Ketika zaman pemerintahan khalifah Sayidina Umar
al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi Waqqas r.a seorang sahabat besar Nabi s.a.w
sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafik yang
terlalu benci kepada Sa'ad, lalu membuat pelbagai aduan palsu kononnya Sa'ad
r.a tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan.
Sedangkan di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk
menuju ke Nahawand. Sememangnya diketahui dan difahami bahawa kumpulan ini ingin
mengganggu dan menghancurkan segala kelancaran perancangan yang dilakukan oleh
kerajaan Islam.
Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui ternyata
palsu oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a tetapi beliau masih melayan juga segala
aduan tersebut dengan segera dan serta-merta menghantar wakil penyiasat iaitu
Muhammad Ibn Maslamah. Sayidina Umar r.a
seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor
lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang
berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakadilan Sa'ad lalu
semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad ketika pemerintahan beliau.
Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad
tidak adil dan tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah serta
mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi
sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh
seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang menipu ini mati . Usamah pula menjadi
buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.
Walaupun Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi
mengelakkan perpecahan dan menjaga status Sa'ad bin Abi Waqqas, Umar al-Khattab
meminta Sa'ad untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah
Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. Manakala Sa'ad di
bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah.
Inilah juga yang patut kita lakukan apabila menerima
sebarang aduan, ketidakpuasan hati orang atau sesuatu perkara yang negatif
terhadap rakan sekerja atau tim jualan yang telah dikhabarkan atau disampaikan.
Jangan mudah melenting atau menuding jari mengatakan orang itu salah orang ini
tidak betul. Walaupun kita sendiri tahu akhlak, perangai dan sikap positifnya
pada seseorang dalam tim jualan itu bagaimana sikapnya sekurang-kurangnya
paling tidak siasatan yang rapi kena juga diadakan bagi mendapatkan pengesahan
sama ada betul ataupun tidak ia berlaku dan terjadi.
Semoga kisah yang dikemukakan ini boleh dijadikan satu
iktibar dan pengajaran kepada kita agar kita tidak mudah sama sekali melatah
dan melepaskan geram tidak tentu hala pada ahli tim jualan kita. Dah
menunjukkan ada kebenarannya apatah lagi aduan yang dikemukakan ada betulnya
barulah sesuatu tindakan boleh diambil terhadap ahli tim jualan yang
dimaksudkan. Apa yang penting jangan mudah cepat sangat percaya dengan segala
aduan yang diterima oleh kita. Dikhuatiri nanti
ia nya satu fitnah pula dan jika ia nya tiada kebenaran atas fitnah
tersebut akan mendatangkan pula satu dosa dan penganiayaan kepada orang
tersebut. Lebih baik ambil sikap berhati-hati dalam semua hal yang berkaitan
agar kita tidak mudah sama sekali tergolong turut sama dengan yang melakukan
fitnah yang dilemparkan. Berfikir sebaik-baiknya sebelum melakukan sebarang
tindakan.