatkan, dibakar dengan besi
panas, disalib, ditenggelamkan dalam air
hingga ia sesak nafas, dan lain-lainnya. Bukan setakat itu, Ammar dibakar
dengan api yang membara, kebetulan saat itu baginda datang mengunjunginya. Beliau memegang kepala
Ammar dan berkata, "Hai api, jadilah kamu sejuk dan selamatkanlah Ammar,
sebagaimana dulu kamu menjadi sejuk dan menyelamatkan bagi Ibrahim…!!". Seketika
itu Ammar tidak lagi merasakan panasnya api yang menyentuh tubuhnya, maka makin
kukuh dan tegar saja jiwanya dalam keimanan dan keislaman, walau azab dan seksaan
kaum Quraisy makin ditambah-tambah.
Suatu ketika Ammar diseksa sedemikian
rupa sehingga hampir tak sedarkan diri, dalam keadaan seperti itu ada yang memaksa
ucapannya untuk memuja-muja berhala kaum Quraisy, dan tanpa disedarinya ia
mengikuti ucapan-ucapan tersebut. Tatkala ia menyedari semuanya itu, ia
menangis teramat sangat menyesal dengan apa yang telah beliau perkatakan,
seolah-olah dunia kiamat baginya, dan seksaan demi seksaan pun tak lagi terasa
berat baginya. Jauh lebih berat kedukaan dan ketakutannya karena telah
mengucapkan kata-kata yang boleh mencabut imannya, menyengsarakan kehidupannya
di akhirat kelak. Dalam puncak kesedihan yang serasa tidak tertahankan,
datanglah Rasulullah SAW. Baginda memang telah mendengar berita tentang apa
yang diucapkan oleh Ammar, dan atas peristiwa tersebut, turunlah Firman Allah yang
bermaksud ‘sesiapa Yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya
kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang Yang dipaksa (melakukan kufur)
sedang hatinya tenang tenteram Dengan iman; akan tetapi sesiapa Yang terbuka
hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan
mereka pula beroleh azab Yang besar’ (Surah An-Nahl Ayat 106).
Baginda datang sendiri menemui Ammar,
dengan penuh santun dan kasih beliau menghibur dan menenangkannya sambil
menyampaikan firman Allah SWT tersebut. Beliau berkata kepada Ammar,
"Orang-orang kafir menyeksa dan menenggelamkan sehingga engkau mengatakan
begini dan begini…". "Benar, ya Rasulullah," Kata Ammar sambil
meratap penuh kesedihan. "Tidak mengapa, jika mereka memaksa mu,
katakanlah seperti itu… sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan ayat : …
kecuali orang-orang yang dipaksa, sedang hatinya tetap teguh dalam
keimanan..." . Lantas hati Ammar menjadi tenteram dengan penjelasan baginda
tersebut. Pada akhirnya, sebagaimana kebanyakan budak-budak lain yang diseksa
tuannya kerana pilihannya memeluk Islam, Abu Bakar membeli Ammar dari kabilah Bani
Makhzum dan memerdekakannya.
Begitulah yang berlaku pada sahabat
Rasulullah yang telah menerima seksaan yang amat dahsyat sehingga kedua-dua
orang tua meninggal dunia hanya kerana seksaan yang diterima. Begitulah kukuh
dan kuatnya pendirian Ammar yang telah menerima seksaan yang diterimanya. Tiada
langsung baginya untuk mengeluarkan satu perkataan sekalipun untuk mengeluh dan
mengadu kesah. Semuanya dilalui dengan penuh ketabahan, kesabaran dan
ketenangan yang amat sangat. Hanya mengharapkan keredaan Allah, Ammar sanggup
menerimanya segala dugaan dan cabaran yang ditanggungnya walaupun kehilangan
kedua orang tua yang dikasihaninya. Begitulah kuatnya pendirian yang beliau
tunjukkan tanpa berbelah bagi membuktikan satu kesetiaan dan keyakinan beliau kepada
Allah dan Rasulullah SAW.
Bagaimana kita yang melakukan jualan? Baru gagal sekali
dua dah jadi lemah semangat dibuatnya. Baru ditegur prestasi tidak
memberangsangkan terus menerus jadi lemah semangat tidak berdaya semangat
merudum tidak ketentuan seperti orang yang jatuh ditimpa tangga pula. Pelbagai
yang difikirkan mencari alternatif untuk tidak mahu melakukannya lagi kononnya
maruah diri tercabar dan terluka tidak perlu lagi meneruskan perjuangan. Inilah
sedihnya jika berlaku kepada kita yang melakukan jualan. Pendirian kena kukuh
dan kuat seperti mana yang Ammar telah tunjukkan kepada kita. Kena ada
kesabaran dan ketenangan hadapi segala-galanya. Semua ini ujian dari Allah
menyaksikan dan menguji diri kita sama ada kita sanggup atau tidak untuk melaluinya.
Yang penting jangan cepat melatah dan menggelabah tak tentu hala. Setiap
masalah yang ditanggung sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Firman Allah
bermaksud ‘Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia
mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa
kejahatan Yang diusahakannya.....’ (Surah Al-Baqarah Ayat 286).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan