Agresif dalam melakukan jualan amat dituntut. Bertindak segera dan pantas
mengetahui segala peluang yang ada perlu dilakukan. Mungkin kerana kita ini
orang Melayu amat mudah kasihan belas. Dalam jualan, tindakan cepat perlu
dilakukan. Jangan difikirkan kasihan atau tidak. Tidak kiralah rakan sekerja kita
atau pesaing dalam pasaran, segera dalam melakukan tindakan amat di perlukan.
Bila dah lepas apa yang kita telah peroleh dan dapati kalau nak tolong orang
pada masa itu bolehlah dilakukan. Apa yang penting dahulukan keperluan pada
diri kita terlebih dahulu.
Adalah lebih parah dan menjadi tersangat sengsara andai kata hanya kerana
tindakan kita yang agak perlahan dan tidak dapat mengatasi tindakan orang lain,
kita akan lebih mudah merasa lemah dan terkulai begitu sahaja di tengah jalan.
Umpama orang menyertai larian lumba lari 100 meter, semua mata akan bertumpu
kepada pemenang sahaja dan bukan kepada orang yang di tewaskan. Bila kita telah
lemah, maka akan bermulalah timbul pelbagai sikap-sikap yang negatif seperti
putus asa, kekecewaan, mudah marah, berdengki dan sedih akan berlaku
sewenang-wenangnya.
Oleh itu, jangan di tangguh lagi tindakan kita. Bertindak segera. Ini
adalah kerana
i.
Produktiviti
Lebih cepat
kita bertindak, bermakna setiap oportuniti yang ada amat sukar untuk kita
lepaskan. Genggamkan dahulu peluang yang ada walaupun ia nya mungkin berada
jauh di hadapan mata. Sesaat kita menangguhkannya seribu penyesalan pula akan
wujud. Elakkan dan jauhkannya supaya tidak menjadi trauma pada diri kita. Lagi
cepat tindakan kita lagi banyak hasil yang boleh kita ciptakan. Bila hasil
telah menjadi banyak bermakna semakin tinggi harapan kita memenuhi sasaran yang
diberikan apa tah lagi memperoleh komisen yang tinggi. Barulah orang akan
nampak yang kita benar-benar penjual yang produktif namanya.
ii.
Sikap malas akan terhindar
Tiada siapa
yang hendak berkawan dan merapatkan diri dengan kita andai kata mereka
mengetahui yang kita ini adalah seorang yang malas. Itu baru rakan, kalau
prospek/pelanggan tahu lagi haru. Memang sah mereka tidak akan mahu berurusan
dengan kita. Dah jadi orang malas, pasti akan di cop sebagai seorang yang SLOW
dan lemah untuk membantu mereka merealisasikan apa yang mereka kehendaki. Kita
buang jauh-jauh sikap ini. Jangan terlalu dibiarkan. Nanti karier kita sendiri
juga yang akan tercalar. Berubah segera.
iii.
Akan lebih dipercayai
Hanya
kerana kita segera bertindak untuk ambil berat menghidu peluang yang ada sudah
pasti pihak pengurusan, rakan-rakan dan prospek/pelanggan akan lebihi mudah
percaya kepada kita. Jangan lepaskan peluang ini. Sekali orang dah mula
percayakan diri kita jangan sama sekali di musnahkan. Jaga ia dengan sebaik
mungkin kerana walaupun hanya sekali sahaja kita memungkiri kepercayaan
tersebut, sampai bila-bila pun orang tidak akan percaya lagi kepada kita.
Tunaikan dan buktikan yang kita sentiasa boleh melakukan dengan cara yang
terbaik dan bersungguh-sungguh.
iv.
Bersemangat
Tanpa memikirkan
apa-apa juga halangan, dugaan dan rintangan yang mendatang kita tetap akan mahu
melakukan tugasan tersebut. bersemangat sepanjang masa demi mencapai apa yang
kita mahukan. Ujian yang diberikan oleh Allah pelbagai bentuk dan cara yang
sentiasa di uji kepada kita sama ada kita sabar atau tidak untuk menempuhnya.
Yang penting lakukan dengan sebaik yang mungkin bantu dan tolong seramai yang boleh
bagi menggunakan produk yang ditawarkan tanpa merasa diri kita ini terbeban
ataupun tidak.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Berlumbalah
(bersegeralah) untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu
dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah."
(Diriwayatkan oleh Muslim )
Jangan tangguh lagi, Rasulullah pun
telah menyuruh kita untuk melakukannya. Hanya orang-orang yang lemah sahaja
tidak mahu melakukannya. Tinggalkan perkara tersebut. Jadilah orang yang
sentiasa proaktif dan segera melakukan tugasan tanpa perlu berbelah bagi
melakukan kerja yang mesti dilakukan demi memperoleh rezeki yang halal hasil
jualan kita sendiri lakukan. Mohon pada Allah agar sentiasa membantu kita dalam
apa juga keadaan dan suasana yang di hadapi. Mohon di per mudahkan dan jangan
sama sekali disukarkan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang
kita mahukan dan lakukan. Sentiasa berserah diri kepada Allah yang Maha Esa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan